Tidak semua rumah tangga berakhir dengan kebahagiaan. Ada yang jodoh tidak panjang sehingga terpaksa memilih jalan untuk berpisah. Pastinya kehidupan selepas bercerai adalah tidak mudah, lebih-lebih lagi jika anda memiliki anak bersama suami.
Walau bagaimanapun sekiranya tiada persefahaman dalam hubungan, perpisahan adalah jalan yang terbaik bagi mengelakkan anda dan pasangan terus berdepan dengan konflik rumah tangga.
Kehidupan selepas bercerai, kahwin baru dengan bekas isteri kawan sendiri
Baru-baru ini tular mengenai kisah seorang influencer dari negara jiran iaitu Alvin Faiz yang mendirikan rumah tangga sekali lagi sedangkan baru 2 bulan berpisah dengan isterinya.
Lebih mengejutkan ramai, isteri barunya iaitu Henny Rahman adalah janda kawannya sendiri yang sudah 6 bulan berpisah.
Disebabkan itu, ramai yang memandang serong terhadap Alvin dan mengatakan dia seorang lelaki tidak bertanggungjawab. Hal ini kerana sanggup meninggalkan isteri semata-mata ingin mendapatkan janda rakannya.
Namun Alvin tidak berdiam diri dan menepis segala kata-kata yang dilontarkan kepadanya. Dia menyangkal keras dakwaan tersebut serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
Cukup sekali saya tegaskan, saya tidak merampas apatah lagi memanfaatkan kawan saya sendiri. Komunikasi kami tetap baik dan dia juga sudah lama tahu hubungan saya dengan isteri. Saya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap orang yang melemparkan fitnah sebegini.
Manakala menurut portal Hot Detik, Henny meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan media yang diberikan oleh bekas suaminya berhubung perkenalan bersama Alvin.
Sedangkan sebelum ini bekas suaminya, Zikri, sendiri yang memperkenalkan mereka berdua dan pernah bercakap seolah-olah menjodohkan mereka.
Dari awal aku dan Alvin berterus-terang dengan suami, Zikri. Sebelum ini dia pernah menjodohkan aku dengan Alvin dengan alasan dia orang yang baik, percaya boleh menjadi suami dan ayah tiri yang baik untuk Zayn.
Katanya ”lebih baik Henny bersama Alvin daripada lelaki lain yang dia tidak kenal”. Ketika dia tahu hubungan kami sangat dekat, Zikri sangat memberikan sokongan termasuklah bila aku buat keputusan untuk berkahwin.
Namun aku kecewa kerana selama ini tutup mulut rapat sebab kami bercerai, elak beberapa acara tv podcast dan wartawan bagi menjaga hubungan kami untuk Zayn.
Hubungan aku, Alvin dan Zikri juga sangat-sangat baik. Tapi sekarang kenyataan yang dikeluarkan oleh media sangat-sangat menghancurkan hati.
Keluarga dan sahabat dari dulu minta untuk aku tampil membuka mulut. Tapi aku hanya menahan diri sehinggalah ke hari ini walaupun kedua orang tua mengizinkan.
Tapi rasanya aku tidak sampai hati untuk membalas dan membuka aib ayah kepada anak. Aku percaya balasan Allah lebih adil kerana Allah adalah hakim yang sebenar-benarnya. Allah tidak pernah tidur serta tahu kebenaran yang sebenarnya.
Kehidupan selepas bercerai, elak buka aib pasangan agar dapat teruskan hidup dengan tenang
Perceraian bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya ia adalah satu permulaan untuk anda memulakan kehidupan yang baharu.
Berikut ada beberapa tips yang dikongsikan oleh ustaz agar anda tenang menghadapi kehidupan selepas bercerai:
#1. Anggap perceraian sebagai hal yang positif
Usah melihat perceraian sebagai sesuatu yang negatif sedangkan banyak hikmah terkandung di dalamnya.
Ada orang yang sudah lama bertahan hidup lebih bahagia selepas berpisah dengan pasangan. Percayalah akan ada keindahan pelangi selepas hujan.
#2. Jangan buka aib pasangan
Kerja syaitan adalah menghasut dan menimbulkan bibit-bibit permusuhan antara bekas pasangan suami isteri. Sekiranya sudah memilih jalan untuk berpisah, berhentilah menyalahkan antara satu sama lain.
Adalah lebih baik menjaga aib anda dan pasangan bagi mengelakkan sebarang masalah selepas bercerai.
#3. Bersangka baik dan pilih untuk ‘move on’
Untuk hidup bahagia selepas berpisah dengan pasangan, sentiasa bersangka baik dengan yang telah ditetapkan oleh Allah. Berhenti menyalahkan orang lain dan muhasabahlah diri sendiri.
Tutup aib orang lain sepertimana kita sorokkan aib diri sendiri. Teruskan melangkah ke hadapan dan berhenti menyakiti diri sendiri dengan mengingati kisah-kisah lama.
Kredit foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Dicerai Ketika Hamil, Wanita Cekal Ini Pernah Bungkus Anak Dalam Plastik Redah Hujan