Sememangnya banyak perkara baharu yang ibu-ibu perlu pelajari dalam proses membesarkan seorang anak. Bermula dengan penyusuan, kini si manja anda sudah bersedia untuk menikmati makanan pejal bayi yang pertama sebaik sahaja melangkah usia 6 bulan.
Bagi ibu pertama kali, anda mungkin keliru dan ragu-ragu untuk menyediakan menu yang sesuai untuk bayi. Justeru kami kongsikan beberapa panduan serta resepi bagi memudahkan kerja anda di dapur.
Panduan makanan pejal pertama bayi
Sebelum kita pergi lebih jauh kepada beberapa asas penyediaan menu makanan, mari kita lihat beberapa pesanan tentang makanan pertama bayi ini.
• Berikan makanan pejal hanya selepas bayi berusia 6 bulan kerana, antara lain, sistem penghadaman telahpun bersedia ketika ini. Berikan makanan pejal 2 – 3 kali sehari.
• Biarkan bayi anda menentukan kuantiti yang dapat diterima pada satu-satu masa.
• Mulakan dengan makanan pejal yang dikisar menjadi puri bersama susu ibu. Buah-buahan dan sayuran yang sesuai termasuk epal, pisang, labu, lobak merah, kentang, bayam dan brokoli.
• Pastikan tiada gula atau garam ditambah pada makanan.
• Berikan satu-satu resepi selama 4 – 7 hari sebelum bertukar resepi lain bagi memastikan bayi anda betul-betul serasi dan tiada alergi terhadap makanan tersebut.
Tidak kurang pentingnya ialah menentukan sama ada si comel telah bersedia untuk mencuba makanan pejal pertamanya atau tidak. Untuk itu, perhatikan perkara-perkara berikut pada bayi anda.
Jika si comel mempunyai tanda-tanda ini, itu bermakna dia sudah bersedia untuk meneroka pilihan makanan selain susu:
• Boleh mengawal lidah dan pergerakan tengkok dengan lebih baik.
• Mula membuat pergerakan mengunyah ke atas-ke bawah.
• Boleh duduk sendiri dengan sokongan yang minimum.
• Suka memasukkan sesuatu ke dalam mulut.
• Menunjuk minat pada apa yang anda makan.
Cadangan resepi makanan pejal yang pertama untuk bayi
1 – Bubur nasi kosong
Bubur nasi kosong yang dikisar halus tanpa tambahan garam mahupun gula adalah pilihan utama kebanyakan ibu-ibu bagi memperkenalkan makanan pejal kepada bayi.
Bubur nasi boleh disediakan dengan memasak nasi biasa dan dikisar halus bersama susu atau memasak bubur nasi hingga lembut.
2 – Bubur nasi ikan bilis, ikan dan isi ayam
Bubur nasi boleh juga dikisar bersama ikan bilis, ikan dan ayam atau bersama sayur-sayuran.
Bagi ikan bilis, buangkan kepala dan tahinya terlebih dahulu dan pastikan ianya lembut dengan merendamnya sebelum digoreng atau disangai (goreng tanpa minyak).
Ia kemudiannya dikisar kering dan dicampurkan ke dalam bubur nasi. Ikan bilis boleh juga direbus terus bersama bubur nasi. Bagi ikan dan isi ayam, ia harus direbus atau kukus terlebih dahulu sebelum dilecek atau dikisar bersama bubur nasi.
3 – Bubur nasi dengan sayuran
Bagi sayur-sayuran, perkenalkan sayuran yang memberi rasa manis seperti lobak merah, brokoli dan bayam.
Sayur-sayuran boleh dikukus atau direbus terlebih dahulu secara berasingan sebelum dilecek dan dicampur ke dalam bubur nasi atau dikisar bersama bubur nasi.
4 – Puri buah-buahan
Bagi buah-buahan yang lembut seperti pisang dan betik, boleh dilecek dan diberi terus. Untuk buah-buahan yang keras seperti pir dan epal, boleh dikukus sebelum dikisar halus menjadi puri.
Sesetengah ibu menambah susu untuk mencairkan dan menambah nasi untuk memekatkan, semasa mengisar.
Memandangkan si kecil anda masih bayi, sentiasa peka dan teliti sekiranya berlaku sebarang reaksi atau alahan terhadap sesetengah jenis makanan seperti naik ruam, sembelit, muntah atau cirit-birit.
Jika ini berlaku, ibu hendaklah segera menghentikan pemberian makanan tersebut. Seandainya alahan berlanjutan atau semakin teruk, dapatkan bantuan perubatan di kinik yang berdekatan.
Setelah berbincang dengan pakar pediatrik, barulah anda boleh mencuba kembali memberikan makanan yang sama selepas beberapa bulan.
Waktu makan perlu menjadi sesuatu yang menyenangkan. Jadi ibu hendaklah mengelakkan daripada memaksa si manja mencuba sebarang makanan pejal sekiranya mereka tidak mahu.
Jika pada mulanya bayi menolak makanan, itu mungkin tanda mereka masih belum bersedia.
Akhir sekali, ingatlah ini kali pertama si comel anda merasa makanan baru. Jangan berputus asa untuk mencuba beberapa resepi jika mereka tidak dapat menerima makanan yang diberikan.
Juga jika anda menyusukan badan, teruskanlah sehingga usianya dua tahun bagi mendapat manfaat terbaik daripada susu ibu. Sabar adalah kunci kepada segala kebahagiaan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Resepi Bubur Nasi Yang Boleh Pikat Selera Bayi Tanpa Menggunakan Gula & Garam