Mudah penjagaan dan luka pun cepat kering antara kebaikan khatan ketika bayi diceritakan oleh penyanyi, Tasha Manshahar, sepanjang menjaga anak keduanya. Ia pengalaman kedua Tasha dan suami kerana sebelum ini, mereka turut mengkhatan anak sulung sewaktu masih bayi.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Tasha Manshahar kongsi kebaikan khatan ketika bayi
- Khatan ketika bayi bantu percepatkan penyembuhan luka
- Panduan khatan anak ketika bayi, ibu ayah tidak perlu takut
- Tips sebelum dan selepas khatan bayi
Menurut perkongsian Tasha pada akaun Instagram, banyak kebaikan khatan sewaktu masih bayi dan sebaik-baiknya ia dilakukan semasa bayi berusia 7 hari. Namun disebabkan bayi mereka Mateen mengalami jaundice, Tasha dan suami perlu menunggu anak mereka pulih.
Tasha Manshahar kongsi kebaikan khatan ketika bayi
Berkongsi mengenai penjagaan Mateen, Tasha menceritakan ia lebih mudah kerana pada waktu itu bayi kerana belum lasak selain belum boleh meniarap dan berguling.
“Sangat mudah penjagaan dia, cepat sembuh, cantik dan bersih je dia punya tu. Patutlah sunnah khatankan anak masa bayi ni.
“Mudah khatankan bayi masa dalam hari ni sebab bayi belum lasak, belum meniarap, belum berguling, dia cuma tidur dan menyusu.
“Kita pun jaga makan, jadi daripada pemakanan ibu yang baik, asbab susu ibu tu anak sembuh cepat,” demikian perkongsian penyanyi itu.
Khatan ketika bayi bantu percepatkan penyembuhan luka
Tasha bercerita, kebiasaannya luka tersebut akan kering antara 10 hingga 14 hari namun, Mateen dan anak sulungnya Muammar sebelum ini tidak sampai pun 2 minggu.
“Beberapa hari saja luka dah kering. Cuma tunggu ring di situ tertanggal. Bayi menangis tak? Sudah tentu nangis dan sebelum doktor potong tu, dia letak bisu dahulu.
“Masa itu bayi menangis sebab jarum dan selepas itu, semasa prosedur tu (khatan), bayi nangis. Doktor kata bukan sebab sakit, dia dah tak rasa pun sebab dan bius.
“Bayi menangis sebab doktor dan jururawat pegang dia tak bagi bergerak, jadi dia tak selesa. Ada benda (ring) di situ. Tapi sekejap saja, tak ada meragam, tiada masalah demam. Tidur dan menyusu semua macam biasa Allah permudahkan urusan,” cerita Tasha lebih lanjut.
Panduan khatan anak ketika bayi, ibu ayah tidak perlu takut
Mungkin ada ibu bapa berhasrat untuk khatan anak ketika bayi namun masih berasa bimbang untuk memilih kaedah ini. Baca tips daripada Klinik Dr Hasbi mengenai persediaan mengkhatan bayi lelaki.
Tips sebelum dan selepas khatan bayi
Mungkin ada ibu bapa berhasrat untuk mengkhatankan anak ketika bayi namun masih berasa bimbang untuk memilih kaedah ini. Ini tips persediaan daripada Klinik Dr Hasbi untuk mengkhatan bayi lelaki.
Ada ibu bapa yang risau turut dilanda rasa ragu-ragu sama ada mahu mengkhatankan anak sewaktu masih bayi atau tunggu dahulu mereka besar.
Dapatkan nasihat daripada doktor keluarga, pakar pediatrik, pakar bedah pediatrik atau doktor pakar sakit tuan terlebih dahulu.
Biasanya bayi yang lahir cukup bulan selamat dikhatan dalam usia 2 hari dan kebiasaannya, doktor mencadangkan usia 2 hingga 3 minggu untuk berkhatan. Jika mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW, bayi dikhatan pada hari ke-7 kelahiran.
Bagi kes bayi tidak cukup bulan, ibu ayah perlu menunggu terlebih dahulu dan mendapatkan nasihat daripada doktor bagi mengelakkan berlakunya masalah lain pada kemudian hari.
1- Semasa proses berkhatan
Doktor akan menjelaskan terlebih dahulu mengenai risiko mungkin terjadi semasa dan selepas berkhatan. Ibu bapa akan diminta kebenaran bertulis atau secara lisan.
Bayi tetap akan menangis apabila suntikan bius setempat diberi dan sebaiknya, beri puting kosong dicelup air gula untuk menenangkannya. Doktor juga mungkin akan masukkan ubat punggung sebelum khatan bermula. Proses ini mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit.
2- Penjagaan selepas khatan
Jika menggunakan cara clamp, air kencing akan keluar melalui corong clamp. Ibu bapa perlu tembak air paip ke dalam corong menggunakan picagari yang disediakan untuk mencuci air kencing.
Luka khatan hendaklah dipastikan sentiasa bersih dan kering. Sekurang-kurangnya untuk 24 jam pertama, bayi tidak dipakaikan lampin pakai buang agar air kencing tidak meruap dan lembab menyebabkan jangkitan kuman.
Secara ringkasnya, luka hendaklah dibersihkan dan disapu ubat setiap kali bayi membuang najis selama beberapa hari sehingga luka kering. Biasanya luka khatan bayi lebih cepat sembuh kerana luka yang kecil dan kulit yang nipis.
Ubat yang diberikan seperti ubat tahan sakit, antibiotik dan krim luka perlu diberikan mengikut arahan doktor. Jangan sapu ubat atau minyak pada luka tanpa nasihat doktor untuk mengelakkan masalah.
Biasanya tarikh lawatan susulan selepas beberapa hari untuk memeriksa luka atau buka clamp ialah 5 hingga 7 hari lepas khatan. Jika kaedah laser, jahitan akan hancur sendiri tanpa perlu dibuka. Clamp boleh dibuka sendiri di rumah.
Manakala plastibell ia akan tanggal sendiri selepas beberapa hari. Biasanya 3 hingga 5 hari tetapi, ada kes plastibell tidak tanggal sehingga 7 hingga 14 hari. Jika terlalu lama risiko jangkitan kuman lebih tinggi.
Instagram Tasha Manshahar, Klinik Dr Hasbi
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Penjagaan Selepas Berkhatan Kena Betul, Ibu Ini Kongsi Tips Agar Luka Cepat Sembuh!
Baca juga: Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Berkhatan Anak Lelaki
Baca juga: 3 kesalahan ibu bapa ketika jaga kebersihan kulit khatan bayi lelaki