Terdengar kata-kata si ibu baru-baru ini, “Merajuk Ti. Biarlah, nanti reda sendiri! Nak itu… nak ini. Tak nampak ke akak ada baby dan seorang adik baru dia ni haa? Nak mengadap dia je, mana boleh!” tegas kata-kata mama Sofea.
Saya hanya mengangguk-anggukkan kepala sambil memandang si kecil yang duduk di hujung sofa. Bulan depan genap usianya 2 tahun.
Kehadiran seorang adik baru dalam keluarga
credit to sources
Siapa yang tidak teruja dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga. Ibu bapa tentu sekali. Anak-anak yang sudah agak besar kebanyakannya teruja sama membuat persiapan.
Namun bagi anak-anak yang masih kecil ia bermakna kasih sayang dan perhatian yang terpaksa dikongsi. Perhatian yang selama ini hanya untuk dirinya telah berubah arah menyebabkan kadangkala sukar bagi mereka untuk menerimanya.
Terutama buat anak-anak berusia dua tahun ke bawah kerana keperluannya terhadap perhatian ibu bapa masih kuat. Biasanya anak-anak yang lebih rapat dengan ibu berbanding ayah akan lebih merasakan kehilangan.
Jika anak-anak kecil berasa cemburu dan mula meragam, ketahuilah itu perkara biasa. Bukan mudah bagi mereka untuk menerima keadaan ini, jadi bantu persiapkan mereka menerima ahli baru.
Tips didik anak terima seorang adik baru
credit to sources
#1. Menyampaikan berita
• Dari mulut siapa
Biarlah berita sepenting ini datang dari mulut ibu bapa sendiri dan bukan dari orang lain bagi mengelakkan mereka merasa terpinggir, seolah-olah anda cuba untuk merahsiakannya.
• Waktu yang sesuai
Anda mungkin menunggu saat bayi dalam kandungan membesar dan memberi reaksi. Jika si kecil dapat melihat dan merasa pergerakan, itu lebih mudah bagi mereka untuk memahaminya.
Mungkin juga anda ingin memberitahu lebih awal kerana jika anda mula menunjukkan tanda-tanda alahan, tidaklah dia risau kerana tahu sebabnya.
• Bagaimana untuk memberitahu
Satu cadangan yang baik adalah dengan membacakan pada si kecil tentang bayi. Luangkan masa bersama membaca tentangnya dan tanyakan padanya apa yang ingin diketahui serta perasaannya terhadap bayi.
Ini dapat menjadi titik tolak kepada perbincangan tentang bayi anda sendiri.
#2. Memulakan hubungan
Hubungan antara si kecil dan bayi yang bakal lahir harus dimulakan seawal bayi dalam kandungan. Mereka juga perlu tahu apa yang akan berlaku apabila bayi dilahirkan dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
• Bawa ke klinik
Membawa si kecil bersama dalam lawatan berkala ketika mengandung juga dapat membantu. Ini dapat membiasakannya merasai kehadiran ahli baru melalui pertemuan dengan doktor, mendengar denyutan bayi kali pertama serta melihat gambar bayi dalam kandungan.
• Biasakan dengan bayi
Bagi membantu sikecil mendapat gambaran, bawa dia melawat rakan-rakan yang punyai bayi yang masih kecil, bacakan buku-buku atau tonton dokumentari tentang bayi dalam kandungan dan setelah lahir serta imbas kembali saat-saat dia masih kecil sama ada melalui video atau gambar-gambar lama.
Berikan ruang untuk dia bertanya soalan sebanyak mungkin. Jelaskan perasaan anda apabila menerima kelahirannya dulu dan begitu juga dengan adik yang bakal lahir.
• Bantu persiapan kelahiran
Libatkan si kecil dengan beberapa persiapan menyambut bayi, seperti menyiapkan beg ibu untuk ke hospital, memilih nama untuk bayi dan bersedia dengan panggilan kecemasan jika perlu.
• Jelaskan jangkaan
Bagi membantu anda berdua menghadapi hari-hari awal setelah bayi dilahirkan, bincang dan jelaskan kepadanya apa yang dia harus jangkakan.
Antaranya keadaan ibu yang lemah selepas melahirkan, keadaan bayi yang akan sering menangis dan keperluan untuk menyalin lampin bayi serta menyusu secara kerap.
Ini dapat membantu si kecil untuk faham mengapa masa ibu akan lebih banyak bersama bayi berbanding dirinya.
#3. Cara mengajar anak terima seorang adik baru- Perkenalkan bayi kepadanya
credit to sources
Setelah bayi dilahirkan, perkara yang penting bagi anda adalah membantunya berkenalan dan menerima kehadiran.
• Memperkenalkan bayi
Bawa si kecil melawat ibu dan bayi seawal mungkin sebelum menerima lawatan daripada orang lain. Lebih baik jika ayah yang mendukung bayi manakala ibu bersama si kecil. Peluk dan ciumlah dia saat memperkenalkannya kepada bayi.
• Kekalkan rutin
Sedapat mungkin, kekalkan rutin harian bersama si kecil seperti sebelumnya. Elak menjadikan bayi sebagai alasan. Sebaliknya libatkan sikecil sebagai peneman atau pembantu agar dia tidak akan terasa bayi mengambil masanya.
Berikan pujian apabila selesai seperti, “Untunglah adik, ada abang yang pandai jaga dia”.
• Bantu jalinkan hubungan
Si kecil mungkin merasa malu untuk berada disamping anda dan bayi. Galakkan dia untuk berinteraksi dengan bayi sebanyak mungkin, baring bersama dan berpelukan.
Sentuhan dan kemesraan begini memudahkan penerimaan dan membina hubungan baik antara keduanya.
• Luangkan masa bersama
Sebaik manapun anda menjaga hubungan dengan si kecil, dia tetap akan merasa terpinggir. Jadi, cuba dapatkan masa untuk bersamanya sedapat mungkin.
Jika ada orang dewasa lain di rumah, minta untuk jaga bayi sementara anda luangkan masa untuk bermesra bersamanya.
• Perhatikan reaksinya
Jika si kecil menunjukkan reaksi negatif, bantu dia untuk meluahkan perasaan melalui perkataan. Galakkan dia untuk bercakap dan jangan sekali-kali abaikan perasaannya.
Semoga bermanfaat.
Kredit foto: Mommies Daily, haibunda
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tetamu Suka Mengusik Bila Datang Melawat, Anak Terasa Hati & Jadi Benci Adik Baru
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!