Nasi impit atau nasi kapit merupakan nasi yang ditekan atau dilenyek menjadi bentuk ketulan bes sebelum dipotong kepada bentuk segi empat.
Selalunya menjelang musim perayaan, kebanyakan orang mencari-cari nasi impit segera. Mudah sangat, tinggal basuh dan rebus sahaja. Tetapi, ada masanya bila dah terlebih rajin, sebenarnya lagi seronok rasanya kalau buat sendiri nasi impit di rumah. Lebih-lebih lagi bahannya cukup mudah untuk disediakan.
Walau bagaimanapun, kalau ia dibiarkan di luar mesti sekejap je dah basi, berair dan terasa lain. Kenapa agaknya ya?
Kali ini kami kongsikan beberapa tips supaya nasi impit yang dimasak kekal sedap dan tahan lebih lama berserta resepi ringkas menggunakan dua kaedah dengan cara lama dan menggunakan periuk tekanan tinggi.
Isi Kandungan
Tips supaya nasi impit tahan lebih lama
1. Basuh beras sehingga bersih
Beras perlu dibasuh banyak kali sehingga betul-betul bersih supaya nasi tidak mudah basi. Jika anda menggunakan nasi impit instant, basuh beras 4-5 kali sehingga air basuhan kelihatan jernih.
2. Tambah garam semasa merebus
Cara ini paling mudah untuk mengelakkan nasi jadi cepat basi. Tambahkan sedikit sahaja garam ke dalam air rebusan.
3. Letakkan asam gelugur atau limau kasturi
Anda boleh tambahkan 2-3 keping asam gelugur atau asam keping semasa merebus. Atau, gantikan dengan hirisan limau kasturi.
4. Rebus dalam tempoh yang lama
Sama seperti memasak rendang, pastikan anda merebus nasi kapit dalam tempoh yang lama supaya ia dimasak elok dan tidak keras.
5. Toskan hingga kering
Setelah siap dimasak, angkat dan toskan sehingga air betul-betul kering. Lebihan air akan membuatkan nasi impit berair dan mudah rosak. Jadi, pastikan anda biarkan sehingga sejuk atau pada suhu bilik sebelum memotongnya.
6. Potong bila perlu
Kalau nak makan baru potong. Elakkan memotong terlalu banyak sehingga tidak termakan. Ia akan menyebabkan lebihan nasi dipotong mudah berair dan cepat basi.
7. Simpan dalam sejuk beku
Untuk memastikan nasi kapit kekal lama dan tahan berhari-hari, simpan dalam bekas kedap udara sebelum diletakkan dalam ruangan sejuk beku. Senang, kan?
Cara membuat nasi impit tak keras dan tak lembik
Berikut merupakan cara-cara membuat nasi impit menggunakan cara lama.
Bahan-bahan:
- 2 cawan beras biasa
- 10 cawan air
- 2 sudu teh garam
- Daun pandan
Cara penyediaan:
- Basuh beras dan masukkan air, garam dan daun pandan ke dalam periuk untuk dimasak.
- Setelah nasi mula kering, kacau sentiasa sambil dilenyek supaya nasi hancur.
- Guna api perlahan dan bila nasi kelihatan hampir kering, terus kacau lagi.
- Kacau nasi setiap 10 minit sehinggalah nasi betul-betul kering. Masak nasi impit cara ni kena dikacau banyak kali supaya nasi impit yang terhasil akan menjadi cantik dan lembut.
- Setelah siap, padamkan api.
- Teruskan melenyek nasi menggunakan sudip atau belakang botol yang bersih sehingga nasi betul-betul hancur dan lembut. Lakukan berkali-kali.
- Masukkan nasi ke dalam bekas atau loyang dan ratakan. Ambil sehelai plastik bersih dan sapukan sedikit minyak.
- Tekan-tekan nasi supaya mampat dengan menggunakan plastik yang disapu minyak tadi.
- Biarkan nasi impit betul-betul sejuk lebih kurang 4-5 jam sebelum dipotong. Lebih bagus jika dibiarkan semalaman.
Kalau nak nasi impit betul-betul mampat, tindihkan nasi impit dengan benda berat seperti lesung batu.
Untuk lebih mudah, gunakan periuk tekanan tinggi untuk menjimatkan masa memasak dalam masa yang sama boleh mendapatkan hasil yang sama seperti cara di atas.
Bahan-bahan:
- 2 cawan beras siam
- 9 cawan air
- 2 sudu minyak masak
- Daun pandan
- Sedikit garam
Jika menggunakan beras tempatan. Nisbahnya adalah 1:3 daripada sukatan asal
Cara penyediaan:
- Basuh beras dan masukkan air, minyak masak, garam dan daun pandan ke dalam periuk Noxxa.
- Tekan mod HP dan pilih tetapan masa selama 30 minit.
- Apabila siap dimasak, masukkan ke dalam bekas kedap udara.
- Tekan-tekan nasi sehingga menjadi mampat elok.
Selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Resepi Nasi Beriani Mamak Mudah & Sedap, Menggunakan Sedikit Bahan Sahaja!
Baca juga: Tak Perlu Tunggu Kenduri Nak Makan Nasi Minyak, Cuba Resepi Nasi Minyak Yang Mudah Ini!
Baca juga: Resepi Nasi Lemak Yang Lengkap Dengan Sambal & Ikan Bilis Rangup, Sedap Macam Beli