Peranan sebagai ibu bapa tidak mudah kerana terlalu banyak tanggungjawab yang perlu digalas semenjak anak masih kecil sehinggalah mereka sudah menginjak dewasa. Anak merupakan satu anugerah yang diberikan Sang Pencipta, maka peranan ibu bapa dalam mendidik anak adalah sangat penting bagi memastikan mereka sentiasa di landasan yang tepat.
Meskipun mungkin sudah berbelas tahun bergelar ibu bapa, ada yang mungkin masih belum pasti bagaimana caranya untuk memainkan peranan yang betul mengajar anak supaya mereka dapat menjadi insan yang berguna kepada masyarakat.
Anak kecil ibarat kain putih. Justeru, ibu bapalah yang akan mencorakkannya dengan cara yang betul atau sebaliknya. Jadi untuk membantu anak menjadi seorang yang hebat, anda sebagai ibu bapa perlulah mulakan langkah paling penting, iaitu berkomunikasi dengan mereka dengan cara paling berhemah dan bijak sejak mereka kecil lagi.
Peranan Ibu Bapa dalam Mendidik Anak
Jika bukan anda sebagai ibu bapa, siapa lagi yang akan mendidik anak anda bukan? Anda tidak boleh sekadar mengharapkan pihak taska, pusat jagaan atau bahkan sekolah sahaja untuk mendidik dan berkomunikasi dengan anak anda. Sebaliknya, anda sendiri sebenarnya perlu memainkan peranan itu di rumah.
Dalam mendidik anak-anak, anda perlulah menjadi contoh teladan yang baik buat mereka. Contohnya dengan menunjukkan sikap serta budi pekerti yang baik di hadapan mereka. Ingat, anak kecil biasanya lebih cenderung untuk mengikut tingkah laku orang yang paling hampir dengan mereka.
Selain itu, anda juga perlu kerap berkomunikasi dengan anak anda sejak mereka masih kecil lagi. Janganlah hanya kerana mereka masih bayi ataupun kanak-kanak, anda beranggapan si manja anda itu tidak akan memahami apa yang anda cuba ‘borakkan’ bersama mereka.
Ada cara tertentu yang anda boleh gunakan untuk berkomunikasi bersama anak anda. Anda perlu ingat dan tahu bahawa ini adalah salah satu peranan ibu bapa dalam mendidik anak kerana komunikasi sangat penting dalam perkembangan otak mereka. Kegagalan anda untuk tahu cara berkomunikasi dengan baik bersama dengan anak anda mungkin akan memberikan impak negatif kepada mereka apabila sudah semakin membesar kelak.
Cara Komunikasi dengan Anak
Anda tidak memerlukan topik yang berat pun untuk bersembang dengan anak anda. Cakaplah apa sahaja dengan anak anda asalkan kata-kata yang dilontarkan itu adalah yang baik belaka dan tidak akan memberikan pengaruh negatif kepada mereka.
Pilih sahaja mana-mana topik ringan yang boleh anda bualkan. Mungkin anda rasakan ia biasa sahaja, namun tanpa disedari ia akan membantu otak anak anda berkembang.
Ingat juga, setiap interaksi anda dengan anak anda adalah satu bentuk komunikasi. Ia bukan hanya sekadar tentang kata-kata yang anda ucapkan, namun termasuk juga nada suara anda, pandangan mata anda dan juga sentuhan yang anda berikan. Semua ini memberikan mesej kepada anak anda.
Justeru, di sini kami kongsikan beberapa cara berkomunikasi dengan berkesan yang boleh anda gunakan ketika bersama anak.
#1. Jadi pendengar aktif
Mendengar secara aktif akan membantu anak-anak berasa bahawa mereka didengari dan difahami. Dengan menggunakan gerak isyarat seperti senyuman dan anggukan, anda boleh menunjukkan bahawa anda benar-benar mengambil berat mengenai mereka. Pastikan juga anda letakkan mata anda ke paras yang sama seperti anak anda semasa mereka bercakap dengan anda. Ini boleh membantu mereka berasa lebih selamat dan lebih berhubung dengan anda tanpa disedari.
Tunjukkan juga bahawa anda sedang mendengar dengan teliti apa yang mereka cuba kongsikan dengan bertanya kepada mereka soalan seperti “apa?” “kenapa?” dan bagaimana?”. Ini juga secara tidak langsung akan membantu meningkatkan kemahiran komunikasi anak anda.
#2. Cakap dengan jelas
Gunakan bahasa yang mudah difahami oleh anak anda dan sesuai dengan umur mereka. Pastikan ia jelas, spesifik dan tidak menggunakan perkataan yang buruk (kata carutan). Tindakan anda menggunakan bahasa yang baik akan membantu memberikan contoh positif untuk anak-anak anda. Ingat, perbualan harus membuatkan si kecil anda berasa dihormati dan disayangi.
#3. Elak tawarkan ganjaran
Jangan hanya kerana anda ingin mengawal mereka mengikut rentak anda dan nak anak dengar cakap anda, maka anda sentiasa menawarkan ganjaran seperti gula-gula, permainan dan lain-lain kepada mereka. Tindakan menawarkan ganjaran ini hanya berkesan untuk jangka masa pendek sahaja. Dan lebih malang ia boleh menyebabkan timbulnya rasa tidak percaya di antara anda dengan anak anda.
Cuba berikan jangkaan yang jelas dan realistik tentang perkara yang anda ingin anak anda lakukan. Puji apabila mereka bersikap baik, dan hukum mereka dengan cara yang betul apabila mereka melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku.
#4. Menjelaskan mengenai perasaan
Untuk membantu anak anda mengembangkan kecerdasan emosinya, adalah penting bagi mereka untuk belajar mengetahui perasaan mereka. Apabila anak anda meluahkan perasaan mereka secara lisan, dengarkan apa yang mereka katakan dengan penuh empati dan tanpa melakukan sebarang penghakiman.
Jika anak kecil anda meluahkan perasaan mereka secara bukan lisan contohnya marah, ketawa dan berseronok melakukan aktiviti yang mereka gemari, sila juga bantu mereka menyatakan perasaan mereka itu.
#5. Nikmati masa bersama
Apabila anak-anak anda semakin membesar, peranan ibu bapa dalam mendidik anak akan menjadi lebih serius. Itulah sebabnya anda perlu meluangkan masa sebaiknya bersama anak anda ketika mereka masih kecil. Nikmati sahaja perbualan ringan untuk mengeratkan hubungan anda.
Anda boleh cuba beri perhatian kepada minat mereka dan bergurau bersama. Pastinya seronok dapat ketawa dengan anak anda setiap hari! Jangan biarkan mereka tertumpu kepada televisyen atau gajet sahaja ya.
#6. Beri tumpuan kepada tingkah laku
Jika anda kecewa dengan anak anda tentang sesuatu, pastikan kritikan dan komen anda itu ditujukan kepada tingkah laku mereka dan bukannya kepada mereka sebagai seorang individu. Ini akan membantu memastikan cara didik anak yang anda gunakan lebih berkesan dan membantu mereka menjadi insan yang lebih baik.
5 Sebab Penting Komunikasi dengan Anak
Sentiasa berkomunikasi merupakan satu cara membesarkan anak yang paling bagus dan berkesan. Mengapa? Ini sebab-sebabnya:
#1. Memastikan anak anda rasa didengari dan disayangi
Sebagai ibu bapa, anda pasti sudah tahu bahawa komunikasi dapat membantu anak anda merasa bahawa perasaan mereka didengari dan mereka juga lebih disayangi. Bayangkan jika dalam satu rumah, anda dan anak anda hanya membuat hal masing-masing. Anda dengan telefon bimbit anda, mereka juga anda biarkan begitu. Contohnya memberikan mereka gajet untuk mereka melayan kartun ataupun permainan video.
Ingat, cara ini tidak membantu mereka melepaskan emosi mereka. Walaupun masih kecil, anak anda sangat memerlukan perhatian daripada anda untuk memahami emosi mereka. Jika anda biarkan perasaan mereka terabai, mereka akan menganggap bahawa perasaan mereka tidak difahami dan anda juga tidak berminat untuk menjadi pendengar setia mereka.
#2. Dapat membantu membina hubungan yang positif
Komunikasi yang baik antara anda dan anak anda adalah penting bagi membina hubungan yang positif dan akan memudahkan anda bercakap tentang topik yang lebih serius dan sukar apabila mereka semakin dewasa kelak.
Jangan hanya tumpukan perhatian kepada anak dan kerap berkomunikasi dengan mereka apabila mereka masih kecil sahaja. Pastikan anda tetap berkomunikasi dengan mereka apabila mereka sudah menginjak ke alam remaja dan juga dewasa. Dengan cara itu, anda dan anak akan sentiasa akrab dan boleh meluahkan perasaan masing-masing tanpa rasa segan-silu.
#3. Memupuk rasa percaya di antara anak dan ibu bapa
Cara buat anak percaya kepada anda adalah dengan komunikasi yang betul dan berhemah. Terapkan budaya ini bersama anak anda supaya mereka tahu bahawa mereka boleh percayakan anda dan bergantung harap kepada anda walaupun apabila sudah dewasa nanti.
Cuba percaya dan fahami setiap perkara yang anak anda cuba sampaikan. Jangan mencelah apabila mereka sedang bercerita mengenai ‘masalah’ mereka. Gunakan isyarat seperti anggukan atau senyuman bagi menunjukkan bahawa anda memahami luahan dan kata-kata anak anda itu. Barulah komunikasi anak anda bersama anda terasa lebih puas dan menyeronokkan!
#4. Membantu anak membesar dengan yakin
Kekerapan anda berbual atau berkomunikasi dengan anak anda akan membantu mereka membesar dengan lebih yakin. Mana tidaknya, melalui komunikasi bersama ibu bapa, mereka semestinya akan dapat mempelajari banyak benda baru menerusi anda.
Selain itu, anak anda juga berupaya menjadi seorang individu yang lebih prihatin terhadap orang lain, menyayangi dan disayangi serta dapat menonjolkan sikap yang positif apabila mereka semakin dewasa kelak.
#5. Mengelakkan mereka daripada merasa terabai
Ketika masih kecil, anak anda sangat memerlukan perhatian anda. Jadi, komunikasilah memainkan peranannya. Biarpun anak anda mungkin belum mengetahui perasaan yang mereka cuba ingin sampaikan, namun anda juga boleh cuba memahaminya menerusi tingkah-laku yang mereka tonjolkan.
Kesan Jika Selalu Tidak Mengendahkan Anak
Peranan ibu bapa dalam mendidik anak sangat penting supaya anak merasakan bahawa kewujudan mereka di dunia ini lebih dihargai.
Boleh dikatakan pada hari ini, kesibukan ibu bapa keluar mencari rezeki membuatkan anak-anak berasa sedikit terabai. Kesannya mungkin tidak akan nampak dalam jangka masa pendek, namun ia boleh kelihatan pada jangka masa panjang nanti.
Kurangnya komunikasi dan tindakan anda mengendahkan anak anda akan memberikan implikasi-implikasi seperti:
- Otak anak tidak berkembang
- Hubungan ibu bapa dan anak semakin renggang
- Anak tidak dapat berkongsi emosi dan bercerita mengenai hal penting mahupun ringan
- Anak rasa kurang disayangi
- Anak menunjukkan tingkah laku yang lebih agresif, bersikap biadap dan tidak stabil hanya kerana memerlukan perhatian daripada anda
- Anak lebih banyak berdiam diri
- Anak selalu cemburu dan dengki dengan kelebihan rakan-rakannya yang lain
Ingatlah wahai ibu ayah, anak anak memerlukan anda sebagai peneman setia mereka sejak dari kecil. Cubalah berkomunikasi bersama mereka dengan lebih kerap dan lakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan supaya anda tidak menyesal di kemudian hari.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 10 Bahasa Bayi Yang Ibu Bapa Patut Tahu, Mereka Sedang Cuba Berkomunikasi Dengan Anda!
Baca juga: 4 Perkara Yang Anak Speech Delay Sangat-Sangat Perlu, Take Note Parents Bila Berkomunikasi Dengan Mereka!
Baca juga: 5 Cara Bayi Sedang Berkomunikasi Dengan Anda, Ibu Ayah Perlu Tahu!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!