Luangkan Banyak Masa Dengan Si Manja Antara Cara Atasi Masalah Perkembangan Anak Lambat!

Masalah perkembangan anak lambat dan perlahan membuatkan ramai ibu ayah berasa risau. Luangkan masa dengan mereka antara salah satu cara mengatasinya.

Selain autisme dan ADHD, ramai ibu bapa bimbang tentang masalah perkembangan anak dari segi pembangunan global yang terlewat. Tapi sebelum kami pergi lebih jauh anda pasti tertanya-tanya, apa itu kelewatan pembangunan global pada kanak-kanak?

Ia adalah keadaan yang berlaku dalam tempoh selepas bayi dilahirkan sehingga mereka berusia 18 tahun. Malah, ia memberi kesan kepada hampir 1.3% kanak-kanak seluruh dunia.

Di dalam artikel ini, anda akan diterangkan mengenai:

  • Masalah perkembangan anak lambat, perlukah ibu risau?
  • Punca mendorong kepada masalah perkembangan anak
  • Bagaimana merawat masalah perkembangan anak yang terlewat?

Masalah perkembangan anak lambat, perlukah ibu risau?

Secara lazimnya, perkembangan setiap kanak-kanak adalah berbeza-beza.

Namun, terdapat beberapa tanda yang menjadi bukti anak anda mungkin mengalami perkembangan terlewat dari sudut fizikal, emosi dan mental, seperti berikut:

  • Bahasa dan pertuturan
  • Penglihatan
  • Kelewatan motor kasar dan halus. Ini termasuk pergerakan besar seperti berjalan dan duduk. Pergerakan motor halus pula seperti bergambar dan memegang mainan.
  • Pemikiran dan kemahiran kognitif
  • Kemahiran sosial dan emosi
  • Kemahiran harian seperti berpakaian dan pergi ke tandas.

Kelewatan perkembangan anak ini boleh berlaku atas sebab tertentu dan ia juga boleh berterusan sehingga usianya mencecah enam bulan.

Ini termasuklah pembelajaran untuk berjalan, bercakap, kemahiran pergerakan, belajar perkara baru dan berinteraksi dengan orang lain secara sosial dan emosi.

Terdapat banyak punca yang mendorong kepada masalah perkembangan anak

Sebagai ibu ayah, adalah wajar untuk anda berasa risau apabila melihatkan si manja tidak berkembang selari dengan usia mereka.

Terdapat beberapa penyebab yang mendorong permasalahan tumbesaran anak ini. Antaranya ialah:

  • Lahir tidak cukup bulan atau pramatang
  • Keadaan genetik seperti sindrom down
  • Keadaan kromosom seperti X rapuh atau rett sindrom
  • Keadaan metabolik atau kekurangan tiroid
  • Masalah ketika mengandung seperti pendarahan teruk, jangkitan seperti rubella atau ibu mengambil alkohol ketika hamil atau makan ubat secara berlebihan.
  • Masalah semasa atau selepas bersalin seperti pendarahan teruk atau kekurangan oksigen.
  • Masalah penglihatan
  • Masalah pekak atau pendengaran
  • Masalah bahasa atau pertuturan
  • Kecederaan otak disebabkan kemalangan atau hampir lemas
  • Jangkitan otak atau meningitis atau ensefalitis
  • Kerap sakit hingga dimasukkan ke wad hospital
  • Banyak tekanan keluarga hingga menyebabkan kekurangan perhatian dalam bulan pertama selepas lahir
  • Kemiskinan dan kekurangan zat makanan

Bagaimana merawat masalah perkembangan anak yang terlewat?

Bagi anda yang tercari-cari adakah ada ubat bagi merawat masalah ini, jawapannya tiada ubat yang boleh merawat sebarang masalah perkembangan anak dengan berkesan.

Akan tetapi si manja anda memerlukan bantuan peringkat awal dari sudut psikologi, pendidikan dan sosial yang bersesuaian dengan usia mereka.

Merawat masalah perkembangan anak yang terlewat ini mungkin mengambil masa yang agak panjang kerana ia merupakan proses yang kompleks. Justeru ibu ayah jangan cepat berputus asa dan sentiasa berusaha untuk berikan yang terbaik dalam merawat si manja anda.

Pakar pediatrik biasanya akan mengkaji sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal serta beberapa ujian yang berkaitan seperti:

  • Ujian pendengaran
  • Pertuturan dan penilaian bahasa
  • Ujian visi, darah, genetik dan kromosom
  • Imbasan MRI untuk mencari keabnormalan dalam sistem saraf dan otak.
  • Ujian neurologi seperti elektro encephalogram yang merekod aktiviti gelombang otak elektrik.

Ada tak sebarang rawatan bagi merawat masalah perkembangan anak yang terlewat ini?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, tiada rawatan tunggal bagi membantu masalah perkembangan anak terlewat.

Penting untuk diingatkan, pembelajaran anak yang terlewat adalah tidak sama dengan kanak-kanak lain tetapi biasanya ambil masa yang lama untuk membangun kemahiran baru.

Bagi sesetengah kanak-kanak, kelewatan dalam pembangunan mereka akan menjadi lebih pendek dan dapat diatasi dengan sokongan tambahan atau beberapa sesi terapi dengan pakar yang bersesuaian.

Dalam kes lain, kanak-kanak tersebut memerlukan sokongan berterusan. Ini menunjukkan mereka mungkin juga mempunyai kecacatan pembelajaran.

Ini cara membantu masalah perkembangan si manja yang terlewat

Kanak-kanak yang mengalami masalah perkembangan terlewat mempunyai keperluan yang sama seperti anak normal yang lain. Mereka juga memerlukan suasana persekitaran yang sihat, selamat dan menyeronokkan.

Perasaan dan keinginan untuk melangkah dapat membantu membina harga diri kanak-kanak dan menambah keyakinan mereka mencuba pelbagai perkara baru.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak belajar kemahiran baru daripada keluarga mereka sendiri. Berikut beberapa cara bagaimana untuk anda boleh membantu ‘memulihkan’ mereka:

  • Meluangkan masa dan memberi respon pada kanak-kanak tersebut
  • Menggunakan bahasa yang mudah difahami kanak-kanak.
  • Memberi masa tambahan kepada anak untuk belajar dan mengamalkan kemahiran baru
  • Biarkan kanak-kanak menggunakan sentuhan, melihat dan mendengar untuk belajar.
  • Memecahkan langkah mudah supaya anak kecil dapat menguasi dengan lebih baik. 
  • Berbincang dengan guru kanak-kanak tersebut supaya bimbingan khas diperlukan.
  • Mencari perkara yang boleh menarik minat anak seperti bantu memasak, mengemas rumah, memberi kucing makan dan sebagainya.
  • Memuji kejayaan dan membina keyakinan diri anak

Perkembangan anak mengikut usia

Secara umumnya, perkembangan berlaku dalam turutan yang sama pada kebanyakan kanak-kanak namun ada kemahiran yang mungkin berkembang pada umur atau masa yang berbeza. Perkembangan bayi mengikut bulan dan pertumbuhan bayi juga kadang kala berbeza.

Sebagai contoh, kanak-kanak biasanya belajar berdiri, dan kemudian mereka belajar berjalan. Tetapi perkembangan ini boleh berlaku pada bila-bila masa antara 8 dan 18 bulan.

Perkembangan kanak-kanak berlaku dari semasa ke semasa. Tidak perlu terlalu risau, namun sudah pastinya ibu ayah perlu peka supaya sebarang boleh dikesan awal jika berlakunya sebarang kelainan pada anak. 

Lahir sehingga 18 bulan

Pada 18 bulan pertama kelahirannya, bayi anda akan menunjukkan perkembangan yang sangat menakjubkan. Dalam jangka masa yang agak singkat ini, seorang bayi melihat dunianya melalui derianya.

Bayi mengumpul maklumat melalui sentuhan, rasa, bau, penglihatan, dan bunyi. Untuk membantu bayi matang dan belajar, ibu ayah atau penjaga harus merangsang tetapi tidak membebankan mereka.

Matlamat keseluruhan bukanlah untuk terlalu ‘mengajar’ bayi anda namun lebih kepada meneroka dunia bersamanya. Ketika usia ini antara perkara yang akan mereka lakukan adalah:

  • Bayi gembira mengetahui perkara yang boleh mereka lakukan dengan suara, tangan, kaki dan jari kaki mereka
  • Mereka berlatih kemahiran pusing badan, meniarap, mengengsot, merangkak, berjalan dan pengembaraan fizikal yang lain

18 bulan hingga 2 tahun

Dalam usia ini, ibu ayah perlu tahu anak anda mungkin sudah kenal haknya. Mereka sudah ada rasa sense of belonging. Semasa peringkat ini, anak anda mula menentukan sesuatu untuk dirinya sendiri.

Jadi carilah aktiviti penjagaan kanak-kanak yang merangsang imaginasi dan perbendaharaan katanya. Ketika usia inilah anak-anak akan mula

  • Bercakap dan memahami perkataan yang pendek. Bagi 1 tahun, ‘susu’ atau dua tahun dia sepatutnya sudah boleh menuturkan ‘nak susu’. 
  • Ada juga ibu ayah yang mengatakan pada usia ini anak akan mula buat perangai. Ini yang dipanggil terrible two

3 hingga 5 tahun

Pada usia ini, lebih ramai ibu ayah yang ambil keputusan untuk hantar anak ke sekolah bagi membiasakan mereka dengan kehidupan yang akan anak lalui ketika usia mereka semakin meningkat.

Ada ibu ayah yang ambil keputusan ini bagi membolehkan anak mereka lebih mudah bergaul dengan kanak-kanak lain kerana ada kalanya anak-anak yang tidak dihantar ke taska atau tadika pada usia awal agak sukar untuk menyesuaikan diri mereka ketika mula bersekolah.

Pada usia ini anak anda biasanya:

  • Sepatutnya sudah pandai bercakap dengan kosa kata yang lebih banyak
  • Mereka juga sudah ada kemahiran lain seperti tahu menggunting, makan dengan sendiri, boleh ke tandas sendiri malah ada yang sudah bebas lampin

Bila patut risau

Bawa anak anda berjumpa pakar jika anda perasan atau bimbang anak mempunyai isu-isu berikut ketika dia sudah berusia 2 tahun:

  • Mengalami masalah melihat atau mendengar sesuatu
  • Tidak menggunakan 2 perkataan bersama – contohnya, ‘Kereta merah’.
  • Tingkah laku dan bermain
  • Tidak boleh mengikut arahan mudah – contohnya, ‘Tolong berikan saya bola’
  • Tidak meniru tindakan atau perkataan – contohnya, apabila menyanyi dengan gerakan ‘Kepala, bahu, lutut dan jari kaki’
  • Tidak reti main olok-olok-  contohnya, bercakap seorang ketika bermain
  • Tidak menunjukkan perasaan
  • Tidak datang kepada anda untuk memeluk dan sebagainya
  • Tidak boleh berjalan naik dan turun tangga, walaupun berpegang pada anda atau rel
  • Tidak boleh lari
  • Sukar untuk mengendalikan objek kecil – contohnya, krayon
  • Tidak mencoret atau cuba melukis
  • Tidak memandang mata anda
  • Mengalami masalah melihat atau mendengar sesuatu

Semoga bermanfaat.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

  1. raisingchildren.net (August 13, 2020). Child development: the first five years. raisingchildren.net.au/newborns/development/understanding-development/development-first-five-years
  2. California department of education ( April 22, 2021). Ages and Stages of Development. www.cde.ca.gov/sp/cd/re/caqdevelopment.asp
  3. raisingchildren.net (March 19, 2022). 2-3 years: toddler development. raisingchildren.net.au/toddlers/development/development-tracker-1-3-years/2-3-years

Baca juga: Berat Badan Kurang & Tubuh Anak Kecil Tanda Perkembangan Gagal, Ibu Sila Take Note!

Baca juga: Perkembangan Anak 0 Hingga 4 Tahun, Fasa Penting Bagi Membentuk Anak Jadi Bijak

Baca juga: Ini 8 Perkara Penting Yang Perlu Diberi Perhatian Dalam Perkembangan Anak -Pakar