Ibu mengandung digalakkan untuk melakukan details scan bagi memeriksa bahagian organ bayi secara lebih terperinci, jantina bayi, jumlah air ketuban, kedudukan uri, masalah buah pinggang dan lain-lain lagi. Masa yang paling sesuai adalah ketika kandungan berada 18 hingga 24 minggu.
Kebanyakan ibu mengakui bahawa ia lebih penting berbanding scan yang lain bagi mengesan ketidaknormalan pada struktur bayi secara lebih awal.
Masalah buah pinggang bengkak pada bayi dalam kandungan
Menurut penjelasan oleh Myhealth Malaysia, sekiranya bayi dalam kandungan mengalami masalah buah pinggang bengkak, keadaan ini dipanggil sebagai Hidronefrosis.
Dalam sesetengah kes, ia boleh berlaku tanpa atau bersama-sama pembengkakan saluran kencing (ureter).
Melalui perkembangan teknologi ultrasound, hidronefrosis kini boleh dikesan semasa dalam kandungan dan rawatan selepas kelahiran bayi dapat dirancang secara lebih awal.
Hampir 90 peratus kes yang dikesan adalah ketika kandungan berusia 18 minggu dan 95 peratus selepas kandungan berusia 22 minggu.
Namun ibu jangan risau kerana masalah buah pinggang bengkak ini hanya terjadi kepada 1 bagi setiap 150-179 kelahiran. Risiko menjadi lebih tinggi sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga mempunyai sejarah penyakit buah pinggang sejak lahir.
Hidronefrosis antenatal ini boleh melibatkan sebelah atau kedua-dua belah buang pinggang.
Antara faktor penting penyebab buah pinggang bengkak pada bayi dalam kandungan ialah:
- Sumbatan pada saluran urinari
- Pengaliran refluk air kencing dari pundi kencing ke saluran kencing semasa proses kencing
- Ciri-ciri sindrom genetik
- Sistem urinari berganda
- Penyumbatan pada pangkal pundi kencing
Masalah buah pinggang bengkak- Bagaimana ia berlaku
- Air kencing biasanya bergerak dari buah pinggang ke tiub sempit dan kemudiannya ke pundi kencing. Tiub sempit ini dipanggil sebagai ureter.
- Air kencing mengalir keluar dari pundi kencing melalui tiub kecil lain disebut sebagai uretra.
- Pelcus buah pinggang boleh membengkak sekiranya ureter bayi anda tersumbat dan air kencing tidak dapat mengalir dari buah pinggang ke pundi kencing.
- Buah pinggang bayi anda mungkin membengkak sekiranya air kencing sudah ada dalam pundi kencing, mengalir kembali ke dalam buah pinggang.
- Bagi kebanyakan kes, keadaan ini hilang tepat sebelum atau selepas bayi dilahirkan.
- Namun ia juga mungkin merupakan tanda bayi anda memiliki masalah saluran buah pinggang atau pundi kencing sehingga memerlukan rawatan lanjut.
Rawatan ketika mengandung dan bersalin
Ketika mengandung ibu dengan janin yang bermasalah hidronefrosis tidak memerlukan penjagaan khas, selain mendapatkan pemantauan berkala yang teliti. Tempoh kehamilan dan proses kelahiran normal juga dibenarkan sehingga cukup bulan.
Rawatan akan diberikan sebaik sahaja ibu selamat melahirkan bayi. Si manja akan dirujuk kepada doktor kanak-kanak untuk pemeriksaan lebih rapi merangkumi pemeriksaan darah dan air kencing.
Ujian ultrasound akan diatur bagi mengenal pasti masalah dengan lebih teliti. Langkah-langkah rawatan yang seterusnya bergantung kepada hasil kajian ultrasound selepas bayi dilahirkan.
Dalam kebanyakan kes, bayi mungkin perlu melalui ujian ultrasound ulangan sebulan selepas ujian yang pertama bagi memastikan tahap hidronefrosis sudah berkurang. Biasanya lebih 80 peratus bayi yang didiagnos Hidronefrosis Antenatal tidak mengalami masalah yang serius dan akan didiscaj daripada rawatan susulan.
Namun bagi kes-kes hidronefrosis sebelah atau kedua-dua belah buah pinggang yang serius, bayi hendaklah merujuk kepada Pakar Pediatrik Nefrologi.
Risiko masalah buah pinggang bengkak kepada anak yang seterusnya
Untuk pengetahuan para ibu, masalah hidronefrosis yang minimal bukanlah masalah keturunan. Jika puncanya adalah disebabkan oleh masalah penyumbatan, kemungkinan mendapat masalah yang sama pada kandungan akan datang adalah sebanyak 50 peratus.
Ibu-ibu mengandung dinasihatkan untuk membuat ujian ultrasound semasa kehamilan yang terperinci ketika trimester kedua bagi mengetahui tahap perkembangan struktur saluran kencing dan buah pinggang anak dalam kandungan.
Kesimpulannya sangat penting untuk para ibu membuat details scan bagi memastikan keadaan bayi dalam kandungan adalah baik. Jika terdapat masalah sebegini, ibu ayah dan doktor dapat bersedia lebih awal.
Sumber: Myhealth, Klinik Dr Asmah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tiap Kali Scan Bayi Sorokkan Jantina? Rahsianya Ibu Kena Minum Banyak Air Kosong!