Masih Ingatkan Anda 7 Kes Budak Hilang Yang Berakhir Dengan Kematian Tragis Ini?

lead image

Ini antara kes budak hilang di Malaysia yang pernah menggemparkan masyarakat. Apa yang menyedihkan, ada sebilangan kes yang masih tidak jumpa si pelaku!

Tahukah anda, statistik laporan kes budak hilang setakat ini berjumlah 15,042 yang terdiri di kalangan kanak-kanak dan remaja? Laporan ini diambil dari tahun 2011 hingga Mei tahun ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 97.6% atau 14,678 kes budak hilang ditemui semula. Manakala 363 kes lagi masih belum ditemui.

Sementara itu, Johor mencatat kes kehilangan paling tinggi iaitu 2372 kes, Selangor 1911 dan Kedah 1526. Ada sesetengah kes ini masih tergantung dan tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan jenayah ini sama ada mereka diculik, dirogol atau dibunuh.

Siapalah agaknya mereka yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini yang langsung tidak takut dengan dosa….

Ibu bapa yang kehilangan anak pula sudah tentunya sedih dan meratapi apa yang berlaku. Kalau jumpa masih hidup mungkin akan lebih berhati-hati selepas ini, tapi jika ditemui mati tentunya ia merobek hati dan sanubari. 

7 Senarai Kes Budak Hilang Yang Pernah Menggemparkan Malaysia

Berikut kami senaraikan kes budak hilang yang pernah menggemparkan Malaysia suatu ketika dahulu.

#1. Ang May Hong (1987)

budak hilang

Ang May Hong merupakan kanak-kanak 10 tahun yang ditemui mati kira-kira 200 meter dari rumahnya selepas dirogol dan dibunuh. Tak cukup dengan itu, kemaluannya juga dirodok dengan kayu sehingga menembusi usus dan jantung, manakala leher mangsa dijerut dengan wayar.

Kejadian berlaku ketika May Hong dalam perjalanan membeli sarapan pagi bersama abangnya, Yeow Thiam, 11 di sebuah gerai berhampiran rumah mereka di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada jam 8 pagi.

Kekejaman kanak-kanak itu dipercayai dilakukan oleh penagih dadah yang banyak berkeliaran di kawasan itu. Walau bagaimanapun selepas 20 tahun, pembunuh May Hong masih tidak dapat diberkas.

#2. Audrey Melissa Batinathan (1999)

pelajar hilang

Pada 17 Mei 1999, mayat seorang pelajar tingkatan lima, Audrey Melissa Batinathan ditemui dalam keadaan separuh bogel berhampiran sekolahnya di Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur.

Mayatnya ditemui seorang pekerja Alam Flora ketika membersihkan kawasan itu pada jam 7 pagi. Dia ditemui dengan kesan cekik pada bahagian leher.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa dipukul, dirogol dan dijerut lehernya. Pada awalnya, dua lelaki berumur 20 dan 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Namun, sehingga kini pembunuh Audrey masih belum berjaya dihadapkan ke mahkamah.

#3. Preeshena Varshiny (2007)

kes budak hilang Malaysia

Preeshena Varshiny didera secara seksual sebelum dibunuh dan dicampak dari sebuah rumah kosong di Kondominium Casa Mila Tower Jalan Bukit Idaman 3/1. Menurut sumber, kanak-kanak itu ditinggalkan bersendirian oleh ibu bapa yang bekerja.

Pihak berkuasa menjalankan ujian DNA ke atas 31 sampel daripada 26 pengawal keselamatan dan lima pekerja di kondominum itu. Namun sehingga kini kes masih belum selesai.

#4. Nurul Huda Abdul Ghani (2004)

kes hilang anak

Pada 17 Januari 2004, kanak-kanak berumur 10 tahun ini telah menaiki basikal untuk keluar membeli telur dan ikan buat keluarga di sebuah kedai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Namun sehingga 12.45 tengah hari, Nurul Huda masih tidak pulang hingga menimbulkan kerisauan keluarganya. Lalu mereka membuat laporan polis hingga penemuan tubuhnya yang sedang nyawa-nyawa ikan di tandas Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad. Kemudian mangsa disahkan meninggal dunia di pusat kesihatan.

Pengawal Keselamatan TNB, Mohd Abbas Danus Baksan telah didakwa atas kesalahan merogol dan meliwat mangsa. Namun suspek dilaporkan bebas daripada dakwaan membunuh mangsa hingga terlepas hukuman gantung.

#5. Nurin Jazlin Jazimin (2007)

mati dibunuh

Nurin dilaporkan hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju untuk membeli klip rambut.

Namun, pada pagi 17 September 2007, sebuah beg sukan ditemui seorang pemilik kedai yang ditingalkan di hadapan rumah kedai di PJS 1/48 Petaling jaya.

Apa yang menyedihkan, sekujur tubuh mayat bogel kanak-kanak yang tidak dikenali disumbat dalam sebuah beg. Pada mulanya ibu bapa mangsa menyangkal itu anak mereka, namun ujian DNA telah mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin Jazlin.

Walau bagaimanapun suspek masih belum tertangkap dan kes belum selesai.

#6. Sharlinie Mohd Nashar (2008)

hilang belum jumpa

Sudah hampir 11 tahun anak perempuan Mohd Nashar Hussin dan Suraya Ahmad ini dilaporkan hilang.

Kanak-kanak perempuan lima tahun ini dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain dengan kakaknya Sharliena di padang permainan di kawasan rumah mereka di Taman Medan Petaling Jaya.

Apa yang diketahui, suspek penculik Sharlinie mungkin seorang lelaki yang berpura-pura mencari kucing di kawasan tersebut. Sehingga ke hari ini, ibu bapa Sharlinie berharap anaknya masih boleh ditemui dan dalam keadaan baik walau di mana dia berada.

#7. Nurul Nadirah Abdullah (Dirang) 2012

hilang anak

Kanak-kanak comel bernama Nurul Nadirah Abdullah yang mesra disapa Dirang 5 tahun dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012. Mangsa dikatakan keluar membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit di bawah rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.

Namun, Dirang ditemui mati rentung dalam lubang tapak perumahan terbengkalai di Damai, Masai.

Suspek yang berjaya diberkas polis dikatakan mencekik mangsa sehingga mati sebelum memasukkan mayatnya ke dalam lubang lalu membakarnya. Motif suspek kerana berang dihina dan dipandang rendah oleh nenek mangsa.

Walau bagaimanapun, suspek telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 2013 selepas didapati bersalah membunuh Dirang.

**************************************

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul memang sinonim dengan keluarga mangsa yang kehilangan anak tercinta.

Bayangkan kita mengandung, membesar dan mendidik mereka, namun anak yang ditatang bagai minyak yang penuh akhirnya hilang, mati atau dibunuh dengan kejam oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan.

Jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan pengajaran buat kita agar lebih berhati-hati tentang keselamatan anak. Jangan biarkan mereka bersendirian keluar tanpa pantauan dari orang yang boleh dipercayai.

Diharap ahli keluarga kanak-kanak yang hilang ini cekal dan terus tabah dengan apa yang telah menimpa mereka. Semoga roh kesemua mangsa dicucuri rahmat dan tenang di sana. 

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Masih Ingatkan Anda 7 Kes Budak Hilang Yang Berakhir Dengan Kematian Tragis Ini?

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Kredit: Buku Karangkraf, Sinar Harian, Lobak Merah

Baca juga:

Menangani kehilangan…

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

app info
get app banner