Kanak-kanak adalah makhluk yang sentiasa ingin meneroka dan tidak mempedulikan apa-apa hal. Yang mereka tahu, mereka hanya hendak berseronok dan bermain sepanjang hari walaupun main lumpur!
Sebagai ibu dan bapa, tentulah kita tidak mahu membenarkannya kerana khuatir si anak akan mengotorkan baju dan tubuh badan mereka, lantas mengotorkan rumah pula apabila mereka pulang dari bermain.
Tetapi, sebenarnya, ada bagus jika anda tidak menghalang si manja daripada bermain lumpur kerana kanak-kanak yang diberi kebebasan untuk meneroka akan menunjukkan implikasi-implikasi yang baik dalam tumbesaran mereka.
Kesan-kesan Baik Bila Membenarkan Anak Main Lumpur
1# Sistem imunisasi yang lebih sihat
Betul, lumpur memang mengandungi kuman. Tetapi, kuman-kuman ini dapat menguatkan sistem imunisasi anak anda kerana mereka telah terdedah padanya di usia yang lebih awal. Sesetengah kajian menyatakan bahawa kanak-kanak yang tidak terdedah kepada penerokaan yang kotor lebih mudah untuk mendapat penyakit dan alahan.
2# Melahirkan kanak-kanak yang kreatif
Penerokaan anak-anak terhadap lumpur boleh menjadikan mereka individu-individu yang kreatif. Jika mereka menambah sedikit air kepada lumpur, anak anda boleh membentuk lumpur tersebut menjadi seakan-akan kek atau mereka juga boleh bermain masak-masak dengan lumpur tersebut.
3# Mengurangkan tahap stres anak
Walaupun mereka hanyalah kanak-kanak, tetapi mereka juga ada hari di mana mereka berasa stres dan mungkin pada hari tersebut, si kecil hendak bermain dengan lumpur. Jadi, biarkan sahaja. Sekiranya permainan tersebut menyeronokkan bagi mereka, pasti mereka akan good mood dengan secepat mungkin.
4# Perkembangan penggunaan skil motor kasar dan halus
Dengan bermain lumpur, anak anda pasti akan menggunakan pelbagai perbuatan seperti mencedok lumpur, menggaul, meletakkan lumpur di dalam bekas. Ini semua akan mengembangkan lagi skil motor mereka.
5# Pertambahan vitamin D
Bermain dengan tanah pasti akan menyebabkan anak anda terdedah kepada cahaya matahari. Cahaya matahari boleh memberi pertambahan vitamin D ke dalam diri anak untuk melindungi kesihatan tulang dan sistem imuniasi mereka. Walaupun pendedahan terlalu banyak kepada cahaya matahari boleh menjadi bahaya, tetapi jika tidak mendapat pendedahan secukupnya pun tidak elok juga.
Tetapi, Selamatkah Aktiviti Bermain Lumpur Ini?
Anda mungkin sedang berfikir tentang kuman-kuman yang berada di dalam tanah tersebut yang boleh menyebabkan si manja anda tidak sihat. Tapi, kami syorkan bahawa membenarkan si kecil anda bermain dalam lumpur adalah sangat, SANGAT selamat!
Walau bagaimanapun, jika anda masih khuatir, ini cara kami melindungi si kecil setelah bermain dengan lumpur.
- Menghalang mereka memasukkan tangan ke dalam mulut. Kanak-kanak tidak tahu-menahu tentang bahaya memakan perkara-perkara rawak. Jadi, sudah menjadi tugas anda untuk menghalang mereka dari memasukkan tangan yang kotor dengan lumpur ke dalam mulut.
- Mandi menggunakan sabun antibakteria setelah bermain. Sejurus sahaja selepas bermain, suruhlah anak anda mandi dan membersihkan diri dengan teliti menggunakan sabun antibakteria. Pastikan celahan kuku si manja anda dibersihkan dengan rapi sehingga tiada lagi lumpur.
- Potong kuku anak sebelum bermain. Jika mencuci kuku anak setelah bermain lumpur sesuatu yang melecehkan, potonglah kuku mereka terlebih dahulu sebelum turun bermain ke tanah.
- Mencabut lalang yang ada pada tanah. Elakkan menggunakan racun pembunuh lalang untuk memastikan ketiadaan lalang pada tanah. Sekiranya si manja anda tersilap memasukkan tangan ke dalam mulut setelah terdedah kepada tanah yang disembur racun, ia boleh membawa implikasi yang lebih serius pula.
- Memakan ubat cacing. Seperti yang kita ketahui, kanak-kanak perlulah memakan ubat cacing jadi sekiranya si manja anda sudah mempunyai perlindungan dari ubat cacing tersebut, anda tidak perlulah terlalu risau. Tetapi, jika mereka masih belum mendapatkan dos ubat cacing pada waktu yang ditetapkan, inilah waktu untuk anda mulakan.
Kesimpulannya, membenarkan si manja anda bermain dengan lumpur sebenarnya lebih selamat dari tidak membenarkan mereka terdedah kepada apa-apa kuman dan bahaya.
Walaupun ia agak memeningkan kepala ibu dan ayah dari segi pembersihan, tetapi membenarkan si kecil anda meneroka dunia yang tampak besar ini pada mereka boleh melahirkan seorang individu yang cerdik, kreatif serta lebih sihat sistem imunisasinya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Life Education, Kids Do Gardening
Baca juga: Jangan Marah Anak Kuat Bermain! Ia Membantu Pembesaran & Pembelajaran Mereka – Kajian