Sewaktu sedang hamil, ibu ini sering keluar malam ketika maghrib dan akibatnya, anak dilahirkan suka menangis dari maghrib hingga ke subuh.
Bukan itu sahaja, keadaan bayi itu lain daripada yang lain dengan ubun-ubunnya cekung ke dalam. Itu kisah yang tular diceritakan menerusi artikel pada laman indozone dipetik daripada video TikTok.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Akibat sering keluar malam, bayi alami masalah
- Menangis dari maghrib hingga subuh, ubun-ubun cekung
- Penceritaan timbul keraguan
Akibat sering keluar malam, bayi alami masalah
Berdasarkan artikel tersebut yang memetik video di TikTok, seorang wanita menceritakan pengalaman dialami oleh ibunya ketika mengandung. Dikatakan ibu wanita itu sering keluar malam pada waktu maghrib ke sebuah tempat (lapangan) berada di sebelah rumahnya.
Perbuatan ibu hamil itu telah dilarang oleh neneknya namun, ia wanita itu tidak mengendahkan larangan tersebut kerana tidak mempercayai mitos itu.
Dalam artikel itu juga diceritakan, ketika usia kandungannya memasuki lapan bulan, wanita itu bertemu dengan doktor untuk memeriksa keadaan bayi di dalam rahim. Mengejutkan apabila doktor memberitahu bayi itu sudah meninggal dunia di dalam perut berikutan tiada bunyi degupan jantung sekali gus wanita itu perlu menjalani pembedahan.
Menangis dari maghrib hingga subuh, ubun-ubun cekung
Susulan itu, wanita hamil itu enggan menjalani pembedahan dan akhirnya meminta bantuan berubat kampung iaitu dengan cara disembur menggunakan daun sirih daripada mulut orang yang mengubatinya. Keesokan harinya, ibu itu berasa sakit perut dan melahirkan bayi secara normal.
Artikel itu menceritakan keadaan bayi yang dilahirkan memiliki bentuk luar biasa. Ubun-ubun bayi itu dalam keadaan cekung kedalam malah, dia juga selalu menangis dari maghrib hingga subuh selama dua tahun.
Orang yang mengubatinya secara kampung memberitahu, bayi itu terkena pelesit dan hantu air kerana mereka tinggal di sekitar Sungai Siak (sebuah sungai terletak di Indonesia). Selain itu, jiran kepada wanita itu juga disyaki memelihara pelesit.
Bagi menghilangkan gangguan terhadap bayi itu, wanita itu menceritakan, ibunya kemudian menemui serangga seperti cengkerik tetapi kepalanya kelihatan semacam tengkorak. Kemudian ibunya memotong kepala serangga itu dan sejak itu, tiada gangguan terhadap bayinya.
Penceritaan timbul keraguan
Bagaimanapun, timbul persoalan dan keraguan sama ada kisah yang tular itu benar-benar terjadi atau sekadar rekaan dikongsi untuk hiburan cerita seram kepada pembaca di media sosial.
Dalam kisah tersebut, pada awalnya dikatakan doktor yang merawat ibu itu memaklumkan bayinya sudah meninggal dunia di dalam perut serta tiada degupan jantung. Namun dikatakan pula ibu bayi itu enggan menjalani pembedahan serta berubat secara kampung dan boleh melahirkan bayi itu secara normal.
Malah, diceritakan bayi itu selalu menangis dari maghrib hingga ke subuh. Bagaimana pula bayi yang disahkan sudah meninggal dunia di dalam perut boleh pula hidup bernyawa? Selain itu, pautan video ke akaun TikTok pada artikel tersebut tidak boleh dilihat dan carian pada media sosial itu juga tidak menemui hantaran video itu.
Apa pun sebagai umat Islam, kita mempercayai qada dan qadar iaitu ketetapan daripada Allah SWT dan menjauhkan diri kita daripada melakukan perbuatan syirik yang boleh menyekutukan Allah SWT.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bintik Putih Pada Ikan Boleh Membawa Kesakitan Pada Ibu Hamil, Jaga-Jaga Bila Nak Makan!
Baca juga: 5 Kaedah Utama Melegakan Rasa Sakit Nak Bersalin Yang Ibu Hamil Boleh Cuba