Sejak kebelakangan ini, isu rumah tangga yang berakhir dengan perpisahan semakin kerap berlaku. Rata-rata pasangan yang tidak sehaluan memilih untuk berpisah secara baik, dan ada juga sebaliknya. Namun paling menyedihkan apabila suami sanggup melafazkan cerai ketika hamil.
Menurut statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merekodkan sejumlah 45,420 kes perceraian dalam kalangan mereka beragama Islam yang telah didaftarkan di seluruh negara pada tahun 2021.
Jumlah perceraian tertinggi berlaku pada golongan yang berusia 30 hingga 34 tahun disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran.
Isi Kandungan
Hukum Lafaz Cerai Ketika Hamil
Hukum menceraikan isteri ketika hamil adalah harus. Menurut Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, cerai talak satu ataupun lebih boleh saja jatuh pada bila-bila masa.
“Cerai ada waktu harus dan haram. Kalau cerai ketika hamil hukumnya harus dan sah talaknya. Tiada tempat tidak jatuh talak kecuali ketika gila.
Hukum Cerai Isteri Ketika Hamil
Mufti menambah lagi, hadis ini menerangkan mengenai dua hukum iaitu haram menjatuhkan talak sewaktu isteri berada dalam keadaan haid. Sementara itu, harus jika seorang wanita kena cerai ketika hamil.
Sewaktu mensyarahkan hadis ini, Imam Al-Nawawi menyebut hadis ini menjadi dalil keharusan talak sewaktu isteri hamil yang jelas kehamilannya dan merupakan pendapat daripada Mazhab Syafi’e.
Pandangan ini turut dipegang oleh ulama lain seperti Thawus, Al-Hasan, Ibnu Sirin, Rabiah, Hammad bin Abi Sulaiman, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Tsur dan Abu Ubaid.
Akan tetapi, Ibnul Munzir turut menambah terdapat sebahagian ulama Mazhab Maliki yang mengharamkannya manakala Al-Hasan Al-Basri memberi makruh.
Dr Zulkifli turut menambah, talak sewaktu isteri sedang hamil terletak di bawah kategori talak bukan sunniy dan bukannya bid’iyy. Jadi, hukumnya adalah harus.
Dalam pada masa yang sama, Dr Zulkifli berkata, jika tiada zahir pada wanita tersebut akan tanda kehamilan maka ia menjadi talak bid’iy.
Tempoh Iddah Bagi Isteri Hamil
Maksudnya : Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka – Surah al-Thalaq ayat 4
Dari sudut perundangan, Zulkifli berkata jika isteri diceraikan semasa sedang berbadan dua, maka wanita itu layak mendapat kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talak rajie iaitu makanan, pakaian, perbelanjaan dan sebagainya.
Secara kesimpulannya, kita mengikut pendapat dari majoriti ulama di mana hukum cerai ketika mengandung adalah harus dan tidak haram ataupun makruh.
Cerai Ketika Mengandung Beri Impak Emosi
Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut memberi peringatan kepada para suami agar berusaha menyelamatkan rumah tangga dari pelbagai sudut sebelum melafazkan talak kepada isteri.
Malah dengan perceraian semasa hamil ini semestinya boleh menganggu emosi isteri sekaligus menjejaskan kesihatan ibu dan bayi yang dikandungnya.
Jadi sebaiknya berbincang dan berfikirlah baik buruknya jika melafazkan talak semasa isteri anda sedang mengandungkan zuriat kalian.
Pengalaman Bercerai Semasa Mengandung
Perceraian adalah satu pengalaman yang sukar untuk dihadapi, terutamanya apabila anda hamil. Proses perubahan emosi, fizikal dan psikologi semasa hamil boleh menjadikan pengalaman penceraian menjadi lebih kompleks. Setiap individu mempunyai pengalaman yang unik, dan berikut adalah beberapa aspek yang mungkin dialami oleh seseorang yang mengalami perceraian semasa hamil:
- Tekanan Emosi: Pengalaman perceraian secara amnya sudah sangat mencabar, dan apabila digabungkan dengan kehamilan, tahap tekanan emosi boleh meningkat. Hormon kehamilan yang berubah-ubah boleh meningkatkan perasaan tekanan dan kebimbangan.
- Cabaran Fizikal: Kehamilan membawa cabaran fizikalnya sendiri. Bagi wanita hamil, perubahan fizikal dan keperluan kesihatan yang berbeza mungkin merupakan faktor tambahan yang perlu ditangani.
- Sokongan Sosial: Sokongan sosial sangat penting dalam mengatasi perceraian semasa kehamilan. Rakan, keluarga atau sokongan daripada masyarakat boleh memberikan bantuan emosi dan praktikal.
- Pertimbangan Kewangan: Perceraian selalunya melibatkan pertimbangan kewangan. Wanita hamil mungkin perlu memikirkan secara intensif tentang persediaan kewangan untuk diri mereka dan bakal bayi mereka.
- Perancangan Bersalin dan Penjagaan Anak: Proses perceraian boleh menjejaskan perancangan kelahiran dan penjagaan anak. Pilihan tempat bersalin, sokongan semasa bersalin dan pertimbangan yang berkaitan dengan jagaan mungkin perlu dipertimbangkan dengan lebih intensif.
Syarat Sah Cerai
Dalam perkawinan, talak dan rujuk yang diucap dengan lengkap segala rukun serta syaratnya boleh menyebabkan lafaz itu sah dan memberi kesan hukum.
Oleh itu, lafaz yang dibuat suami perlu dilihat kepada rukun dan syarat talak satu persatu.
Semua ulama bersepakat, syarat sah cerai adalah apabila ia memenuhi lima rukunnya iaitu:
- suami
- lafaz yang digunakan
- diqasadkan (diniatkan) kepada siapa talak itu
- isteri
- talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami
Kelima-lima perkara ini menjadi syarat sah cerai suami isteri. Seterusnya perlu dilihat pula kepada bentuk lafaz yang diucapkan sama ada ia jelas atau kinayah.
Pada asalnya, lafaz talak yang jelas itu menjatuhkan talak sekalipun tanpa niat. Ini termasuklah menyebut perkataan cerai.
Lafaz talak kinayah (tidak jelas, kiasan) pula tidak menjatuhkan talak melainkan jika disertakan niat ketika ucapan itu disebut.
Lafaz Cerai Yang Tidak Sah
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) yang menyatakan, lafaz cerai yang tidak sah boleh terjadi apabila suami hanya berniat tanpa menyebutkan lafaz cerai secara jelas (sarih) mahupun kiasan (kinayah) yang merupakan salah satu rukun talak.
Menurutnya, maksud talak ialah membubarkan akad nikah dengan lafaz ‘talak atau cerai’ dan seumpamanya.
“Talak akan berlaku jika memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Setiap rukun terdapat syarat-syaratnya. Rukun talak ialah suami, isteri, sighah (lafaz), niat dan wilayah (kekuasaan).
“Sekiranya seorang suami hanya berniat talak, maka ia tidak sempurna melainkan memerlukan kepada rukun lafaz talak sama ada lafaz yang jelas atau kiasan dan rukun talak lain yang memenuhi syarat-syarat nya,” katanya.
Katanya, Al-Khatib al-Syirbini dalam Mugni al-Mughtaj menyatakan talak tidak jatuh dengan niat tanpa melafazkannya, begitu juga tidak mengerakkan lidahnya dengan lafaz ‘cerai’.
Antara lafaz cerai yang tidak sah ialah:
- Diucapkan dalam kalimat yang bermaksud masa yang akan datang (future tense, zaman mustaqbal)
- Lafaz cerai yang tidak sah adalah apabila mengucapkan dalam perkataan bertanyakan hukumnya
- Bercerita tentang talak tidak berakibat jatuh talak. Misalnya, suami bercerita pada isterinya mengenai jiran yang bercerai
- Apabila suami melepaskan isteri dengan cerai talak 1, lalu setelah habis masa iddahnya, suami ceraikannya buat kali kedua (tanpa adanya rujuk atau akad baru), maka itu tidak terjadi talak. Hal ini disebabkan tidak adanya hubungan suami isteri.
- Kalimat talak dengan menggunakan ayat perintah tidak terjadi talak.
- Talaknya Orang Marah dengan Kemarahan Tingkat Tertinggi
Jenis Talak Cerai
#1. Talak Raj’ie
Ini membawa maksud talak yang boleh dirujuk semasa tempoh edah dengan lafaz tertentu dan tidak memerlukan pasangan untuk melalui semula ijab dan kabul.
Talak yang dilafazkan oleh suami mestilah talak yang pertama atau kedua.
#2. Talak Battah
Talak yang dilafazkan oleh suami dengan menyebut perkataan selama-lamanya.
“Aku ceraikan kau buat selama-lamanya”
Talak ini akan jatuh mengikut niat suami, jika suami berniat satu maka jatuhlah talak satu jika tiga maka jatuhlah talak tiga.
#3. Talak Bain
Terbahagi kepada dua:
Talak Bain Kubra : Talak yang berlaku di mana suami telah menceraikan isterinya sebanyak tiga kali dan mereka tidak boleh dirujuk semula buat selama-lamanya.
Talak Bain Sughra : Talak yang diucapkan oleh suami kurang dari tiga kali tapi pasangan tak boleh dirujuk melainkan pernikahan baru walaupun isteri berada dalam tempoh iddah.
#4. Talak Sunni
Talak mengikut sunnah Nabi SAW, seorang suami menceraikan isterinya semasa suci dari haid dan sebelum bersatu lalu suami melafazkan talak dengan dua saksi.
#5. Talak Bid’i
Talak yang diucapakan semasa isteri masih haid, nifas, isteri berada dalam keadaan suci namun telah bersatu dengannya.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sudah Ada Yang Lain, Tapi Tidak Mahu Lepaskan, 5 Sebab Ini Suami Enggan Lafaz Cerai
Baca juga: Tidak Tinggal Bersama & Shiqaq, Punca Diana Danielle Failkan Cerai Terhadap Farid Kamil