Dalam masyarakat Melayu, jika si kecil lebih rapat atau sayang ayah, rata-rata ibu-ibu tidak terasa hati malahan lebih suka kerana dapat meluangkan masa berehat atau menyiapkan kerja rumah, terutama bagi surirumah sepenuh masa.
Juga, mereka tidak risau kerana anak rapat dengan bapanya, iaitu suami sendiri dan bukannya orang lain.
Namun tidak dinafikan ada segelintir ibu bapa yang terasa dipinggirkan. Perasaan ingin disayangi, lebih daripada pasangan, adalah biasa tetapi jika tidak terkawal, kesan negatif akan timbul terhadap hubungan ibubapa dan anak-anak.
Sayang ayah ‘Favouritism’ bagi si kecil
Jika si kecil mengatakan “Saya lebih sayang ayah/ibu!”, ketahuilah mereka sebenarnya sekadar menunjukkan siapa di antara ibu dan bapa yang mereka ‘gemari’.
Menurut pakar psikologi Dr Ellen Weber Libby, penulis buku ‘The Favourite Child’, sayang adalah satu perasaan yang halus sebagai tanda kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi.
Si kecil mampu untuk menyayangi kedua-dua ibu bapa dan pada sama cenderung kepada salah seorang.
Apa yang ingin didengari daripada ibu bapa ialah kasih sayang terhadap mereka yang tidak bersyarat.
Bagi pakar psikologi, Pamela Cole dari Penn State University, walaupun anak-anak seolah-olah memilih, perubahan perhatian daripada ibu kepada bapa, dan sebaliknya, jarang sekali mereka sedari atau disengajakan.
Ia tidak bermaksud si kecil hilang rasa sayang atau petanda kualiti hubungan yang kurang baik. Ia hanya menunjukkan perkembangan emosi dan kognitif si kecil, iaitu proses mendapat kan pengetahuan dan pemahaman oleh minda mereka melalui pemikiran, pengalaman dan deria.
Mengapa si kecil lebih kepada anak ayah?
Antara sebab mengapa si kecil kadangkala lebih ceria atau tenang bersama pasangan termasuk:
• Mereka dapat lakukan sesuatu yang berbeza.
• Merasakan tekanan yang dialami oleh ibu, terutama surirumah. Bapa, bagi seorang bayi, adalah seseorang yang ‘baru’: kurang rasa tertekan dan tidak berbau susu.
• Merasa dirinya kurang diperlukan sekiranya ibu baru melahirkan adik, lalu mencari alternatif baru: bapanya.
• Menunjukkan dia juga boleh berdikari dan membuat pilihan.
• Serasi dengan cara ibu atau bapa yang lebih banyak meluangkan masa dengannya.
Apa yang boleh dilakukan?
Sama ada diberi perhatian atau dipinggirkan, berbincanglah bersama pasangan. Jika dirasakan keadaan tersebut keterlaluan dan boleh menjejaskan hubungan, rancang sesuatu untuk memperbaiki keadaan.
• Libatkan pasangan dalam aktiviti harian anak-anak. Ajar si kecil untuk mengajak ibu atau bapa yang terpinggir untuk menyertai aktiviti mereka.
• Tetapkan hari tertentu untuk beraktiviti bersama, hanya berdua. Anak anda pasti akan menunggu-nunggu setiap minggu untuk lakukan aktiviti tersebut.
• Elakkan tekanan kerana anak-anak terutama bayi yang turut boleh merasakannya dan akan menjadi sebab dia lebih mahukan pasangan.
• Sentiasa sentuh si kecil pada setiap kesempatan walau sekadar mengusap kepalanya. Teruskannya sehingga si kecil merasa terhubung semula.
• Sekali sekala, minta perhatiannya seperti pelukan dan masa untuk berbual bersama. Kadangkala mereka tidak sedar yang mereka perlukan anda.
• Jika anda lihat yang anak anda tidak suka pada pasangan anda, beritahu pasangan dengan baik dan tanya si kecil apa yang dia inginkan daripada ibu/bapanya.
• Elakkan daripada marah atau memberitahu yang mereka telah menyakiti hati anda. Walaupun kita boleh mengajar anak-anak tentang menjaga perasaan orang lain, lakukannya di waktu anda berdua lebih tenang.
• Tunjukkan kasih sayang anda walaupun si kecil tidak peduli.
• Yang penting, jangan kecil hati dan menjauhkan diri.
Jangan risau, ia adalah perkara biasa!
Melebihkan perhatian kepada ibu atau bapa adalah kebiasaan anak-anak membesar. Si kecil akan rapat dengan ibu untuk satu jangkamasa tertentu dan rapat dengan bapa untuk satu jangkamasa tertentu pula.
Jika sekarang dia lebih rapat dengan bapanya, bersabarlah kerana masa ibu akan sampai juga nanti.
Seperkara lagi, jika kita tidak suka dipilih-pilih oleh anak-anak, mereka juga begitu. Elakkan daripada menunjukkan rasa pilih kasih yang terlalu jelas kerana akibatnya buruk.
Anak yang tidak disukai akan membesar dengan perasaan negatif tentang dirinya dan tertekan dalam hidup.
Anak yang disukai sentiasa merasa dirinya lebih baik daripada orang lain, lemah dan sensitif serta percaya apa juga peraturan bukanlah untuknya.
Jika anda menghadapi perkara sama dan menimbulkan masalah, bagaimana cara anda mengatasinya? Jangan lupa untuk komen di laman Facebook kami.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Mengapa Orang Tua Selalu Bandingkan Cucu? Ini Sebab & Cara Mengatasi
Baca juga: 7 Tanda Anak Comel Itu Sangat Sayang Pada Anda, Ibunya
Baca juga: Ibu Ayah Yang Selalu Bagi Layanan ‘Double Standard’ Pada Anak Boleh Rosak Emosi Mereka -Pakar
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!