Masalah Tiroid di Kalangan Ibu Hamil Boleh Memberi Kesan Negatif Kepada Bayi

Tahukah anda, masalah tiroid di kalangan ibu hamil mampu memberikan kesan negatif kepada ibu dan bayi? Jom baca dengan lebih lanjut!
Biasanya, para ibu akan diingatkan tentang bahaya penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi yang boleh berlaku selama tempoh mereka mengandung.
Tetapi, ramai yang mungkin tidak sedar akan bahaya masalah tiroid di kalangan ibu hamil. Seperti penyakit kronik lain, ia juga turut memberi kesan negatif, bukan sahaja kepada kesihatan si emak, malah kepada bayi dan tumbesarannya jangka masa panjang.
Apakah itu Penyakit Tiroid?
Penyakit tiroid adalah satu masalah kesihatan hormon yang berlaku akibat gangguan pada kalenjar tiroid. Ia terletak di bahagian leher dan berbelah dua – bentuknya seakan-akan seperti rama-rama.
Kalenjar tiroid berfungsi untuk merembeskan hormon tiroid. Hormon ini kemudiannya mengawal metabolisma badan serta fungsi organ-organ yang lain.
Terdapat dua jenis penyakit tiroid iaitu hipotiroidisma dan hipertiroidisma.
Jika hipotiroidisma berlaku, ia bermakna kalenjar ini mengeluarkan terlalu sedikit hormon. Hipertiroidisma pula terjadi apabila kalenjar mengeluarkan hormon tiroid yang berlebihan sehingga menyebabkan pesakitnya mengalami masalah kesihatan.
Masalah Tiroid ketika Mengandung
Ada wanita yang mempunyai masalah tiroid sebelum mereka hamil dan ada pula yang mengalaminya ketika mengandung.
Bagi mereka yang sebelum ini pernah menjalani rawatan untuk masalah ini, mereka perlu memberitahu kepada doktor supaya pemantauan rapi dapat dilakukan sepanjang kehamilan tersebut.

Source: Hyperthyroidismrevolution.com
Untuk mereka yang baru sahaja mengalami gangguan tiroid ketika hamil, ia boleh jatuh di antara kategori ‘tidak membimbangkan’ atau ‘serius’.
Malah, ia adalah menjadi satu kebiasaan untuk hormon tiroid meningkat ketika hamil. Kesan akibat gangguan tiroid pula hampir sama dengan kesan kehamilan seperti keletihan dan suhu badan yang meningkat.
Secara semulajadinya juga, hormon tiroid memang akan dirembeskan sedikit berlebihan bagi membekalkannya kepada bayi melalui saluran plasenta. Hanya pada usia 12 minggu sahaja, barulah kalenjar tiroid bayi dapat berfungsi dengan sendirinya.
Tetapi, jika doktor merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada tahap hormon tiroid dalam badan (melalui ujian darah), maka ia masih perlu dikawal dan dirawat sebaik mungkin. Ini untuk mengelakkannya daripada menjadi lebih serius.
Kesan Masalah Tiroid di Kalangan Ibu Hamil
Setelah mengetahui serba sedikit tentang latar belakang penyakit tiroid, jom kita tengok pula apakah kesan bahaya yang boleh berlaku kepada ibu hamil serta bayinya.

Source: Arparis.org
Bagi masalah hipotiroidisma di mana hormon tiroid tidak dirembeskan secara mencukupi dalam badan, ia akan memberi kesan seperti:
- Masalah kekurangan darah merah (Anemia)
- Masalah darah tinggi yang serius (Preeclampsia)
- Keguguran ketika kehamilan
- Bayi kurang berat badan selepas dilahirkan
- Kecacatan organ pada bayi (hati, otak, dan buah pinggang)
- Masalah tumbesaran otak pada bayi
- Bayi akan mempunyai IQ yang rendah apabila meningkat dewasa
- Gangguan saraf pada bayi
Berikut merupakan masalah kesihatan yang boleh berlaku kepada ibu dan anaknya untuk wanita hamil dengan masalah hipertiroidisma (hormon tiroid berlebihan):
- Masalah tiroid akut yang menyebabkan penat berlebihan, badan menjadi panas, menggeletar, degupan jantung yang laju.
- Kegagalan hati pada bayi
- Masalah darah tinggi yang teruk ketika di hujung kehamilan (preeclampsia) buat si ibu

Source: Hypothyroidmom.com
- Keguguran bayi
- Bayi kurang berat badan
- Bayi lahir tidak cukup bulan
- Masalah pernafasan pada bayi setelah dilahirkan
Anda Hamil? Kawal Masalah Tiroid dengan Sebaik Mungkin Dengan Bantuan Doktor Anda!
Jika masalah tiroid dipantau dengan rapi dan diberikan rawatan yang sebaiknya oleh doktor anda, maka anda tidak perlu risau.
Si kecil akan membesar tanpa masalah komplikasi kesihatan yang teruk dan membimbangkan!
Kongsikan artikel ini jika anda rasakan ia bermanfaat buat ibu-ibu yang sedang mengandung di luar sana. Pasti mereka akan mendapat lebih banyak maklumat tentang masalah tiroid di kalangan ibu hamil dan mengambil langkah kawalan yang sepatutnya.
- 5 Makanan Mengejutkan Yang Patut Dielakkan Apabila Hamil
- 5 Perkara Yang Hanya Boleh Difahami Ibu Hamil Trimester Tiga
- Rambut Anak Lambat Tumbuh, Kulit Berkerak? Atasi Dengan Minyak Rambut Baby Yang Selamat Untuk Si Manja
- Rambut Anak Lambat Tumbuh, Kulit Berkerak? Atasi Dengan Minyak Rambut Baby Yang Selamat Untuk Si Manja