Apabila berlakunya kematian suami, antara insan yang akan menjadi perhatian ramai adalah isteri si mati. Dalam beberapa bulan pertama, ada beberapa pantang larang iddah kematian suami yang perlu anda ikuti bagi mengelakkan fitnah dan menjaga maruah sebagai balu si mati.
Tidak dinafikan bahawa fasa-fasa awal kehilangan suami akan penuh dengan episod air mata. Sememangnya bukan mudah untuk meneruskan kehidupan dan menguruskan anak-anak tanpa adanya sokongan ketua keluarga.
Pantang Larang Iddah Kematian Suami Dalam Islam
Islam memandang serius situasi berat yang dihadapi isteri dengan menghadiahkan tempoh bertenang selama empat bulan 10 hari.
Ia merupakan tempoh ‘iddah isteri yang kematian suami serta perlu berkabung bagi menunjukkan rasa sedih dan hormat pada si mati yang dikenali sebagai tempoh ihdad.
Ihdad dalam bahasa Arab bermakna tegahan dan larangan. Hal ini kerana ihdad merupakan suatu aturan khas yang berkait rapat dengan wanita yang kematian suami. Ihdad menegahnya daripada banyak perkara yang dahulunya diharuskan baginya.
Menurut mazhab asy-Syafi’i, hukum berihdad diwajibkan kepada wanita yang kematian suami selama empat bulan 10 hari.
Berikut beberapa pantang larang iddah kematian suami yang telah ditetapkan dalam agama Islam:
1. Haram Menerima Pinangan Lelaki Ajnabi
2. Haram Berkahwin Dengan Lelaki Ajnabi
Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
3. Tidak Boleh Keluar Rumah Untuk Bermusafir, Kecuali Dalam Had Dan Batas Yang Diperlukan
Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.
Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawatdan sebagainya.
Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
4. Berpindah Atau Tinggal Di Rumah Lain Yang Bukan Menjadi Kebiasaannya Ketika Tempoh Perkahwinan
Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
5. Wajib Berkabung Semasa Tempoh Iddah
Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan.
6. Larangan Berhias
Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:
- Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang;
- Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata;
- Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian; dan
- Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.
7. Mengiringi Jenazah Dalam Ihdad
Terdapat banyak soalan daripada masyarakat berkaitan perempuan dalam ihdad mengiringi suaminya ke kubur. Secara umumnya larangan mengiringi jenazah ke kubur bukan hanya terhad kepada wanita dalam ihdad sahaja, malah larangan Rasulullah SAW umum kepada semua wanita termasuk wanita dalam ihdad.
Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh `iddah juga sebagai tempoh berkabung bagi menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu. Ia juga sebagai tanda menjaga hak suami dan tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya. Selain itu, berkabung juga sebagai lambang pengabdian diri terhadap perintah Allah SWT.
Situasi Yang Membolehkan Wanita Dalam Iddah Keluar Rumah
- Menuntut Ilmu Di Masjid
- Keluar Kerana Urusan Bekerja
- Ziarah Kematian Ahli Keluarga Terdekat
- Pergi Ke Pasar
- Pergi Ke Hospital
- Keluar Untuk Hilangkan Stres (Melakukan Aktiviti Di Taman Ditemani Anak-Anak)
Larangan Wanita Dalam Iddah Keluar Rumah Setelah Kematian Suami
Menurut Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, tegahan untuk wanita dalam ‘iddah kematian suami keluar daripada rumah sekiranya:
- tidak ada keperluan yang mendesak untuknya
- atau wanita tersebut boleh mendapatkan keperluannya dengan bantuan orang lain
- atau dia menerima nafkah daripada sesiapa yang sudi memberikan kepadanya.
Akan tetapi, sekiranya dia tidak mempunyai kesemua yang disebutkan di atas, dan keluar daripada rumah merupakan satu-satunya cara untuk mendapatkan hajat dan keperluannya, maka dibenarkan.
Bolehkah Wanita Dalam Iddah Ziarah Kubur Suami?
Melihat kepada persoalan utama yang diajukan pula, menziarahi kubur suami bukanlah suatu keperluan yang mendesak sehingga memerlukan wanita dalam ‘iddah kematian suami keluar daripada rumah secepat mungkin, maka tidak boleh untuk dia keluar dari rumah hanya untuk menziarahi kubur semata-mata. Sebaiknya, dia perlu tunggu sehingga tempoh ‘iddahnya tamat jika ingin menziarahi kubur suami tersebut.
Sekiranya memang ada keperluan untuk menziarahi kubur suami tersebut, tetapi boleh ditunda dahulu sehingga tamat ‘iddah, maka yang terlebih utama adalah menyempurnakan ‘iddah 4 bulan 10 hari.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tempoh Edah Kematian Suami Atau Bercerai Hidup, Ini Panduan Lengkap Buat Kaum Isteri
Baca juga: 9 Persediaan PENTING Isteri Wajib Buat Sebelum Pasangan Meninggal Dunia, No #1 Paling Mustahak!
Baca juga: Bantuan Ibu Tunggal 2024 : Senarai Bantuan & Panduan Memohon
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!