Panduan Menyusukan Bayi Baru Lahir Dengan Betul, Kekerapan & Teknik Lekapan, Barulah Berat Anak Bertambah!

Anda ibu bapa baharu yang ada soalan tentang penyusuan susu ibu? Kali ini kami kongsikan cara menyusukan bayi baru lahir untuk rujukan anda.

Tahniah kepada anda kerana telah menjadi ibu bapa baru! Anda pasti letih kerana perlu bangun tengah malam menjaga dan menyusu bayi baru lahir anda, kan? Jadi kali ini kami kongsikan cara menyusukan bayi baru lahir dengan betul. 

Lebih-lebih lagi jika anda membuat keputusan untuk memberi susu ibu. Adakah cara menyusu bayi baru lahir anda itu betul? Lagipun, tak kiralah apa orang nak kata, keputusan untuk menyusu badan ataupun tidak adalah pilihan anda.

Anda pasti banyak soalan. Perlu tak bayi saya disendawakan? Mengapa bayi saya selalu muntah? Bagaimana nak tahu jika susu saya cukup untuk anak atau tidak?

Panduan Kekerapan & Cara Menyusukan Bayi Baru Lahir Yang Betul

Tetapi soalan yang paling kerap ditanya sudah pastilah bagaimana cara menyusukan bayi baru lahir dengan betul. 

Bayi baru lahir sepatutnya diberi susu secara on demand iaitu mengikut permintaan bayi. Kenali corak penyusuan bayi anda dan cuba menyusukannya sebelum dia terlalu lapar.

Ini kerana anda berdua masih sedang menyesuaikan diri dengan penyusuan susu badan. Adalah lebih senang untuk menyusu bayi baru lahir yang tenang berbanding bayi yang menangis kelaparan.

Corak penyusuan dan kekerapan bayi menyusu tidak sama bagi setiap bayi, tapi jangan bimbang, anda akan lebih biasa dengan corak ini selepas beberapa minggu.

Bila Boleh Mula & Berapa Lama Perlu Menyusu Bayi Baru Lahir?

#1. Minggu pertama

  • Anda sepatutnya tahu cara menyusukan bayi baru lahir sekurang-kurangnya 10-12 kali setiap hari.
  • Biar bayi anda menyusu sehingga dia puas dan selagi dia masih menghisap secara aktif. Tukar ke payudara lain apabila satu payudara telah dikosongkan.
  • Bangunkan bayi anda setiap 2 jam pada waktu siang untuk menyusu.
  • Pada waktu malam pula, bangunkan bayi anda setiap 4 jam untuk menyusu atau apabila dia memerlukannya.

#2. Minggu ke-2 – 6

  • Apabila bayi anda semakin besar, anda bolehlah mengurangkan kekerapan menyusu dalam sehari ke sekitar 8 hingga 12 kali. Sesetengah bayi masih perlu menyusu setiap 2 jam, jadi ikutlah naluri diri dan terus menyusu mengikut permintaan bayi anda. 

Berapa Lama Saya Perlu Menyusu Bayi Baru Lahir?

Anda masih perlu menyusu bayi baru lahir secara on demand. Ini juga bermaksud bayi anda akan menentukan berapa lama dia menyusu, selagi masih perlu.

Jika ibu menamatkan sesi penyusuan terlalu awal, bayi anda akan menangis jika dia belum puas minum lagi.

Biasanya seorang ibu akan menyusu bayi baru lahir selama 20-30 minit, namun ini masih bergantung kepada tahap kelaparan bayi anda. 

Tanda-Tanda Bayi Lapar

Anda boleh mengetahui bayi anda sedang lapar apabila dia buat beberapa perkara di bawah:

#1. Rooting

Iaitu apabila anda menyentuh pipi bayi anda, dan dia berpaling untuk mencari puting ibu

#2. Membuka dan menutup mulut

Bayi anda juga kelihatan membuka dan menutup mulut beberapa kali berulang-ulang. 

#3. Memukul dada atau lengan ibu berulang kali

Jangan pelik jika anak anda memukul dada atau lengan anda berkali-kali kerana ia mungkin tanda dia sedang lapar dan mahukan anda memberikannya susu. 

#4. Menarik pakaian ibu

Jika anak mula menarik pakaian anda, ketahuilah bahawa dia mungkin sedang lapar. 

#5. Menghisap tangan, jari kaki atau pakaian

Ada bayi yang dia lebih relaks jika lapara mahu menyusu. Dia akan cuba menghisap tangan, jari kaki atau pakaiannya. Jika ada kain di kelilingnya dia mungkin akan cuba hisap juga.

#6. Menangis

Ini memang langkah biasa yang bayi akan buat jika dia mahu menyusu. Memang bayi mengekspresikan perasaannya dengan menangis jika mahukan sesuatu apatah lagi jika dia lapar dan mahu menyusu. 

Disebabkan itu adalah lebih baik jangan tunggu terlalu lama sebelum menyusukan bayi baru lahir dan kalau boleh jangan tunggu hingga bayi menangis. Ini hanya akan menyebabkan ibu baru lebih stres ataupun ia akan menjadi lebih susah untuk menyusu kerana bayi mungkin akan meronta dan sebagainya. 

Teknik Lekapan Yang Betul

Memang ramai boleh menyusu badan, namun, belum tentu bayi anda melekap dengan betul pada payudara dan dia menghisap dengan betul. 

Jadi apakah tanda yang boleh anda lihat jika lekapan mulut bayi1 pada payudara dalam keadaan yang betul dan bayi dapat menghisap dengan betul? Lihat cara berikut:

  • Dagunya menyentuh payudara anda dan dia boleh bernafas melalui hidungnya
  • Mulutnya terbuka luas dan aerola anda masuk ke mulutnya (bukan hanya puting anda)
  • Apabila dia menghisap anda tidak sakit malah selesa
  • Dia bermula dengan menghisap pendek sebelum menghisap dengan lebih perlahan dan mendalam

Posisi Menyusu Badan Yang Selesa

Keselesaan itu bergantung kepada individu. Tidak semestinya jika orang lain selesa, anda juga selesa dengan posisi yang sama. Jadi adalah lebih baik anda cuba beberapa posisi dan pilihlah yang mana paling anda selesa.

Sesi menyusu boleh mengambil masa sehingga 40 minit jadi ibu perlu pilih tempat yang selesa untuk menyusu. Cari tempat yang tenang jika anda mudah terganggu dengan bunyi bising.

Jika anda rasa bosan ketika menyusu anak, anda boleh cuba menyusu di hadapan televisyen. Tapi hanya lakukan ini jika susu badan ibu sudah lancar malah ibu dan bayi tidak mudah terganggu dengan bunyi bising dari TV.

Ada yang memilih untuk membaca buku atau melayari internet semasa menyusu. Gunakan posisi menyusu bayi yang paling sesuai untuk mengelak sakit belakang dan tangan. Pastikan diri dan bayi dalam keadaan yang tenang sebelum mula menyusu.

Ini antara posisi menyusu2 yang biasa ibu-ibu di luar sana buat ketika menyusukan bayi mereka. 

#1. Posisi cradlehold

Ini adalah posisi menyusu bayi yang paling popular dan kita sering lihat ibu menggunakan posisi menyusu bayi ini sebaik saja anak bersalin.

Caranya senang saja, ibu cuma perlu mendukung bayi, dan memastikan hidung anak bertentangan dengan puting payudara.

Sokong bahagian belakang bayi, kemudian pusingkan badannya supaya dia berada dalam kedudukkan perut ke perut sebelum menyusu. Anda juga boleh menaikkan payudara dan meletakkan bantal di atas paha untuk mengelak dari menyandar ke depan kerana ini akan menyebabkan sakit punggung.

#2. Posisi Reverse Cradle Hold (Cross-Cradle)

Terbalik dari posisi cradle hold, posisi cross-cradle membolehkan ibu melihat mulut bayi apabila dia mula melekap pada payudara.

Posisi ini sesuai untuk bayi yang sukar untuk melekap pada payudara, bayi yang tidak ada lekapan yang baik dan senang terlepas puting payudara dan bayi yang kecil dan pramatang.

#3. Menyusu sambil baring

Satu lagi posisi menyusu bayi yang sangat popular dalam kalangan ibu menyusu ialah menyusu sambil baring. Ramai ibu berpendapat ini posisi yang paling selesa, terutamanya apabila menyusu pada waktu malam.

Cuma dalam keadaan posisi ini anda harus berhati-hati takut tertimpa bayi jika anda tertidur. 

#4. Posisi football hold

Letakkan beberapa bantal di bawah lengan dan pegang bayi di atas lengan sambil menyokong kepalanya. Bayi perlu dipegang berdekatan dengan badan seperti memegang sebiji bola sepak. Ibu boleh menghalakan mulut bayi ke puting susu.

Tips Berguna Untuk Ibu Tentang Cara Menyusu Bayi Baru Lahir

  1. Kosongkan payudara anda sepenuhnya sebelum bertukar kepada payudara yang lain.
  2. Menyusu dengan kerap atau untuk masa yang lama adalah normal.
  3. Pada mulanya najis bayi baru lahir berwarna hitam. Ia akan bertukar jadi coklat dan akhirnya berwarna kuning macam sos mustard.
  4. Menyusu dengan kerap pada waktu malam juga perkara biasa. Bayi anda akan tahan lebih lama tanpa menyusu. Ini biasanya berlaku apabila bayi sedang mengalami peningkatan pertumbuhan atau growth spurt.
  5. Apabila bayi anda sudah puas menyusu, dia akan melepaskan puting ibu ataupun kurang menghisap. Dia juga boleh tertidur selepas menyusu. Ibu boleh cuba menyusu dari payudara yang lain jika dia terbangun dan masih ingin menyusu.

Bagaimana Jika Kurang Susu Ibu?

Malangnya, ada juga ibu yang kekurangan susu. Jika bayi anda selalu menangis kelaparan walaupun selepas menyusu banyak kali, ada kemungkinan dia tidak cukup susu.

Di bawah adalah dua cara biasa untuk mengetahui jika bayi anda mendapat susu yang secukupnya atau tidak:

#1. Tidak naik berat badan

Jika berat badan bayi anda tidak bertambah, anda mungkin perlu mendapat nasihat doktor atau pakar laktasi.

#2. Lampin basah/kotor

Bayi anda sepatutnya menghasilkan lampin basah/kotor mengikut umur dia. Pada hari pertama dia sepatutnya menghasilkan sekurang-kurangnya satu lampin.

Anda juga boleh cuba pelbagai petua untuk banyakkan susu ibu bagaimanapun pastikan anda pilih cara paling sihat dan terbaik untuk anda. Apa yang penting adalah anda perlu tahu konsep demand and supply yang mana lebih kerap bayi anda menyusu, lebih banyaklah susu anda akan dihasilkan. 

Bagaimana Untuk Tahu Bayi Kenyang?

Sebaik sahaja bayi anda kenyang3 dia akan kelihatan santai, tenang dan mungkin sedang tidur. Biasanya tapak tangannya akan terbuka luas dan badan nampak dalam keadaan sangat tenang dan relaks. 

Namun boleh jadi anak anda akan mengalami sedu jika dia kenyang disebabkan pentingnya anda sendawakan bayi sebaik saja dia kenyang. 

Semoga bermanfaat.

  1. Karin Cadwell (November 2007). Latching-on and suckling of the healthy term neonate: breastfeeding assessment. pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/17984002/
  2. National Breastfeeding Helpline, UK (n.d). How to breastfeed. www.nhs.uk/start4life/baby/feeding-your-baby/breastfeeding/how-to-breastfeed/breastfeeding-positions/
  3. Verywell family (January 5, 2020). Ways to Tell If Your Baby is Getting Enough Breast Milk
    What You Need to Know About Breastfeeding. www.verywellfamily.com/is-my-baby-getting-enough-milk-while-breast-feeding-2752619

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:  Bayi Kebuluran Walau Sering Menyusu, Ibu Tak Sedar Susu Sebenarnya Tiada!

Baca juga:  5 panduan lengkap memudahkan ibu menyusu bayi baru lahir

Baca juga: Ramai Ibu Dilema Bila Kena Cerai Susu Dengan Anak, 7 Cara Ini Terbukti BERKESAN!

Penulis

Rosanna Chio