Sebaik sahaja ibu selamat bersalin, biasanya ahli keluarga dan sahabat terdekat akan teruja untuk menziarahi anda dan bayi. Sebagai tetamu, tahukah anda ada beberapa pantang larang bayi baru lahir yang tidak patut dilakukan kerana ia boleh membahayakannya?
Tidak dinafikan kecomelan dan bau bayi baru lahir boleh membuatkan ahli keluarga serta tetamu yang lain berasa geram. Justeru ramai ingin dukung dan menciumnya berkali-kali meskipun baru berusia beberapa hari.
Pantang larang bayi baru lahir yang boleh mendatangkan bahaya
Menurut perkongsian oleh seorang doktor melalui platform Twitter, Dr Redza Zainol, beliau telah menerima seorang pesakit yang baru berusia sebulan.
”Panasnya badan bayi ini. Dia sudah dua hari mengalami demam. Sedikit lemah, tapi masih ingin menyusu.”
Ibunya kata dia baru tahu ada saudara mara yang datang melawat bayi ini disahkan positif jangkitan Covid-19.
Selepas melakukan ujian saringan, rupanya bayi tersebut juga sudah terkena jangkitan Covid-19. Dalam hal ini, ada beberapa perkara yang tidak perlu buat ketika melawat bayi.
#1. Bermain cak-cak
Kalau nampak bayi yang baru lahir, anda tidak perlu ajak dan main cak-cak dengan bayi itu. Dia belum pandai lagi nak main cak-cak sebab matanya baru boleh tengok bayang-bayang sahaja.
#2. Jangan pegang dan cium bayi
Ketika melawat bayi baru lahir, elakkan pegang dan cium bayi berkenaan tanpa izin ibu dan ayahnya. Sistem ketahanan tubuh bayi belum matang, jadi mudah dijangkiti kuman.
Sebenarnya banyak kuman yang ada pada orang dewasa, gejala tidak teruk. Tetapi jika terkena pada bayi boleh menyebabkan nyawa terancam.
#3. Jangan tegur mata bayi juling
Kebanyakan bayi dengan masalah begini, kedudukan matanya akan jadi normal semula selepas usia 4 bulan. Jika masih juling selepas umur 4 bulan, ibu ayah boleh membawanya berjumpa doktor mata.
#4. Perokok ada risiko bawa third hand smoke pada bayi
Maksudnya partikel asap rokok pada badan perokok itu boleh melekat pada kain bedung dan baju bayi.
Bayi yang terdedah pada third hand smoke amat berisiko untuk mengalami jangkitan paru-paru, jangkitan telinga dan kematian secara tiba-tiba ketika tidur (SIDS).
Jadi perokok sila jauhkan diri anda daripada bayi.
#5. Kejutkan bayi yang sedang tidur
Ini antara perkara yang selalu pelawat buat. Mak tu dah berjam-jam susukan anak sebab nak bagi anak dia tidur.
Kita pula datang terus kejutkan bayi. Benda macam ni boleh buat mak naik gila sampai jadi Postpartum Depression.
”Bila pergi ke rumah orang, sentiasa ingat ya apa yang saya kongsikan ini. Saya tahu kadang-kadang kita tidak sengaja sebab teruja apabila nampak bayi.” pesan Dr Redza.
Pantang larang bayi baru lahir yang perlu para pelawat tahu
Selain beberapa perkara yang dinyatakan di atas, anda juga perlu elak dari melakukan perbuatan yang boleh menganggu bayi dan ibu dalam pantang ketika melawat mereka.
Antaranya ialah:
#6. Membawa anak yang masih kecil ketika ziarah
Ibu yang baru sahaja melahirkan anak biasanya akan mengalami kepenatan untuk beberapa hari. Hal ini kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga dan berjaga malam.
Kehadiran anak-anak kecil yang aktif dan suka berlari-lari boleh menganggu ketenteraman ibu serta bayi baru lahir. Justeru adalah lebih baik anda meminta bantuan suami untuk menjaga anak sementara waktu ketika ingin melawat ibu dalam pantang agar kehadiran anda disenangi oleh tuan rumah.
#7. Kurang sihat ketika datang melawat
Memandangkan kini semua berwaspada dengan penularan Covid-19, elakkan keluar rumah dan berjumpa orang lain sekiranya anda kurang sihat. Hal ini adalah kerana anda berisiko tinggi untuk menyebarkan penyakit kepada orang lain.
Terutamanya pada bayi baru lahir dan ibu dalam pantang. Jangan terlalu pentingkan diri sehingga boleh membahayakan orang lain.
Kredit foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Begini Rutin Penjagaan Bayi Baru Lahir Yang Betul, Barulah Si Manja Tidak Kerap Merengek!