Kajian mendedahkan merkuri yang tinggi dalam diet ibu hamil boleh memberi kesan negatif kepada bayi anda walaupun ibu tidak menunjukkan simptom.
Ikan boleh menjadi makanan anti penuaan dan sumber protein yang amat baik, tetapi makan ikan yang salah dan tidak sesuai sering kali boleh meningkatkan paras merkuri dalam tubuh anda dan perlu anda tahu, merkuri adalah amat berbahaya terutamanya untuk wanita hamil.
Kewujudan merkuri pada wanita hamil bukan sahaja akan membahayakan dirinya sahaja malah untuk si anak juga kerana bayi sangat sensitif terhadap merkuri. Justeru itu, meskipun ikan diketahui boleh menjadi sumber protein terbaik di saat hamil, terdapat beberapa jenis ikan yang perlu dielakkan bagi memastikan anda tidak terdedah kepada tahap merkuri yang tinggi.
Untuk wanita hamil, jika anda kerap makan makan ikan yang tinggi merkuri, bahan merbahaya tersebut boleh terkumpul dalam aliran darah anda dari masa ke semasa. Terlalu banyak merkuri dalam aliran darah anda boleh merosakkan otak dan sistem saraf bayi anda yang sedang berkembang. Jadi, jom ketahui beberapa jenis ikan tinggi merkuri supaya anda boleh elakkan sepanjang kehamilan.
Isi Kandungan
Merkuri Adalah Merbahaya Untuk Wanita Hamil
Pertama sekali, anda mungkin ingin tahu apakah maksud merkuri. Merkuri adalah unsur semulajadi yang terdapat dalam udara, air dan makanan. Kebiasaannya, manusia terdedah kepada merkuri melalui makanan, contohnya ikan.
Ikan mengambil merkuri dari sungai dan lautan semasa mereka makan. Merkuri ini adalah dalam bentuk metilmerkuri yang mana ia lebih toksik. Ia mampu mengikat protein tisu seseorang seperti otot. Pemprosesan makanan, penyediaan makan serta teknik memasak tidak akan mengurangkan jumlah merkuri dalam ikan dengan begitu ketara.
Sebenarnya, semua ikan mengandungi merkuri. Bagi kebanyakan orang, jumlah kecil merkuri dalam ikan tidak menimbulkan masalah kesihatan. Sesetengah ikan, bagaimanapun, mengandungi jumlah merkuri yang tinggi cukup untuk merosakkan janin atau bayi yang baru lahir.
Itulah sebabnya mengapa ibu mengandung dan menyusu mesti berhati-hati dengan jumlah dan jenis ikan yang mereka makan. Kanak-kanak juga harus mengelakkan makan ikan yang tinggi merkuri.
Menurut FDA, wanita hamil dan kanak-kanak kecil (di bawah umur 6 tahun) tidak boleh makan lebih daripada dua hidangan ikan setiap minggu dan hanya makan ikan yang rendah tahap merkuri.
Bahaya Merkuri Dalam Makanan Laut
Anda biasa dengar kan apabila sedang hamil, pengambilan diet yang seimbang acap kali diingatkan dan perlu diamalkan oleh bakal ibu. Ini sangat penting bagi kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.
Meskipun makan makanan laut mempunyai banyak khasiatnya yang tersendiri, namun terdapat beberapa jenis makanan laut yang tidak disarankan oleh pakar nutrisi untuk diambil oleh ibu hamil kerana berupaya menjejaskan kesihatan ibu dan bayi.
Janin biasanya sensitif terhadap kesan merkuri semasa bulan ketiga dan keempat di dalam kandungan. Merkuri ini akan memberi kesan kepada otak dan sistem saraf mereka dan tanpa disedari mungkin sehingga perkembangannya selepas lahir termasuklah lambat berjalan mahupun bercakap.
Jadi, ketika sedang hamil, anda digalakkan untuk mengambil makanan laut yang rendah kalori.
Ikan Tinggi Merkuri
Tahap merkuri yang banyak juga berbahaya untuk kesihatan orang dewasa. Tahap merkuri yang tinggi boleh menyebabkan kerosakan kekal pada buah pinggang dan otak.
Merkuri secara semulajadi boleh dihapuskan dari badan anda, tetapi ia boleh mengambil masa beberapa bulan untuk melaluinya. Disebabkan itu, wanita yang merancang untuk hamil mungkin perlu mengelakkan ikan yang tinggi merkuri untuk berjaya hamil.
Ikan besar mempunyai lebih banyak merkuri kerana ia biasanya hidup lebih lama dalam laut. Mereka mempunyai lebih banyak masa untuk membina merkuri yang lebih tinggi di dalam badan mereka.
Terdapat banyak jenis jenis ikan laut Malaysia. Namun, antara ikan yang mengandungi tinggi merkuri adalah seperti:
1. Jerung
2. Ikan todak
3. Jenahak
4. Mackerel
Kalau tak pasti ikan yang anda ingin makan ada merkuri atau tidak, pilih ikan yang kecil. Ikan kecil biasanya ikan yang masih muda jadi belum lama terdedah pada merkuri. Ikan kecil juga bukan predator yang makan ikan-ikan lain.
Jenis Makanan Laut Tinggi Merkuri
Ketika sedang hamil, anda juga perlu tahu apakah seafood tinggi merkuri yang perlu anda elak. Antaranya adalah:
- Atlantic cod
- Ikan hiu
- Marlin
- Tilefish
- Tuna bigeye dan ahi
Seafood atau makanan laut yang tinggi dengan merkuri sangat berbahaya lebih-lebih lagi jika diambil secara berlebihan. Ia boleh memberi kesan pada jangka masa panjang nanti. Jadi sebaiknya, anda bolehlah pilih makanan laut yang rendah merkuri seperti:
- ikan salmon
- ikan bilis
- ikan sardin
- Pacific mackerel
- udang
- ikan kod
- tuna dalam tin
- ikan talapia
Risiko Makan Ikan Tinggi Merkuri Ketika Hamil
Wahai ibu hamil, anda kena ingat segala apa yang anda makan, semuanya akan mempengaruhi perkembangan bayi anda. Jadi, berhati-hatilah sentiasa termasuklah ketika memilih ikan untuk dimakan.
Jika Sudah Termakan, Minum Jus Daun Ketumbar
Menurut petua yang dikongsikan mingguan wanita, jika ibu hamil yang termakan ikan yang mempunyai tahap merkuri yang tinggi, mereka boleh cuba minum jus daun ketumbar.
Coriander/ cilantro atau daun ketumbar dikatakan mampu menghalang badan dari diserap oleh merkuri. Kajian dari Dr Omura mengatakan bila pesakitnya makan Vietnamese soup yang mengandungi cilantro, banyak mercury keluar daripada air kencingnya (Bila sesuatu bahan heavy metal seperti mercury ni keluar dari badan, ia akan disingkirkan melalui najis).
Ia bukan saja buat yang termakan ikan tinggi merkuri, malah jika kita risau terdedah kepada merkuri dari bahan semulajadi dan kosmetik, buatlah jus daun ketumbar dan minum selama 10 hari. Ia boleh mengurangkan paras merkuri dalam tubuh. Cara membuatnya ambil segenggam daun ketumbar dan kisar untuk mendapatkan jusnya.
Menurut, Pengasas Toddible, Amalina Mohd Daud ikan mendapat merkuri melalui mendapan merkuri di dasar lautan. Jadi mercury deposited dalam badan ikan melalui dua cara iaitu pernafasan dan pemakanan. Pernafasan melalui insang. Pemakanan ni apabila ikan besar memakan ikan kecil.
Malangnya, merkuri yang deposited dalam ikan ni adalah sejenis organic mercury – methylmercury. Maksudnya, organic mercury tidak dapat disingkirkan dengan cara membuang kulit ikan, membuang organ dalaman ikan. Sebab logam berat ini terikat kuat bersama daging-daging dalam ikan.
Walaupun ia boleh dinyahkan dari tubuh, namun, sebaik-baiknya kita haruslah elakkan makan. Ketika mengandung, pelbagai perkara harus diambil perhatian dan tidak boleh dipandang remeh kerana ia bukan hanya melibatkan nyawa ibu tetapi nyawa bayi dalam kandungan juga.
Apa yang ibu makan akan terkesan pada bayi juga, jadi berhati-hatilah dalam pemilihan makanan anda ya ibu. Perlu lebih peka dan tahu mana yang baik dan tidak baik untuk ibu hamil.
Sumber
Mayo Clinic (Dec 8, 2021). Pregnancy and Fish: What’s Safe to Eat? www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/pregnancy-week-by-week/in-depth/pregnancy-and-fish/art-20044185
Better Health Channel (n.d). Mercury in fish. www.betterhealth.vic.gov.au/health/healthyliving/mercury-in-fish
American Pregnancy Association (n.d). Mercury Levels in Fish. americanpregnancy.org/healthy-pregnancy/is-it-safe/mercury-levels-in-fish/
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.