Sering kali menjadi pertanyaan, adakah wanita mengandung boleh makan panadol? Pengambilan ubatan ketika hamil haruslah mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Tentang pengambilan panadol ketika hamil, Dr Zubaidi Hj Ahmad menjelaskan bahawa pengambilan ubat ini tidak menjadi masalah jika diambil dengan dos yang betul.
Dr Zubaidi sendiri menyatakan beliau tidak ada masalah untuk memberikan panadol kepada pesakitnya.
Ibu mengandung makan panadol ada kesan sampingan?
Berdasarkan daripada kajian yang diterbitkan dalam Journal Perubatan Thorax, wanita hamil yang mengambil panadol di akhir kehamilan berisiko menyebabkan masalah pernafasan berbunyi (wheezing) pada kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah.
Menurut Dr Zubaidi, kajian ini telah mendapat kritikan daripada pakar perubatan kanak-kanak dengan beberapa hujah.
Hal ini kerana dalam kajian tersebut ada menyatakan bahawa ibu mengandung mengambil panadol setiap hari, ia merupakan sesuatu yang agak mustahil kerana kebanyakan pengguna hanya telan ubat ini sewaktu perlu sahaja.
Tambahnya lagi, masalah wheezing dalam kalangan kanak-kanak itu hanya berlaku pada 1%. Ada banyak faktor lain yang boleh menyumbang kepada masalah ini, bukan pada pengambilan panadol sahaja.
Tiada bukti mengandung boleh makan panadol jejaskan kesihatan bayi
Dalam tulisannya turut menyatakan terdapat kajian yang berkaitan eczema (alahan kulit) dengan pengambilan panadol.
Namun menurut Dr Zubaidi, kajian itu gagal menunjukkan sebarang kesan pada sistem imuniti kanak-kanak. Jadi, sukar untuk mengatakan bahawa panadol boleh menyebabkan masalah wheezing (alahan paru-paru).
Kajian itu juga tidak menunjukkan kesan wheezing pada wanita yang hamil di awal trimester dan pengambilan yang sederhana di akhir kehamilan.
Ibu mengandung boleh makan panadol jika perlu sahaja
Menurut blog Dr Zubaidi, pengambilan panadol tidak menjadi masalah pada ibu yang hamil jika ianya perlu. Panadol adalah ubat yang selamat digunakan oleh wanita yang hamil untuk merawat demam.
Tambahnya, jika ibu hamil memerlukan ubat untuk mengurangkan suhu yang tinggi (melebihi 40 darjah celcius) akibat demam, maka panadol adalah ubat yang terbaik. Dinasihatkan agar menggunakannya pada janga masa yang pendek.
Setiap biji panadol 500 milligram (mg) boleh diambil satu atau dua biji, dan akan berkesan selama empat jam. Maksima bilangannya yang boleh diambil ialah 4g (empat biji panadol 500mg) dalam masa 24 jam.
Nasihat doktor tentang makan panadol ketika hamil
Dr Zubaidi turut memberikan nasihat mengenai makan panadol ketika hamil.
Nasihatnya, agar mengelakkan menggunakan panadol jika seseorang itu hamil, terutama ketika usia kandungan kurang dari 18 minggu. Ini kerana dalam tempoh tersebut, pembentukkan anatomi seperti tangan, kaki dan kepala sedang berlaku.
Bukan sekadar ubatan, tetapi, makanan yang diambil harus dijaga dan dipantau untuk memastikan janin membesar dengan sihat.
Tambahnya lagi, jika demam tidak serius, selalunya tidak memerlukan pengambilan ubat. Banyakkan minum air dan berdoa kepada ALLAH S.W.T.
Namun, jika demam dan sakit badan itu tidak beransur kurang maka dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor kerana ia mungkin disebabkan oleh virus.
Tetapi jika ia tidak mempunyai sebab yang nyata, doktor akan melakukan beberapa ujian seperti ujian darah dan air kencing.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kesilapan Dalam Perubatan Anak: 8 Perkara Ibu Bapa Sering Buat
Baca juga: Gejala PCOS Penyebab Ramai Wanita Sukar Hamil, Ini Penjelasan Dari Pakar Perubatan
Baca juga: Boleh Cegah Komplikasi Kehamilan, Ini 9 Khasiat Buah Delima Untuk Ibu Mengandung