Penyakit Tiroid Lebih Ramai Dihidapi Oleh Golongan Wanita, Pakar Jelaskan Ini Sebabnya!
Tiroid adalah penyakit yang kerap berlaku pada wanita kerana prestasi kelenjar hormon tiroid berkait rapat dengan hormon estrogen
Penyakit tiroid dikatakan lebih kerap berlaku pada golongan wanita pada setiap peringkat umur. Ini kerana, wanita adalah lima kali lebih cenderung untuk mengalami gangguan tiroid berbanding lelaki. Bahkan tanda tanda tiroid juga seringkali dikelirukan dengan masalah kesihatan lain.
Namun begitu, masih ramai lagi wanita memilih untuk tidak mengambil tahu tentang masalah ini sehinggalah lambat mendapatkan rawatan.
Tiroid itu apa?
Bagi anda yang tidak tahu tiroid itu apa, ia sebenarnya adalah kelenjar berbentuk rama-rama di hadapan leher dan menghasilkan hormon yang mengawal pelbagai fungsi tubuh badan.
Jika fungsi hormon tiroid terganggu, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan sehingga boleh menjejaskan kehidupan seharian.
Justeru adalah penting untuk anda tahu bagaimana untuk mengesan tanda tanda tiroid.
Tanda tanda tiroid
1. Kerap berasa penat
Antara salah satu tanda tanda tiroid adalah anda sentiasa berasa penat meskipun hanya melakukan pekerjaan ringan.
Kelenjar tiroid anda biasanya akan mengawal metabolisma memberi kesan pada berat badan dan tenaga anda. Jika kelenjar tiroid tersebut tidak berfungsi, anda mungkin akan cepat merasa letih walaupun telah mendapat tidur yang cukup.
2. Perubahan emosi
Apabila kelenjar tiroid anda terlebih atau terkurang dalam menghasilkan hormon yang diperlukan untuk megawal metabolisma, anda akan mengalami perubahan emosi, kebimbangan atau lebih teruk lagi, kemurungan.
Hati-hati dengan tanda ini!
3. Masalah sembelit
Penyakit tiroid jenis yang kurang aktif dikatakan menjadi antara penyebab sembelit. Tapi, tiroid yang terlebih aktif pula akan menyebabkan anda cirit-birit sepanjang hari.
4. Kuat berpeluh tanpa sebab
Badan akan menjadi keliru apabila tiroid tidak menghasilkan hormon yang cukup untuk mengawal pengeluaran tenaga dan menyebabkan anda berpeluh tidak mengira masa.
Selain itu, bahaya penyakit tiroid ini mungkin membuatkan anda berasa panas meskipun berada dalam bilik yang sejuk.
5. Masalah berat badan
Kenaikan berat badan selalu dikaitkan dengan tiroid yang kurang aktif, ia adalah gejala biasa bagi penyakit tiroid.
6. Perubahan pada selera makan
Tanda lain bagi masalah kanser tiroid termasuklah perubahan apabila anda merasa sesuatu makanan.
Apabila badan anda tidak berfungsi seperti yang sepatutnya, ia tidak boleh menghantar isyarat yang tepat pada nutrisi yang diperlukan.
7. Rambut gugur
Menurut Pengasas Tiroid British, jika seseorang sudah mengalami kanser tiroid, anda akan mengalami masalah keguguran rambut.
Ini terjadi kerana badan anda keliru dan mula menghantar sumber ke bahagian tubuh badan yang salah.
8. Sakit badan
Bahaya penyakit tiroid boleh menyebabkan kesakitan lebih-lebih lagi jika anda mengalami arthritis kerana tiroid yang tidak berfungsi boleh menyebabkan kesakitan menjadi lebih teruk.
Sakit yang lain termasuklah sakit otot. Dalam beberapa kes, sakit boleh menjadi lebih teruk di kawasan leher tempat letaknya tiroid leher.
9. Ketulan di bahagian leher
Jika anda mula merasa ketulan di bahagian leher, ini mungkin tanda masalah tiroid. Anda patut periksa kerana ia mungkin hanya goitre, tiroid bengkak tetapi normal atau ia mungkin adalah kelenjar limfa.
10. Kulit kering
Jika anda mengalami tiroid leher yang kurang aktif, ia boleh menyebabkan badan anda tidak berpeluh dengan cukup.
Jika kulit anda kekurangan pelembab, ia mengakibatkan kulit kering, bersisik atau gatal.
11. Tekanan darah tinggi
Sama ada kanser tiroid anda menghasilkan terlalu banyak atau terlalu sedikit, ia akan menyebabkan tekanan darah tinggi.
Walaubagaimanapun, menurut Persatuan Jantung Amerika, kajian lanjut diperlukan untuk mengetahui apa penyebab sebenar kenaikan tekanan darah.
12. Perubahan kitaran haid
Tanda lain masalah penyakit tiroid adalah termasuk perubahan mendadak pada kitaran haid, walaubagaimanapun, ini bukan penyebab utama kepada penghasilan hormon tiroid.
Punca tiroid pada wanita
Menurut Pakar Bedah Am, Pantai Hospital Laguna Merbok, Sungai Petani Kedah, Dr. Husna Syakirah Ab. Rahman, ada dua jenis penyakit tiroid yang perlu anda ketahui.
“Ada dua jenis masalah atau gangguan hormon tiroid iaitu hyperthyroidism dan hypothyroidism. Hyperthyroidism terjadi apabila hormon tiroid dihasilkan secara berlebihan.”
”Antara punca tiroid jenis ini ialah grave disease, toxic moultinodular goiter, toxic nodule (hanya satu nodule yang menghasilkan hormon yang banyak),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu hypothyroidism terjadi apabila tyroid kurang aktif dalam penghasilkan hormon. Misalnya masalah hashimoto thyroiditis atau radang pada tiroid.
Apa yang perlu anda lakukan sekiranya mengalami beberapa tanda tanda tiroid
Penyakit tiroid tidaklah berbahaya jika pesakit mendapatkan rawatan perubatan yang betul.
Pesakit selalunya boleh menjalani kehidupan yang biasa dan sihat selepas menjalani rawatan. Tanpa rawatan, penyakit tiroid ini boleh menyebabkan komplikasi seperti masalah jantung, masalah tulang, dan paling bahaya, ia akan menyebabkan terjadinya penyakit “Thyroid Storm” (Krisis Tiroid).
Thyroid Storm (krisis tiroid) adalah penyakit yang mengancam nyawa bagi individu yang mempunyai hipertiroidisme.
“Thyroid Storm” berlaku apabila kelenjar thyroid tiba-tiba mengeluarkan sejumlah besar hormon tiroid dalam tempoh masa yang singkat.
Sekiranya anda mengalami “Thyroid Storm”, anda memerlukan rawatan perubatan kecemasan. Jika ada mengalami beberapa tanda tanda di atas, perkara yang pertama anda perlu lakukan adalah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan diagnosis yang tepat.
Jangan tentukan sendiri selepas membaca tentang gejala masalah tiroid di forum atau internet.
Tanda-tanda ini juga sama dengan masalah kesihatan yang lain.
Hanya doktor yang berkelayakan sahaja dapat memberikan jawapan tepat dan dapat menyediakan rawatan bersesuaian untuk anda.
Penyakit tiroid dan cara penyembuhannya
“Untuk pesakit yang mempunyai masalah gangguan tiroid, rawatan penyakit tiroid dan cara penyembuhannya hendaklah dimulakan segera.
“Bagi yang menghidapi hyperthyroidism, pesakit akan diberi tablet carbimazole atau propylthiouracil (sesuai untuk pesakit yg mengandung).
“Jika masih tidak dapat dikawal pesakit mungkin diberi pilihan untuk melakukan pembedahan atau rawatan ablsi radioaktive (radioiodine therapy),” kata Dr. Husna.
Pesakit hypothyroidism pula akan diberikan ubat thyroid secara oral. Bagaimapun kedua-dua jenis gangguan tiroid ini perlu dipantau melalui ujian darah untuk melihat keberkesanannya.
Makanan untuk menyembuhkan tiroid
Sebenarnya tiada makanan yang khusus bagi menyembuhkan masalah ini. Namun ada beberapa jenis makanan yang boleh anda ambil bagi mencegah tiroid menjadi teruk.
Antaranya ialah:
#1. Taugeh
Khasiat taugeh untuk mencegah penyakit tiroid diperolehi kerana ia membekalkan tenaga yang mampan kepada tubuh dan mengandungi antioksidan, protein, karbohidrat kompleks, vitamin dan mineral. Anda boleh menambah tauge ke dalam sup, salad dan hidangan campuran lain.
#2. Brokoli
Kandungan nutrisi dalam brokoli boleh mengurangkan punca gangguan tiroid.
#3. Bayam
Bayam adalah sayuran hijau yang kaya dengan vitamin, protein, mineral, dan asid omega-3.
#4. Buah tomato
Tomato kaya dengan vitamin C dan kandungan antioksidan didalamnya boleh meningkatkan penyerapan zat besi dalam badan.
#5. Tauhu
Tauhu adalah sumber asid amino, zat besi, kalsium, dan mikronutrien lain yang berguna untuk mengekalkan kesihatan tiroid. Tauhu ialah produk soya yang ditapai yang boleh mengekalkan kesihatan kelenjar tiroid
#6. Telur
Telur adalah makanan pencegahan penyakit tiroid. Ia tidak hanya kaya dengan kalsium, tetapi juga sumber zat besi dan iodin baik untuk mengekalkan tiroid yang sihat.
#7. Strawberi
Strawberi adalah buah yang mempunyai jumlah iodin yang cukup tinggi, jadi ia baik untuk membantu tiroid menguruskan metabolisme, menyahtoksik, dan menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan.
Pantang larang penyakit tiroid
Ada beberapa jenis pantang larang penyakit tiroid jenis hipertiroidisme iaitu:
- Makanan tinggi iodin, seperti garam yang mengandungi banyak iodin, kerang, ketam, udang galah, ikan masin, rumpai laut, kuning telur, dan beberapa jenis produk tenusu.
- Makanan tinggi nitrat, seperti daging yang diproses (sosej, nuget, bacon), saderi, salad, bayam, pasli, daun bawang, lobak merah, timun, labu dan bit.
- Makanan yang mengandungi gluten atau tepung gandum. Dalam sesetengah orang, gluten dalam makanan boleh memburukkan lagi fungsi kelenjar tiroid, menyebabkan keradangan.
- Minuman mengandungi kafein, seperti coklat, kopi, teh hitam dan minuman tenaga.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 4 Simptom Penyakit Bahaya Yang Sering Serang Wanita, Jangan Dibuat Main!
Baca juga: Masalah Tiroid di Kalangan Ibu Hamil Boleh Memberi Kesan Negatif Kepada Bayi
Baca juga: Warna Kuku Mendedahkan Keadaan Kesihatan, Adakah Anda Miliki Warna Kuku Normal?