Susu Ibu: Jenis-Jenisnya, Khasiat & Perbezaan Kolostrum, Hindmilk & Foremilk Yang Wajib Ibu Tahu

undefined

Susu ibu terbahagi kepada tiga jenis iaitu kolostrum, foremilk dan hindmilk. Ketahui perbezaan setiap jenis susu ibu serta manfaatnya

Tidak dapat dinafikan bahawa susu ibu adalah makanan yang paling sesuai untuk anak tersayang. Khasiat susu ibu termasuk membekalkan pelbagai nutrisi yang baik untuk tubuh selain antioksidan, enzim, dan antibodi yang kuat!

Jenis Susu Ibu: Apa Beza Kolostrum, Hindmilk & Foremilk?

Tahukah anda bahawa susu ibu bukan hanya satu jenis? Ia berubah mengikut keperluan bayi pada setiap peringkat tumbesaran. Tiga jenis susu tersebut ialah kolostrum, foremilk dan hindmilk. Setiap satunya mempunyai fungsi dan manfaat tersendiri.

1. Kolostrum 

Kolostrum adalah susu pertama yang dihasilkan oleh ibu selepas bersalin. Ia berwarna kekuningan dan lebih pekat berbanding susu biasa. Antara keistimewaan kolostrum ialah:

  • Kaya dengan antibodi yang melindungi bayi daripada jangkitan
  • Mengandungi protein tinggi untuk membantu perkembangan organ si manja
  • Bertindak sebagai laksatif semula jadi untuk membantu bayi membuang mekonium (najis pertama)

Kolostrum hanya dihasilkan dalam tempoh beberapa hari pertama selepas kelahiran sebelum badan mula menghasilkan susu matang.

2. Foremilk

Foremilk ialah susu yang keluar pada awal sesi penyusuan. Ia mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Kelihatan lebih cair dan kebiruan kerana tinggi kandungan air
  • Berfungsi untuk menghilangkan dahaga bayi
  • Mengandungi karbohidrat dan protein yang penting untuk tenaga

Walaupun foremilk nampak lebih cair, ia tetap penuh dengan nutrisi yang diperlukan oleh bayi.

3. Hindmilk

Selepas foremilk, susu yang keluar seterusnya dikenali sebagai hindmilk. Ia mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Lebih pekat dan putih berkrim kerana kandungan lemak tinggi
  • Membantu pertambahan berat badan bayi
  • Memberi rasa kenyang lebih lama kepada si manja

Untuk memastikan bayi mendapat keseimbangan foremilk dan hindmilk, pastikan sesi penyusuan berlangsung cukup lama pada satu payudara sebelum menukar ke sebelah yang lain.

12 Khasiat Susu Ibu & Kegunaannya

Ha… sebenarnya kami telah bongkarkan apa yang anda boleh buat dengan susu ibu. Jom semak apakah 12 kegunaan lain bagi susu ibu yang sungguh hebat lagi menakjubkan ini!

1. Merawat Cradle Cap

Cradle cap atau lebih dikenali sebagai seborrheic dermatitis, adalah keadaan biasa yang selalu dialami bayi baru lahir. Ia kelihatan seperti kulit kepala kering berwarna kuning atau coklat, yang bersisik atau berkerak seperti kelemumur.

Pakar perubatan mengatakan keadaan ini tidak berbahaya dan biasanya akan hilang sebelum hari jadi pertama bayi.

Namun, jika anda tidak suka melihat keadaan kulit kepala yang berkerak dan bersisik, anda boleh cuba sapukan susu ibu. Urut bahagian kepala dengan beberapa titisan susu sehingga kepingan kulit tertanggal.

Kemudian berus keluar kepingan kulit itu dengan menggunakan berus rambut yang lembut.

2. Merawat Ruam Lampin 

Oleh sebab susu istimewa ini boleh membantu melawan jangkitan dan melegakan sakit kulit, ia adalah alternatif yang paling murah dan paling berkesan untuk menyembuhkan ruam lampin bayi. 

Apabila kawasan ruam disapu susu dengan konsisten, ia akan menjadikan kulit bayi halus semula.

Jangan lupa untuk membiarkan kulit bayi kering selapas susu disapukan. Tapi jika ruam itu tak bertambah baik selepas satu atau dua hari menggunakan remedi ini (atau ubat-ubatan lain), dapatkan nasihat dari doktor.

3. Merawat Sinus Serta Jangkitan Mata dan Telinga

Sekiranya anak anda menghidap masalah sinus, cuba masukkan 2-3 titik susu ke dalam hidungnya! Anda mungkin rasa ini sangat menjijikan, tapi ia mampu memberi kelegaan.

Air susu boleh membantu merawat jangkitan mata dan telinga. Anda hanya perlu setitik dua cecair emas ini!

Tapi jika anak menghidap penyakit pink eye, bawa dia jumpa doktor dengan segera. 

4. Untuk Melegakan Cacar Ayam

Susu ibu juga boleh melegakan rasa gatal-gatal akibat cacar ayam dan mengurangkan risiko parut pada kulit.

Walau bagaimanapun dapatkan nasihat doktor sebelum cuba merawat cacar ayam dengan cara ini, ya.

5. Gigitan Serangga, Luka Calar dan Melecur

Ia dapat membantu melegakan rasa gatal dan sakit pada kulit akibat gigitan serangga, luka calar dan melecur yang tidak serius.

Ini disebabkan sifat antibakteria serta ciri-ciri lain dalam susu ibu yang boleh mempercepatkan penyembuhan kecederaan ringan.

6. Sebagai Makeup Remover

Anda kehabisan makeup remover? Gunakan susu ibu untuk membersihkan muka anda dengan cara semulajadi!

Ia tidak mempunyai bahan kimia dan boleh membersihkan muka dengan berkesan tanpa menyebabkan kerengsaan dan rasa kulit yang kering! Ia dapat melembapkan kulit dan menjadikannya licin dan lembut.

7. Bibir Yang Kering

Tak perlu beli lip balm lagi jika bibir anda selalu dalam keadaan yang kering. Sapukan sedikit susu yang segar dan lihatlah sendiri kesannya!

8. Untuk Melegakan Sakit Tekak

Oleh sebab sifat antimikroba seperti yang dijelaskan sebelum ini, susu ibu merupakan cara terbaik dan semulajadi untuk melegakan sakit tekak

Jika bayi anda sakit tekak, biarkan dia menyusu dengan lebih banyak. Ini rupanya antara khasiat susu ibu!

Petua untuk kanak-kanak yang lebih tua: kumur susu yang telah dipam dengan kerap. Itu sahaja!

9. Mandi Susu Ibu

Susu Ibu: Jenis-Jenisnya, Khasiat & Perbezaan Kolostrum, Hindmilk & Foremilk Yang Wajib Ibu Tahu

Kredit: Healthline

Jika anda mempunyai stok susu beku (EBM) yang banyak dan hampir lepas tarikh luputnya, anda bolehlah cuba melakukan milk bath atau mandi susu ibu untuk bayi anda.

Cara-cara:

  1. Keluarkan 1 atau 2 beg susu daripada peti ais dan tunggu sehingga ia cair.
  2. Tuangkan ke dalam air suam dalam tab mandian. Anda tidak perlu tuang dengan banyak!
  3. Periksa suhu air dulu kemudian rendam/mandikan anak anda.
  4. Lap sehingga kulit kering.

Kulit bayi anda akan menjadi sangat lembut selepas mandian mewah ini!

10. Mata Bengkak dan Merah

Anda mempunyai mata yang merah dan bengkak kerana menyusukan bayi beberapa kali semalam?

Jangan bazirkan wang anda untuk membeli krim mata yang mahal kerana anda boleh menggunakan susu ibu! Untuk mengurangkan bengkak atau kemerahan mata, rendam kapas dalam susu yang sejuk kemudian letakkan pada mata anda! 

11. Bau Ketiak

Macam susah nak percaya, tapi susu ibu boleh mengurangkan bau ketiak!

Cara-cara:

  1. Sapukan sedikit susu pada bahagian ketiak yang bersih
  2. Biarkan ia kering
  3. Dan amalkan setiap hari untuk membasmi bau ketiak

12. Dalam Masakan

Susu ibu juga boleh digunakan sebagai ramuan untuk buat ais krim, cupcake dan susu untuk kopi. Ia adalah alternatif yang lebih sihat berbanding dengan susu biasa mahupun creamer kopi. Layari sini untuk resipi-resipi yang hebat yang menggunakan susu ibu.

Selamat mencuba!

Setiap jenis susu ibu memainkan peranan penting dalam tumbesaran dan kesihatan bayi. Kolostrum bertindak sebagai perisai imun pertama bayi, foremilk menghilangkan dahaga, manakala hindmilk membekalkan tenaga dan membantu pertumbuhan.

Oleh itu, ibu-ibu digalakkan untuk menyusukan bayi secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan bagi memastikan si manja mendapat manfaat penuh.

Jadi, jangan risau jika susu nampak cair atau pekat. Yang penting, bayi anda mendapat penyusuan secukupnya!

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Bolehkah Baki Susu Ibu Yang Tidak Habis Digunakan Semula?

Baca juga: Berapa Banyak Susu Perlu Dipam Agar Bayi Betul-Betul Kenyang? Ini Panduannya

Baca juga: Cara Pam Susu Dengan Betul Supaya Payudara Tak Rasa Sakit, Susu Pun Kekal Meriah!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!