Menurut portal Myhealth, maksud buli adalah perbuatan atau tingkah laku agresif yang berulang kali bagi menyakiti individu lain dari segi fizikal, mental mahupun emosi.
Antara ciri-ciri buli adalah dengan niat untuk bermusuhan atau menjatuhkan, ketidakseimbangan kuasa dan perbuatan yang berulang dalam tempoh masa tertentu.
Maksud buli di sekolah, ibu kongsi pengalaman yang berlaku pada anak sulungnya
Waktu persekolahan sepatutnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan bagi anak-anak. Hal ini kerana mereka dapat berjumpa dan belajar bersama kawan-kawan.
Walau bagaimanapun, seorang ibu telah berkongsi pengalaman yang tidak disangka berlaku pada anak perempuannya. Dia menceritakan kisah dihadapi anak sulungnya yang menjadi mangsa buli di sekolah sehingga ingin bunuh diri.
Tak sangka cerita ini telah terjadi pada saya. Selama ini selalu baca cerita orang lain.
Pada awalnya, saya sekolahkan anak-anak dekat sekolah kerajaan. Di sana anak saya telah dibuli secara mental oleh kawan perempuannya.
Tapi saya suruh dia bersabar sehingga kami pindah rumah dan dapat pindahkan dia ke sekolah yang lain.
Saya dan suami terfikir untuk pindahkan sekolahnya ke swasta. Mungkin sebab kami ingat dia akan dapat environment lebih menyenangkan.
Awalnya dia lah orang yang paling gembira untuk pergi sekolah. Hampir setiap hari tak mahu cuti. Sampai takut sakit sebab takut tak pergi sekolah.
Kalau dapat cuti pun, dia masih lagi nak pergi sekolah. Happynya kami sebagai ibu ayah tengok dia bersemangat ke sekolah. Rasa berbaloi lah walaupun perlu keluarkan duit setiap bulan.
Tidak sangka anak kena buli di sekolah
Bila dah sebulan sekolah di sana, dia mula mengadu tentang hal-hal kecil. Biasalah budak-budak sekolah.
Kacau barang sekolah dia, pinjam barang tapi tidak pulangkan semula. Minum air botol, kacau makanan dia. Sampai ambil barang tanpa izin.
Tapi sebagai seorang suri rumah yang banyak lagi kerja saya kena buat dan fikir, saya hanya boleh cakap ”tegurlah kawan-kawan sendiri, beritahu cikgu. Takkan itupun Mummy nak kena urus, banyak Mummy nak kena fikir. Tolong jangan tambahkan lagi beban Mummy. Takkan lah sampai benda-benda kecil pun Mummy nak kena pergi sekolah dan buat aduan pada cikgu. Kakak kan dah besar.”
Saya langsung tidak sangka perkataan itu dia simpan dalam hati. Selepas itu, apa yang terjadi dekat sekolah dia tak beritahu Mummy dia lagi. Dan dia pergi sekolah setiap hari seperti biasa. Bercakap seperti biasa tanpa ada aduan yang dia ceritakan kepada Mummy.
Hingga sampai satu masa itu, kakak Aina mula bila balik sekolah akan terus naik tingkat atas. Hanya turun bila waktu makan atau dipanggil sahaja.
Dan dia juga lebih banyak diam. Ternyata beberapa minggu ini dia menahan sakit. Menahan marah, mungkin dia tidak tahu nak ceritakan dekat siapa. Ya Allah.
Sambung baring dan rehat. Cepat sihat kakak.
Kesan buli anak jadi trauma dan memedam perasaan
Mummy tanya dia kenapa. Pujuk dia untuk bercerita, barulah dia nak cerita sampai tersedu-sedu dia menangis.
”Mummy tahu tak kakak kena buli di sekolah. Kakak disepak, badan ditumbuk. Sakit. Badan kakak sakit Mummy, kakak dipulau dan kakak dah tak tahan.”
”Sampai kakak rasa nak bunuh diri kat sekolah. Aina nak mati je Mummy.”
Bila ditanya kenapa tidak beritahu pada Mummy, dia menjawab ”Kakak taknak tambah beban Mummy.” Ya Allah. Dia bercerita cakap tidak tahan dan nak bunuh diri. Hancur luluh hati saya mendengar semua ini Ya Allah.
Saya terus Whatsapp cikgu Aina ceritakan mengenainya. Saya juga arrange masa untuk berjumpa dengan cikgu.
Alhamdulillah hari Isnin tu juga kami dapat ke sekolah dan berbincang dengan cikgu. Saya juga dapat melihat dari jauh muka budak lelaki yang buli kakak Aina.
MasyaAllah, awak kecil sangat dik. Mungkin tidak tahu maksud buli, tapi dah berani pukul perempuan seperti itu.
Alhamdulillah budak itu dan ibu bapanya sudah dipanggil. Nasib awak berurusan dengan parents seperti kami yang tidak membabi buta dan tidak membawa masalah ini ke undang-undang.
Sebab kami masih memikirkan masa depan dan perasaan ibu bapa awak.
Ibu bapa perlu dengar luahan dan masalah anak
Pengajarannya untuk saya dan ibu bapa di luar sana. Sekecil apapun aduan anak kepada kita, kita patut mendengarnya.
Tapi sayang, sehingga hari ini kami tidak menerima apa-apa permohonan maaf daripada ibu bapa yang membuli anak kami.
Buat ibu ayah, mereka tidak ada tempat untuk bercerita selain kita. Sentiasalah menasihati anak-anak tentang buruknya kesan buli terhadap kawan.
Saya sedar satu hal, tidak kira sekolah swasta mahupun kerajaan. Pembuli ni berpunca dari sikap. Sikap yang ada pada anak-anak kurang perhatian keluarga.
Tolonglah pantau anak-anak, berikan kasih sayang kepada mereka hingga tidak terdedah dengan sikap dan maksud buli kawan-kawan.
Mungkin tanpa kita sedar, kurangnya perhatian kita terhadap anak-anak dan mungkin pergaduhan ibu bapa di hadapan mereka menjadi salah satu kesan anak jadi kurang kasih sayang dan pembuli.
Dan Alhamdulillah, selepas sebulan kami memberikan Aina ruang untuk berehat dari masalah yang dihadapinya di sekolah, memberinya semangat dan cuba menjadi ibu bapa lebih baik. Kami belajar banyak mendengar semua masalah-masalah kecil.
Insyaallah akan jadi ibu ayah yang lebih baik untuk kakak Aina dan anak-anak selepas ini. Alhamdulillah kakak Aina dah kembali senyum dan ceria. Dia juga kembali bersemangat untuk ke sekolah.
Maafkan Mummy sebab tanpa sedar telah mengabaikan masalah yang dihadapi oleh kakak. InsyaAllah Mummy akan jadi yang lebih baik lagi.
Semoga cerita ini menjadi pengajaran untuk kami dan ibu bapa lain di luar sana.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Elak Anak Jadi Pembuli & Mangsa Buli, Budak Ini Dibuli Sampai Bocor Kepala
Baca juga: Anak Kecil Berubah Sikap Selepas Ke Sekolah? Awas Ibu, Ini Tanda-Tanda Dia Sebenarnya Mangsa Buli
Baca juga: Murid Darjah 1 Jadi Mangsa Buli Di Sekolah, Sampai Kena Tumbuk & Retak Hidung!