Bila kita bercakap tentang pejuang kemerdekaan, nama-nama yang terlintas dalam fikiran mestilah seperti Tok Janggut, Tunku Abdul Rahman dan Rentap. Tapi, bagaimana dengan tokoh kemerdekaan wanita?
Tak ada ke wanita yang berlawan untuk kemerdekaan negara?
Tentulah ada, tapi nama-nama mereka tak disebut se-gah nama-nama tokoh kemerdekaan lelaki. Kita perlu tahu yang wanita juga sama hebat berjuang untuk kemerdekaan negara ini.
Jom ketahui siapa pejuang kemerdekaan wanita dan kisah perjuangan mereka ini.
5 Tokoh Kemerdekaan Wanita di Malaysia
1. Khatijah Sidek
Pejuang Kemerdekaan Yang Ditakuti Oleh Pemimpin UMNO
Kredit gambar: Wanita UMNO Malaysia
Diberi gelaran Puteri Kesateria Bangsa, Khatijah Sidek yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia ini telah menyeberango Selat Melaka selepas Indonesia diusir oleh Belanda.
Tujuan beliau berhijrah ke Tanah Melayu adalah untuk memperjuangkan hak kaum ibu dan wanita di sini.
Kemasukan Khatijah dalam UMNO tak dipersetujui oleh ramai tapi beliau dipertahankan oleh Tunku Abdul Rahman. Pada tahun 1953, beliau menjadi pemimpin wanita UMNO yang pertama berani menyuarakan hak wanita secara terbuka.
Beliau menuntut supaya perwakilan ahli wanita UMNO ditambah dan tuntutannya membuahkan hasil apabila 10,000 wanita menyertai UMNO di bawah pimpinannya.
Khatijah juga pernah dipenjara pada tahun 1948 kerana dituduh terlibat dalam rancangan menjatuhkan kerajaan British di Singapura.
Kerana beliau lantang mengkritik pemimpin UMNO yang dianggap pengecut, ramai yang cuba menyingkirkannya dari UMNO sehingga dia dipecat dari UMNO pada tahun 1956.
Tapi, pada tahun 1971, beliau menerima tawaran untuk menyertai UMNO semula dan dilantik menjadi Naib Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO Cawangan.
Khatijah Sidek telah meninggal dunia pada tahun 1982.
2. Suriani Abdullah
Pejuang Kemerdekaan Yang Pernah Ditikam Askar Jepun
Kredit gambar: Parti Sosialis Malaysia
Suriani Abdullah, rakan baik kepada Pengasas Komunis Malaya, Chin Peng ini berasal dari Setiawan Perak.
Suriani atau nama sebenarnya Eng Ming Cheng telah menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1940. Perjuangannya tertumpu kepada kebajikan golongan buruh dan wanita.
Beliau diberi gelaran “Serikandi Anti-Jepun” kerana keberaniannya menentang Jepun pada tahun 1941-1945 dan kerajaan British pada tahun 1948-1957.
Kerana keberaniannya ini, beliau pernah ditangkap dan diseksa oleh Jepun semasa beliau berusia 21 tahun.
Suriani juga dianggap sebagai ibu oleh rakyat ketika itu kerana tak pernah penat untuk mendengar masalah dan keluhan mereka sambil terus memperjuangkan hak buruk dan wanita.
Suriani Abdullah meninggal dunia pada 5 tahun lepas 21 Mac 2013 di Thailand.
3. Shamsiah Fakeh
Pejuang Kemerdekaan Pasukan Gerila
Kredit gambar: Sifuzaidi
Ratu Rimba Malaya yang berasal dari Negeri Sembilan ini mempunyai sejarah keluarga yang menyayat hati.
Shamsiah Fakeh pernah berkahwin sebanyak lima kali. Suami pertama dan dua anaknya yang masih bayi meninggal dunia.
Salah seorang bekas suaminya telah menjadi tali barut askar Jepun. Tapi akhirnya beliau bertemu dengan Ibrahim Mohamad seorang ahli PKM yang menjadi suaminya hingga suaminya meninggal pada tahun 2006.
Shamsiah telah dilamar oleh UMNO dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), tapi beliau memilih untuk menyertai PKMM kerana menurut beliau UMNO hanyalah orang suruhan British.
Beliau kemudian memimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sayap wanita PKMM. Tapi kemudian, British telah mengharamkam parti berhaluan kiri PKMM, AWAS, API, GERAM dan banyak lagi.
Shamsiah kemudian berundur ke dalam hutan untuk menyertai suaminya berjuang mengangkat senjata.
Semasa dia di dalam hutan, ada yang mengatakan Shamsiah telah membunuh anaknya kerana melambatkan pergerakannya di dalam hutan.
Tapi perkara ini telah dinafikan oleh Shamsiah dalam memoir beliau. Beliau mengatakan yang beliau mahu menjaga anaknya tapi ketuanya telah meyakinkan beliau untuk menyerahkan anaknya kepada keluarga kaya.
Pada tahun 1952, beliau mendapat tahu yang bayinya telah dibunuh oleh tiga orang ahli PKMM yang sepatutnya membawa bayi tersebut ke keluarga angkat yang dijanjikan.
Walaupun ramai yang tak setuju dengan perjuangannya, Shamsiah mengatakan yang dia masuk ke hutan kerana semangat cintakan tanahair dan kemerdekaan serta kesetiaan pada perjuangannya.
Dia dan suami telah ditangkap dan dibuang negara. Mereka telah dihantar ke China dan dibuang parti.
4. Aishah Ghani
Pejuang Kemerdekaan Politik
Kredit gambar: Wanita UMNO Malaysia
Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang politik ketika dia menjadi wartawan Parti Komunis Malaya (PKM) dan seterusnya mengetuai Angkata Wanita Sedar (AWAS). Setahun selepas ini beliau telah menyertai parti lawan UMNO.
Selain dari menulis untuk Berita Harian dan New Strait Times, beliau merupakan wanita pertama dilantik menjadi Senator di Dewan Negara pada tahun 1962.
Beliau juga merupakan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO paling lama iaitu selama 15 tahun dan menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO selama 12 tahun.
Walaupun selepas pencen dalam dunia politik, perjuangannya terhadap wanita tetap diteruskan. Beliau merupakan orang terpenting dalam PERTIWI.
Aishah dan Shamsiah juga merupakan kawan rapat tapi kemudian mereka memilih untuk memilih haluan masing-masing.
Shamsiah memilih untuk mencapai kemerdekaan melalui senjata dan Aishah mahu menuntut kemerdekaan dengan cara diplomasi. Menurut Malaysian Digest, Shamsiah Fakeh berkata:
“Aishah dengan aku bagai adik-beradik. Dia adalah tokoh perjuangan kemerdekaan dan aku bersyukur dengan kejayaannya.
Cakap Aishah mungkin betul separuh, tapi kalau masa itu aku pintar dalam memilih untuk berjuang di mana hidup aku akan senang-lenang dan tiada risiko, maka aku bukanlah Shamsiah.”
5. Tun Fatimah Hashim
Pejuang Kemerdekaan Hak Wanita
Beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Pergerakan Kaum Ibu UMNO Johor dan Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita dari tahun 1951 hingga 1953. Kejayaannya dalam memegang kedua-dua jawatan itu menjadikan beliau wanita pertama yang menjadi Ketua Perhubungan UMNO.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama yang memegang jawatan Menteri Kebajikan Am.
Dalam jawatan tersebut, beliau memperjuangkan perlindungan dan pemberian nafkah kepada wanita, pencen untuk wanita, mewujudkan jawatan pegawai kebajikan wanita di Mahkamah Syariah, serta mengisytiharkan Hari Wanita sebagai cuti umum.
Hebat betul kisah-kisah perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan wanita ini. Tapi kenapa tokoh wanita ini tak diiktiraf dan tak disebut seperti pejuang kemerdekaan lelaki?
Dunia kini masih didominasi oleh kaum lelaki. Sehingga kini kita masih cuba untuk terus mengangkat dan memperjuangkan hak wanita.
Harapan ini semakin menjadi kenyataan apabila Dr. Wan Azizah telah menjadi wanita pertama yang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan harapnya dengan nafas baru Malaysia, kita dapat terus berjuang untuk menaikkan martabat wanita.
Tak mustahil kan dalam masa terdekat kita akan ada wanita pertama yang akan menjadi Perdana Menteri?
Kami dari theAsianparent mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-67!
Baca juga: Cara Mendidik Anak-Anak Tentang Erti Kemerdekaan & Perjuangan Dalam Hidup
Baca juga: Hari Malaysia Sama Penting Dengan Hari Merdeka, Ini Sejarah Pembentukannya Generasi Muda Perlu Tahu
Baca juga: Teka Teki Kemerdekaan Yang Menarik Boleh Jadi Aktiviti Borak Santai Dengan Anak Untuk Uji Pengetahuan Tentang Negara Kita Yang Tercinta
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!