Untuk menjayakan mana-mana hubungan, komunikasi berkesan antara pasangan memainkan peranan utama. Tanpa komunikasi, kedua-dua pihak akan mudah salah faham dan bermasam muka. Bahkan tanpa komunikasi, kemesraan hubungan juga semakin lama akan menjadi hambar.
Lelaki dan wanita tidak serupa dalam berinteraksi dan reaksi terhadap sesuatu sehinggakan mereka boleh dianggap berasal daripada dua planet yang berbeza. Dr John Gray dalam bukunya, Men Are From Mars, Women Are From Venus cuba mengetengahkan perbezaan antara lelaki dan wanita dari sudut cara berfikir dan bagaimana keduanya menyampaikan sesuatu dengan cara yang juga berbeza.
Menurutnya, umum berpendapat, jika pasangan menyayangi kita, dia akan bertindak dan bersikap sebagaimana kita menyayanginya. Pada hakikatnya, hanya dengan menerima dan menghormati perbezaan antara keduanya kasih sayang dapat disemai.
Perbezaan antara lelaki dan wanita dalam komunikasi berkesan
Yang dihargai suami
• Menghargai kuasa, kebolehan, kecekapan dan pencapaian.
• Merasa perlu untuk membuktikan kebolehan diri
• Nilai diri mereka diterjemah melalui kebolehan mencapai keputusan.
• Kepuasan diperoleh melalui kejayaan dan pencapaian.
Yang dihargai isteri
• Menghargai kasih sayang, komunikasi, kecantikan dan perhubungan.
• Merasa perlu memberi sokongan, bantuan dan bimbingan.
• Nilai diri mereka diterjemah melalui perasaan dan kualiti perhubungan
• Kepuasan diperoleh melalui perkongsian dan berhubung.
Kesan nilai kepada sikap suami
• Jarang bercakap tentang masalahnya, kecuali jika dia memerlukan bantuan.
• Merasa dihargai jika diminta bantuan. Secara automatik lelaki akan mendengar seketika dan memberikan solusi serta pandangannya.
• Jika cuba untuk diperbaiki sesuatu padanya, merasa diri tidak berguna.
Kesan nilai kepada sikap isteri
• Mencari tempat untuk meluahkan masalah untuk mendapatkan sokongan emosi
• Merasa dihargai jika luahannya didengari dan diberikan sokongan secara lisan.
• Jika diberikan penyelesaian ketika meluahkan, merasa perasaannya dinafikan dan tidak diendahkan.
Bahasa yang berbeza
Walaupun menggunakan bahasa yang sama, namun kata-kata seringkali disalaherti oleh kedua-dua belah pihak.
Cabaran memahami bahasa isteri
Wanita menggunakan bahasa puitis, superlatif, kiasan serta umum. Suami sering mengambil bahasa ini secara literal menyebabkan mereka tersalah tafsir dan memberikan reaksi yang salah. Akibatnya, isteri merasa dirinya tidak didengari.
Memahami bahasa isteri membolehkan suami tidak merasa dipersalahkan dan dikritik. Bahasa dramatik seperti ini hanyalah cara isteri meluahkan perasaan sepenuhnya dan tidak sepatutnya diambil secara literal.
Cabaran memahami bahasa suami
Sebelum menjawab, lelaki akan memproses apa yang didengar dan menilai jawapan yang paling betul. Proses ini boleh mengambil masa beberapa minit atau berjam-jam. Dan jika tidak mempunyai maklumat yang cukup, dia tidak akan memberi jawapan langsung. Ini mengelirukan bagi isteri.
Apabila suami berdiam diri, bagi isteri mereka mendiamkan diri apabila dirasakan apa yang bakal dikatakan akan mengguris perasaan, tidak mahu bercakap dengan orang yang tidak dipercayai dan tidak mahu ada kaitan lagi dengannya.
Mengapa komunikasi berkesan dan sihat penting dalam satu hubungan?
Dr Angela R. Wiley, Pakar Kehidupan Berkeluarga dari University of Illinois, USA menyifatkan kepentingan komunikasi sebagai alat untuk berhubung secara emosi antara satu sama lain. Manakala hubungan emosi pula menentukan kualiti dalam sebuah perhubungan. Beliau juga berpendapat komunikasi yang baik dan skil menyelesai masalah adalah kritikal bagi menjayakan hubungan, namun perhubungan yang sihat memerlukan lebih daripada itu.
Beberapa panduan praktikal dalam komunikasi berkesan
Ketika meminta bantuan suami ada 5 perkara perlu diperhatikan iaitu:
1. Masa yang tepat – elakkan meminta bantuan ketika dia hendak melakukannya.
2. Tidak mendesak – jika and mendesak dia merasakan seperti anda tidak menghargai apa yang telah diberikannya.
3. Ringkaskan permintaan – tidak perlu jelaskan mengapa kerana mereka merasakan seolah-olah anda tidak percaya mereka akan membantu.
4. Secara langsung – jika meminta bantuan secara tidak langsung, suami mungkin merasa diri dipergunakan atau tidak dihargai
5. Gunakan perkataan yang betul.
Manakala ketika berkomunikasi bersama pasangan, ada 5 perkara yang perlu dilakukan:
1. Kata-kata yang jelas – secara lisan atau bukan, langsung atau tidak, emosi yang terlibat harus jelas bagi memastikan reaksi positif.
2. Nada lembut – berkomunikasi secara lembut atau dengan jenaka tanpa sifat agresif atau menghina dapat mengekalkan kualiti serta jangkamasa hubungan.
3. Rasa selamat – cara berinteraksi menyumbang kepada emosi sesebuah hubungan. Hubungan yang sihat memerlukan pasangan yang saling mengambil berat.
4. Interaksi positif – individu positif mengambil berat tentang bagaimana hari yang dilalui pasangan dan bagaimana perasaan mereka.
5. Segera jelaskan – jelaskan kekeliruan atau prasangka demi mengelakkan salah faham dengan segera.
Kata–kata yang ingin didengari
Tidak kira sama ada anda suami mahupun isteri, tips paling penting dalam komunikasi berkesan adalah menyampaikan kata-kata yang ingin didengari oleh pasangan. Kadang kala apa yang mereka minta adalah telinga untuk mendengar luahan hati. Walaupun terdetik dalam hati anda untuk membantah kata-kata mereka (jika mereka sibuk mengadu tentang kelebihan orang lain), anda harus biarkan sahaja.
Ini kerana semua orang ingin meluahkan isi hati tanpa rasa diadili atau dicaci. Ini antara kata-kata yang anda perlu ambil perhatian:
1. Menyampaikan sokongan terhadap isteri ketika memerlukan masa bersendirian, akhiri dengan – “Saya akan datang balik.”
2. Berkomunikasi tanpa menyalahkan – suami terasa dipersalahkan bila isteri berkongsi masalah, katakan – “Terima kasih sebab mendengar. Kalau abang rasa saya cakap macam menyalahkan abang, saya tak bermaksud begitu. Bukan salah abang.”
3. Mendengar tanpa menyalahkan – jika suami mendengar masalah yang dikongsi isteri dan terasa seperti dipersalahkan, minta penjelasan – “Abang rasa ayang macam menyalahkan abang je. Betul ke?”
Semoga berjaya.
Rujukan:
Men Are From Mars, Women Are From Venus
Dr John Gray, 1998, Thorsons: London.
Improving communication skills between husband and wife
Nyalakan Asap Anda
Suami Isteri: Belajar Bercakap
Connecting as a couple: Communication skills for a healthy relationship
Communication skills for healthy relationships
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Baik Buruk Suami Hanya Isteri Yang Tahu, Bersyukurlah Jika Dia Masih Menjaga Aib Anda