Sebaik disahkan mengandung, pastinya anda dan suami berasa gembira. Namun tidak semua kehamilan berjalan lancar kerana adanya risiko keguguran di mana-mana fasa kehamilan. Jika ini berlaku, ibu sememangnya perlu menjalani tempoh pantang keguguran dengan baik.
Kehilangan ini pastinya amat menyedihkan lebih-lebih lagi jika sudah bertahun anda menantikan kehadiran cahaya mata.
Isi Kandungan
Sebab kenapa ibu perlu pantang keguguran
Keguguran bermaksud kehilangan atau kematian janin sebelum usianya genap 28 minggu di dalam rahim ibu. Ia biasanya dikaitkan dengan masalah janin tak kuat dan rahim tak kuat.
Mengikut ilmu perbidanan Melayu, keguguran ialah situasi yang dianggap lebih serius daripada kelahiran. Ia umpama buah yang gugur sebelum masak dan dipercayai boleh memberi kesan kurang menyenangkan pada masa akan datang.
Justeru pantang keguguran adalah wajib dan perlu diikuti seperti ibu pantang bersalin kerana:
- Mengelakkan angin gugur. Angin ini akan menyebabkan badan bisa-bisa, bisa ari-ari, sakit pinggang, sakit lutut dan alahan makanan.
- Angin meroyan – Angin yang bahaya menyebabkan badan seseorang demam (bentan) sehingga kancing gigi. Angin meroyan berlaku kerana terdapat cebisan fetus yang masih belum di keluarkan dan dibersihkan dengan sempurna. Bila cebisan fetus ini tidak dikeluarkan dengan sempurna, ia akan menjadi toksin dan menyebabkan jangkitan kuman di dalam rahim.
Tempoh sepatutnya ibu pantang keguguran
Mengikut nasihat bidan-bidan dan petua orang lama, tempoh pantang yang panjang adalah lebih bagus. Justeru mereka mengesyorkan cara berpantang keguguran adalah seperti orang bersalin, iaitu 44 hari.
Sebenarnya tempoh berpantang selepas keguguran adalah bergantung kepada tahap usia kandungan tersebut.
- Kandungan 2 Minggu hingga 12 minggu – tempoh berpantang 30 hari
- Kandungan 4 bulan hingga 5 bulan – tempoh berpantang adalah 40 hari
- Kandungan lebih dari 6 bulan – tempoh berpantang adalah 44 hari
Namun bagi ibu yang bekerja, pastinya agak mustahil untuk pantang keguguran seperti mana orang bersalin memandangkan cuti yang diberikan oleh pihak hospital hanyalah 2 minggu.
Perkara yang perlu ibu buat ketika pantang keguguran
Kaedahnya lebih kurang sama dengan pantang bersalin, tetapi ibu yang keguguran perlu menjaga diri semasa tempoh berpantang ini dengan
- Memakai pakaian tebal untuk mengelakkan angin masuk
- Ikat rambut ketat-ketat
- Bertungku seluruh badan setiap hari terutamanya selepas mandi
- Urut seluruh badan dengan minyak herba terutamanya rahim untuk mengeluarkan angin yang tersekat.
- Mandi dengan mandian bunga-bungaan dan herba yang membantu meningkatkan aura dan seri muka ibu
- Elakkan duduk bawah kipas dan penghawa dingin
- Jika selalu rasa sakit kepala dan pening, sila pakai pilis.
- Elakkan bersama suami selepas 2 minggu dari tarikh melakukan D& C
Makanan dilarang semasa pantang keguguran
- Makanan dilarang semasa pantang keguguran adalah jenis berangin, seperti ubi keladi, rebung, sayur keladi, pucuk paku, pucuk ubi, serta terung
- Makanan yang sejuk serta menjalar seperti labu, kangkung, kacang panjang, timun
- Buah-buahan yang sejuk seperti ciku, buah betik, langsat, duku, macang, kuini, nangka, cempedak, pisang masak hijau, durian belanda dan tembikai madu
- Makanan dilarang semasa pantang keguguran adalah ikan yang berbisa seperti ikan berduri, terubuk, bawal hitam, tudung periuk, cencaru, tamban, sardin, pari
- Makanan pantang keguguran iaitu udang, sotong, kerang, belacan, budu, cencaluk dan ikan masin
Kesan jika tidak pantang selepas keguguran
Ramai menyarankan untuk turut berpantang selepas keguguran. Namun, sesetengah wanita moden pada hari ini mengendahkannya.
Anda mungkin tidak nampak kesannya sekarang tetapi ia akan jelas terlihat setelah melalui beberapa proses kehamilan dan peningkatan usia.
-
Kesan terhadap tubuh badan
Kebanyakan wanita yang tidak ikut berpantang ini akan mengalami beberapa masalah pada badan kelak seperti lenguh badan, sakit pinggang dan sebagainya. Ia juga mungkin akan mengganggu kehamilan akan datang seperti masalah pada uri.
-
Masalah demam panas dan kancing gigi
Keguguran tanpa penjagaan yang rapi juga menyumbang kepada masalah angin merian yang berpunca daripada keracunan darah. Apabila bahagian rahim tidak dibersihkan dengan rapi, toksin akan meresapi ke seluruh sistem badan.
Sering kali terjadi ibu mengalami demam panas sehingga terkancing gigi apabila mereka tidak berpantang makanan yang dilarang selepas berlakunya keguguran.
Kesimpulannya, ibu yang pernah mengalami keguguran tidak sepatutnya menyalahkan diri sendiri apabila ditimpa ujian kehilangan anak dalam kandungan.
Ia mungkin akan membawa kepada ketidakstabilan emosi yang turut menyukarkan proses untuk hamil sekali lagi.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Janin Keluar Atas Tapak Tangan & Masih Bergerak, Rafidah Ibrahim Keguguran Kali Kedua
Baca juga: Wajib Mandi Wiladah Selepas Bersalin Czer Atau Keguguran, Ramai Ibu Tidak Tahu, Ini Caranya!
Baca juga: Terjatuh Dalam Bilik Air, Ibu Hamil Kembar Tiga Pasrah Alami Keguguran Selepas Seminggu