Pengangkutan awam menjadi keperluan bagi mereka yang bekerja di kawasan bandar terutamanya bagi mengelakkan kesesakan dan menjimatkan kos. Namun bagi ibu mengandung, anda cenderung berdepan beberapa masalah pengangkutan awam.
Menaiki pengangkutan awam ketika mengandung adalah jauh dari menyeronokkan. Ini kerana anda cenderung berasa loya dan kurang selesa berada di tempat yang begitu sesak.
Masalah pengangkutan awam bagi ibu mengandung
Perjalanan menaiki pengangkutan awam semasa hamil boleh menjadi sukar. Adakah anda tahu hanya 60% orang sahaja sanggup memberikan tempat duduk untuk ibu hamil dalam pengangkutan awam?
Menurut kajian yang dilakukan di negara UK, mereka mengatakan tolong membuka pintu adalah lebih penting daripada memberikan tempat duduk kepada ibu mengandung.
Manakala, hanya 2 peratus orang bersetuju ketika trimester pertama mereka perlu diberi tempat duduk.
Bukan itu sahaja, 1 daripada 5 ibu mengandung mengakui berasa malu untuk meminta tempat duduk ketika menggunakan kemudahan ini.
Tidak dinafikan pengangkutan awam adalah keperluan harian. Meskipun menjimatkan kos perjalanan, masalah pengangkutan awam seperti ruang yang sempit dan ramai orang boleh membuatkan anda berpeluh dan kurang selesa. Lebih-lebih lagi apabila berbadan dua, ia boleh menyukarkan keadaan.
Mendapat tempat duduk di pengangkutan awam semasa hamil sepatutnya mudah, tetapi ada kalanya tidak.
Ada beberapa kemungkinan yang terjadi dan perlu anda waspada ketika menggunakan pengangkutan awam semasa hamil iaitu:
- Ibu cenderung berasa sangat loya dan pening
- Perlu berhimpit dengan ramai orang
- Lebih sensitif kepada bau
- Rasa letih apabila perlu menukar stesen beberapa kali
Cabaran menggunakan kemudahan pengangkutan awam ketika hamil
Bagi wanita, menggunakan kemudahan awam boleh menjadi amat mencabar terutamanya ketika waktu puncak. Hal ini kerana anda perlu berebut dengan ramai orang yang ingin menuju lokasi sama.
Keadaan ini lebih merisaukan bagi golongan ibu mengandung. Meskipun sudah tertera dan diberitahu melalui pengumuman mengenai keutamaan tempat duduk kepada warga emas, orang kurang upaya dan wanita hamil, ramai masih tidak mengendahkannya.
Antara masalah pengangkutan awam yang anda mungkin hadapi adalah:
- Ketika trimester pertama atau kedua, perut masih tidak kelihatan dan tiada siapa yang tahu anda berbadan dua kecuali anda mengatakannya pada mereka
- Terpaksa berdiri dan mendapatkan sokongan tubuh yang lebih stabil
- Menggunakan pelitup muka bagi mengelakkan bau kurang menyenangkan
- Risiko sakit kaki dan pinggang
Tips ketika menggunakan pengangkutan awam
Sewaktu melakukan perjalanan sendirian tanpa atau bersama pasangan, ada beberapa tips yang berguna buat ibu mengandung bagi mengelakkan sebarang masalah pengangkutan awam.
#1. Buat hubungan mata
Selalunya di dalam pengangkutan awam orang ramai cenderung untuk fokus dengan telefon mereka, membaca buku atau tertidur.
Walau bagaimanapun, satu cara untuk meminta seseorang menawarkan tempat duduk mereka kepada anda adalah dengan membuat hubungan mata sambil mengusap bahagian perut.
#2. Jangan malu untuk bertanya atau meminta
Meminta tempat duduk di pengangkutan awam boleh menjadi sedikit menakutkan.
Orang sering mengatakan ‘kehamilan bukan penyakit’. Namun terdapat begitu banyak faktor wanita hamil memerlukan sedikit bantuan tambahan, oleh itu anda berhak meminta orang sekeliling untuk bertimbang rasa.
#3. Pilih coach ladies only
Pengangkutan awam di Malaysia seperti LRT menyediakan koc untuk wanita sahaja. Ia adalah inisiatif bagi melindungi keselamatan anda terutamanya ketika waktu puncak.
Bagi ibu mengandung, kami menasihati anda menggunakan kemudahan ini kerana ia lebih selesa, keselamatan terjamin serta dilindungi.
#4. Sediakan keperluan makanan atau minuman
Memandangkan kemudahan awam ini sering berhenti dan memakan masa agak lama, ibu-ibu perlulah membawa bersama snek atau air minuman di dalam beg.
Bukan itu sahaja, sediakan juga minyak angin mahupun tuala kecil sekiranya anda berasa kurang selesa atau sesak nafas ketika dalam perjalanan dengan ramai orang.
#5. Update lokasi semasa
Dengan kemudahan yang ada kini seperti aplikasi Whatsapp, anda boleh berkongsi lokasi semasa di pilihan share live location.
Hal ini adalah untuk membolehkan suami ataupun ahli keluarga mengetahui keberadaan anda dan mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.
Sekiranya anda seorang ibu mengandung yang bekerja hingga malam hari dan menggunakan public transport, sentiasa jaga diri anda,
Pastikan ada kawan sebagai peneman bagi mengelakkan sesuatu yang bahaya. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sukar Dapat Tempat Duduk LRT, Ibu Mengandung Kecewa Pengguna Buat-Buat Tak Nampak
Baca juga: Adakah Bahaya Memandu Ketika Hamil? Ibu, Ikuti 10 Checklist Ini Sebelum Mulakan Perjalanan
Baca juga: 10 Makanan Sihat Untuk Ibu Mengandung Agar Kulit Bayi Cerah & Bersih Ketika Lahir
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!