Nasi minyak adalah sejenis makanan yang sinonim dengan kenduri dan sambutan. Ia enak dimakan bersama ayam masak merah, ayam masak kurma, rendang, daging masak hitam dan acar. Walaupun ia bukan sesuatu yang selalu dihidang pada hari-hari biasa, dengan resepi nasi minyak yang mudah, anda boleh makan seperti di kenduri pada bila-bila masa.
Ramai yang ingat nasi minyak adalah hidangan yang susah untuk dimasak hanya orqang-orang tua sahaja yang pandai namun sebenarnya nak masak nasi minyak tidaklah sesusah mana.
Bahan-bahan yang diperlukan semuanya mudah didapati di pasar raya terdekat anda seperti kayu manis, bunga lawang, cengkih, buah pelaga dan kacang gajus. Beras yang digunakan untuk resepi ini ialah beras basmathi.
Apa kata cuba buat sendiri menu resepi nasi minyak di rumah, kami kongsikan resepi mudah ya?
Bahan bahan :
3 cawan beras basmathi
3 cawan air
1 cawan susu cair
½ cawan kismis
2 helai daun pandan – siat dan simpul
1 batang serai – titik
2 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar minyak jagung
½ sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk secukup rasa
Pewarna kuning telur
Bahan hiris :
1 inci halia – hiris kasar
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
Rempah tumis :
2 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum cengkih
3 biji pelaga
Cara memasak :
1.Masukkan minyak jagung dan minyak sapi ke dalam periuk. Cairkan.
2. Masukkan bawang merah dan bawang putih yang telah dihiris.
3. Masukkan juga rempah 4 sekawan.
4. Jangan dilupa, hirisan halia dan serai yang dititik. Masukkan sekali ke dalam periuk dan tumis hingga wangi.
5. Masukkan air. Kacau rata.
6. Kemudian masukkan susu cair. Sebatikan. Masukkan juga daun pandan.
7. Tambahkan garam dan serbuk perasa dengan secukupnya.
8. Basuh beras basmathi hingga bersih dan toskan airnya.
9. Masukkan semua bahan tumisan ke dalam periuk berisi beras. Masaklah nasi seperti biasa.
10. Bila nasi sudah masak dan masih panas, titiskan pewarna. Ia bertujuan supaya warna nasi jadi lebih cantik. Masukkan juga kismis.
Nasi minyak enak dinikmati bersama lauk seperti
ayam masak merah, ayam masak kurma, rendang, daging masak hitam dan acar. Jangan lupa untuk mencuba resepi nasi minyak ini ya?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!