Kudis buta atau scabies ialah keadaan kegatalan pada kulit yang disebabkan oleh gigitan kutu atau hama yang dikenali sebagai Sarcoptes Scabiei. Kutu itu pula merupakan sejenis parasit, iaitu suatu organisma yang hidupnya menumpang pada makhluk hidup lain dan merugikan hidupan yang ditumpangi.
Untuk pengetahuan semua, hama ini boleh tinggal di dalam kulit dengan tempoh beberapa bulan jika ia tidak dirawat. Bagaimana hama ini boleh membiak? Ia membiak dan ‘menggali’ di atas permukaan kulit anda lalu menghasilkan telur di dalam lubang kulit tersebut.
Kulit akan memberikan reaksi terhadap hama dan sisa hama ini. Inilah yang akan menyebabkan rasa gatal-gatal dan terbentuknya ruam merah pada kulit tersebut. Anda tidak akan dapat lihat hama dengan mata kasar, tetapi anda boleh melihat kesan kehadirannya melalui pembentukan ruam dan kegatalan.
Kudis buta bukanlah tanda-tanda kurangnya penjagaan kebersihan. Walau bagaimanapun, ianya cenderung berlaku ditempat-tempat tinggal yang sesak sepeti asrama dan rumah asuhan.
Adakah Kudis Buta Boleh Berjangkit?
Ya, malah ia amat mudah untuk menjangkiti individu lain. Hanya melalui sentuhan fizikal dengan individu yang dijangkiti, anda mungkin akan mendapat kudis ini dengan amat mudah. Selain itu, ia juga mudah dijangkiti melalui pakaian, perabot dan juga tempat tidur.
Oleh sebab itu, pelajar yang tinggal di asrama amat mudah untuk dijangkiti dengan kudis buta. Sentuhan fizikal dan perkongsian bantal atau tilam menjadi punca mengapa ia mudah menjangkiti pelajar-pelajar lain di asrama.
Gejala Dan Tanda Kudis Buta
Pada awal pendedahan terhadap kudis, ia mungkin akan mengambil masa sehingga 6 minggu untuk simptom-simptom jangkitan ini muncul. Walau bagaimanapun, bagi individu yang pernah dijangkiti kudis buta sebelum ini, simptom-simptom biasanya akan muncul dengan lebih cepat.
Kudis buta biasanya berkait dengan :
- Kegatalan kulit yang teramat sangat, yang mana ianya lebih teruk diwaktu malam dan selepas mandi air panas.
- Tanda-tanda calar kesan daripada menggaru.
- Bintik merah seperti ruam terutama dikawasan kedua-dua tapak tangan dan kaki.
- Garisan hitam beralun dan pendek pada kulit (tempat korekkan kutu).
Antara kawasan yang biasanya dijangkiti dengan kudis buta dalam kalangan kanak-kanak dan individu dewasa ialah :
- Celah jari
- Tapak tangan
- Bahagian dalam pergelangan tangan
- Kawasan kemaluan
- Punggung
- Sekitar pusat
- Celah-celah ketiak
- Siku
- Kaki dan buku lali
Rawatan Kudis Buta
Justeru rawatan adalah membabitkan penggunaan ubat dan juga pencegahan jangkitan semula. Sebagai langkah pencegahan, orang yang berhubung rapat dengan pesakit (contohnya ahli keluarga yang tinggal dalam satu rumah) juga perlu dirawat bersama.
- Tip yang boleh diamalkan mandi dan lap seperti biasa. Sapu ubat dari leher ke hujung jari kaki dan tangan, diikuti badan. Pastikan setiap inci kulit dari leher ke bawah disapu dengan ubat. Tumpukan perhatian di celah-celah jari, ketiak, pusat, punggung serta kemaluan. Jangka masa ubat perlu melekat di kulit bergantung kepada jenis ubat yang digunakan.
- Pada hari yang sama, basuh semua cadar, sarung bantal, selimut, tuala serta pakaian yang dipakai dalam tiga hari yang lepas dalam air panas 60 darjah Celsius.
Penggunaan Losyen Dan Krim Ubat Kudis Buta
Ubat yang sering digunakan dalam rawatan kudis buta adalah ubat topikal (ubat sapuan pada kulit).
Ubat-ubatan yang boleh membunuh kutu dinamakan scabicides. Ianya berbentuk krim atau losyen disapu pada kulit. Ini termasuk:
- Losyen permethrin.
- Krim gamma benzene hexachloride.
- Losyen benzyl benzoate.
- Losyen malathion.
- Losyen atau krim crotamiton.
Berikut adalah cara menggunakan losyen dan krim tersebut:
1. Losyen Permethrin 5%
Cara guna:
- Sapu ubat ke seluruh badan termasuk kulit kepala, leher dan belakang telinga. Beri perhatian terhadap celah-celah jari kaki dan tangan dan di bahagian hujung kuku. Penggunaan berus kecil boleh membantu menyapu loyen ini.
- Bersihkan selepas 24 jam.
- Permethrin sepatutnya disapu sebanyak dua kali, dengan jarak selama satu minggu di antara rawatan.
- Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam.
** Tidak boleh digunakan terhadap bayi berusia kurang dari 2 bulan.
Langkah berjaga-jaga
- Elakkan ubat dari terkena mata.
- Jangan disapu ke atas kulit yang luka atau dijangkiti kuman.
- Dapatkan bantuan perubatan untuk bayi berusia 2 bulan hingga 2 tahun.
2. Losyen Malathion 0.5%
Cara guna
- Sapu ubat ke seluruh badan termasuk kulit kepala, leher dan belakang telinga. Beri perhatian terhadap celah-celah jari kaki dan tangan dan di bahagian hujung kuku. Pengunaan berus kecil boleh membantu.
- Bersihkan selepas 24 jam.
- Malathion sepatutnya disapu sebanyak dua kali, dengan jarak selama satu minggu di antara rawatan.
- Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam.
Langkah berjaga-jaga
- Penggunaan serentak Malathion dengan krim lain.
- Elakkan ubat dari terkena mata.
- Jangan sapu ke atas kulit yang luka atau dijangkiti kuman.
- Dapatkan bantuan perubatan untuk bayi berusia kurang dari 6 bulan.
3. Gamma benzene hexachloride (or lindane)
Cara guna:
- Sapukan satu lapisan nipis losyen dan urut supaya losyen menyerap dengan baik ke seluruh badan iaitu dari leher hingga jari kaki. Biarkan selama 8 hingga 24 jam.
- Mandi dan bersihkan ubat selepas jangkamasa tersebut.
Kontraindikasi
- Wanita mengandung dan bayi pramatang
- Wanita yang menyusukan anak
- Pesakit dengan sejarah penyakit epilepsy (sawan)
- Pesakit dengan berat badan yang rendah
Langkah berjaga-jaga
- Penggunaan serentak Lindane dengan krim lain
- Elakkan ubat dari terkena mata atau lapisan mukosa
- Jangan sapu ke atas kulit yang terlelas
- Jangan sapu losyen selepas mandi air panas yang bersabun
4. Benzyl Benzoate lotion (EBB)
Cara guna:
- Mandi dengan air suam sebelum mula menyapu ubat supaya penyerapan lebih baik dengan liang roma yang terbuka.
- Sapu ubat ke seluruh badan kecuali muka dan celah kelangkang.
- Biarkan selama 24 jam dan bersihkan badan.
- Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam.
Perhatian Khusus
- Kegatalan
- Pesakit telah pulih dari jangkitan selepas rawatan selesai walaupun rasa gatal-gatal mungkin berlanjutan sehingga beberapa minggu
- Rawatan untuk kegatalan mungkin diperlukan. Sapuan steroid boleh mengurangkan kegatalan dan keradangan.
Semoga artikel ini bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Anak gatal di lubang bontot- adakah dia terkena penyakit cacing?
Baca juga : Patutlah Asyik Garu Kepala, Rupanya Ada KUTU! Ini 8 Cara Berkesan Untuk Matikan Kutu Anak
Baca juga : Kutu Babi Sedap Bergayut Di Mata Budak 6 Tahun, Mujur Ibunya Guna Petua Betul Elak Lebih Parah
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!