Akibat kecewa bekas tunang tak mahu bertanggungjawab ke atas dirinya dan bayi yang dikandung, seorang gadis nekad untuk menggugurkan janin yang telah berusia 20 minggu.
Dia dipercayai menggugurkan janin tersebut dengan cara membeli 10 biji ubat keguguran jenis kapsul dengan harga RM600 bagi memastikan janin tersebut dapat digugurkan.
Gadis telan pil dan ambil minuman bergas bagi menggugurkan janin yang dikandung
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superitendan Suffian Sulaiman, gadis tersebut mengaku menelan dua biji kasul dan lapan biji lagi dimasukkan ke dalam kemaluan pada jam satu pagi di kediaman rumahnya, Kuala Nerus.
Menurutnya lagi, gadis itu juga bertindak mengambil minuman bergas dan sejam kemudian mengalami sakit perut yang parah.
Kemudian pada jam 11 malam, suspek melahirkan bayi lelaki yang cukup sifat seberat 304 gram yang tidak bernyawa. Setelah itu, dia membersihkan bayi tersebut lalu membalutnya dengan tuala.
Bertanggungjawab membuat laporan polis
Gadis tersebut yang dalam keadaan ketakutan dan lemah mengambil keputusan membawa janin itu ke klinik swasta berhampiran dan memaklumkan kegugurannya.
Sampai saja di klinik, pekerja di sana meminta dia membuat laporan polis sekiranya mahu menguruskan urusan pengebumian.
Disebabkan itu, dia reda dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang berlaku lalu membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak.
Ketika menuju ke balai polis tersebut, dia membawa janinnya sekali yang diletakkan dalam bakul motosikal.
Kini, suspek berada dalam keadaan lemah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan bedah siasat dijalankan berikutan berat janin yang terlalu ringan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan menggugurkan kandungan.
Menggugurkan janin: Ketahui bahaya pil keguguran
Ubat menggugurkan janin berfungsi untuk menghalang pertumbuhan kandungan. Ia akan membuatkan pengguna berasa tidak selesa disebabkan kekejangan otot yang berlaku, mual dan muntah.
Pil keguguran juga akan menyebabkan berlakunya pendarahan yang banyak. Ia sekaligus boleh mengancam nyawa ibu. Pil ini hanya berfungsi jika kandungan berusia kurang 70 hari.
Malah, pengguna yang mengambil ubat ini pertama kali berisiko untuk sukar hamil pada kandungan kedua dan seterusnya.
Kesan sampingan akibat telan pil keguguran
- Kekejangan
- Pendarahan yang banyak
- Keletihan
- Payudara sakit
- Loya dan muntah-muntah
- Demam
- Cirit-birit
- Jangkitan kuman
- Saki baki kandungan yang digugur masih tertinggal di dalam rahim
Saki baki kandngan yang tertinggal di dalam rahim boleh menyebabkan jangkitan kuman. Ia dikenali sebagai “septic abortion’” yang amat berbahaya dan boleh membawa maut jika tak dirawat.
Justeru, sebagai seorang wanita, walaupun kecewa dengan masalah yang timbul, adalah sangat penting untuk kita berfikir secara rasional tentang kesan yang akan diperolehi daripada tindakan yang melulu.
Dapatkan khidmat dan sokongan daripada pihak yang banyak menjalankan tugas membantu kes seperti ini. Ia sekaligus dapat mengembalikan semula semangat kepada diri untuk meneruskan hidup.
Jadikan kisah menggugurkan janin ini sebagai satu pengarajaran dan teladan buat kita semua. Semoga generasi kita yang akan datang dilindungi dengan baik. Jangan lupa share artikel ini.
Cara lain untuk lakukan apabila terlanjur
Nasi sudah menjadi bubur, waktu ini kata-kata untuk menyalahkan diri sendiri atau pasangan atau sesiapa pun sudah tidak berguna. Jadi langkah seterusnya adalah mencari penyelesaian kepada masalah ini.
#1. Pil morning after
Ramai wanita yang tidak tahu akan kewujudan pil ini. Baik yang terlanjur ataupun sudah berkahwin, yang masih dalam perancangan keluarga. Keberkesanan pil ini bukanlah 100%, namun ia antara langkah yang wajar diambil sekiranya ‘accident’ terjadi. Biasanya pil ini diambil pada keesokan paginya (jika proses persetubuhan berlaku waktu malam sebelum).
#2. Berjumpa dengan doktor
Dapatkan nasihat pakar tentang perkara yang wajar dilakukan. Jangan membuta tuli mengambil pil gugur, bimbang akan beri kesan sampingan yang teruk!
#3. Bincang bersama pasangan dan keluarga
Anda bertanggungjawab sepenuhnya pada kandungan anda, benar. Tapi perkara sebegini harus dibawa bincang bersama keluarga walau bagaimana takut anda untuk bicara dengan mereka. Percayalah selepas hujan akan hadirnya pelangi. Mungkin cahaya mata itu cerah masa depannya jika anda lahirkan dan beri kepada mereka yang lebih memerlukan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Sinar Harian, Doctor On Call
Baca juga: Selain Nenas, 12 Makanan Ini Juga Boleh Jadi Punca Keguguran