Mengidam Sushi Ketika Hamil? Jangan Risau, Ini Jenis Sushi Yang Boleh & Tidak Boleh Dimakan
Mengidam sushi ketika hamil? Jangan risau, ada yang boleh dimakan dan ada yang tidak selamat untuk dimakan ibu hamil, jom semak!
Biasalah bila mengandung ni macam-macam makanan kita mengidam. Bagi penggemar makanan Jepun sudah tentu antara yang anda akan mengidam adalah sushi. Tapi ibu-ibu wajib tahu, tak semua jenis sushi selamat dimakan ya.
Kata Dr Imelda Balchin, ramai ibu mengandung bertanyakan soalan “bila mengandung boleh ke makan sushi?” Jadi Dr Imelda mengesahkan, ada jenis sushi yang boleh dimakan dan ada yang tidak selamat untuk dimakan.
Isi Kandungan
Jenis Sushi Yang Boleh dan Tidak Boleh Dimakan Semasa Hamil
Sushi yang inti di atasnya telah dimasak adalah selamat untuk dimakan, manakala yang mentah adalah tidak boleh dimakan oleh wanita hamil. Ini kerana ikan mentah atau makanan mentah mempunyai bakteria, merkuri dan parasit yang lebih berbanding makanan yang dimasak.
Ibu mengandung mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti bakteria yang sangat merbahaya iaitu listeria monocytogenes. Bakteria listeria ini dikatakan sangat dahsyat, ia didapati 10 kali ganda lebih tinggi dikalangan ibu hamil jika dibandingkan dengan orang yang tidak hamil.
Ini kerana sistem imunisasi wanita hamil adalah rendah berbanding orang biasa, jadi ibu hamil sangat mudah dijangkiti dan apabila dijangkiti ia memberikan simpton yang sangat teruk.
Ibu hamil akan mengalami gejala seperti demam, muntah dan menggigil. Namun apa yang lebih teruk, ada juga ibu hamil yang dijangkiti listeria ini tidak mempunyai simptom namun ia masuk melalui uri (plasenta) dan boleh menjangkiti bayi dalam kandungan.
Selain bakteria dan parasit, merkuri juga mampu memberi efek kepada bayi, ia akan menimbulkan isu atau masalah pada saraf bayi.
Ia akhirnya mengakibatkan keguguran, menganggu tumbesaran janin, kelahiran pramatang atau bayi mati dalam kandungan.
Trimester Ke Berapa Mula Tidak Boleh Makan Sushi Mentah?
Bermula pada trimester pertama lagi anda perlu berhati-hati dengan pengambilan pemakanan anda. Sebaik anda mendapat tahu anda hamil, anda perlu fokus untuk penjagaan diet yang seimbang, ia bukan saja bagus untuk kesihatan anda, malah menjanjikan kesihatan janin yang sempurna.
Malah anda juga dinasihatkan untuk hentikan pengambilan makanan mentah ini sejak anda mencuba untuk hamil lagi. Sebaik anda hamil, pada minggu pertama lagi otak bayi akan terhasil dan kian berkembang mengikut minggu-minggu mendatang.
Ada juga yang berkata di hujung kehamilan sudah boleh makan telur separuh masak dan sebagainya. Namun ibu-ibu dinasihatkan untuk tidak mengambil risiko tersebut.
Penting Untuk Ibu Hamil Tahu
Dr Imelda juga berpesan, ibu hamil perlu dilindungi. Sekiranya mereka tak tahu, keluarga dan rakan-rakan perlu memainkan peranan, mengingatkan mereka beberapa perkara ini.
Sekiranya ingin makan telur, ayam, daging atau ikan, pastikan ia dimasak dengan sempurna.
Andainya mengidam untuk makan telur separuh masak, boleh beli telur yang sudah dipasteurkan, ia ada dijual di pasaraya yang terpilih. Telur yang dipasteur ini kalau nak dimakan mentah-mentah pun tiada masalah kerana ia sudah dibasmi kuman pathogen, sama macam susu yang dipasteur.
Jenis jenis sushi pula, kalau sushi telur ikan, sushi perut salmon mentah atau sushi ikan mentah memang wajib dielakkan.
Macam di Jepun mereka tidak menghalang ibu hamil untuk makan sushi mentah atau sashimi, dan jarang sekali berlaku keracunan makanan bila makan sushi mentah. Mungkin cara pengendalian ikan mentah yang mereka lakukan lebih terperinci atau boleh dikatakan sangat bersih.
Ibu mengandung kalau betul-betul mengidam makanan Jepun ada banyak lagi menu makanan Jepun yang boleh dicuba seperti rumpai laut sushi, udon, tempura dan macam-macam lagi yang dimasak dengan sempurna malah sedap pula tu.
Bagaimana Kalau Termakan Sushi Mentah?
Tidak hairan jika ramai ibu-ibu yang tidak tahu akan fakta ini dan telah pun termakan sushi mentah berkali-kali. Ada juga ibu hamil di awal kehamilan, yang mana mereka tidak tahu pun yang mereka hamil dan telah makan sushi mentah atau makanan mentah lain.
Bagi situasi ini ia tidak mengapa asalkan ibu-ibu tidak mengalami apa-apa simptom yang membimbangkan. Sekiranya inginkan kepastian, anda boleh lakukan pemeriksaan dengan doktor secepat mungkin.
Sumber: Dr Imelda Balchin, Healthline
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Ibu Hamil Nak Makan Ikan? No Problem! Tapi Pastikan Anda Elak 6 Spesies Ikan Ini
Baca Juga: 10 Makanan Sihat Untuk Ibu Mengandung Agar Kulit Bayi Cerah & Bersih Ketika Lahir