Ibu, anda jaga tak pengambilan makanan ketika hamil? Tentu banyak pesanan berkaitan pemakanan telah anda dengar.
Ada yang biasa-biasa seperti pengambilan air soya agar kulit bayi putih gebu. Ada juga yang pelik seperti larangan memakan ulam-ulaman yang melata supaya uri tidak melekat di dinding rahim ketika melahirkan.
Lebih menakutkan, pengambilan buah nenas dikatakan mampu mengakibatkan keguguran.
Kredit: Freepik
Namun, daripada perbualan bersama beberapa orang ibu berpengalaman, kebanyakan daripada kesan pemakanan yang pelik dan menakutkan seperti di atas bergantung kepada individu dan kadar pengambilan.
Yang lebih utama, pastikan pengambilan makanan seimbang dengan memerhatikan nutrien yang diperlukan dan kenalpasti jenis makanan yang menjadi sumbernya. Ini penting kerana kesihatan bayi dalam kandungan bergantung sepenuhnya kepada pemakanan anda. Jika anda telahpun mengamalkan pemakanan seimbang, anda pasti teruja kerana tidak banyak perubahan menu yang perlu dilakukan apabila hamil.
Makanan ketika hamil yang disarankan pengambilannya
Kredit: thetot.com
Kementerian Kesihatan Malaysia melalui portal MyHealth memberikan panduan asas nutrien yang diperlukan iaitu kalsium, zat besi, vitamin A, B kompleks dan C. Beberapa laman web yang memfokus kepada kesihatan ibu dan bayi juga menekankan keperluan nutrien yang sama dengan tambahan protien, Omega-3, asid folik atau folat dan beta-karotina. Antara makanan yang disarankan termasuk:
- Produk tenusu seperti susu, keju dan dadih (kalsium, Vitamin A, protein)
- Kekacang kering seperti kacang dal, kacang pis dan kacang ginjal (kalsium, zat besi, folat)
- Produk kacang soya seperti air soya dan tauhu (kalsium, zat besi)
- Daging tanpa lemak (zat besi, vitamin B kompleks)
- Sayuran berdaun hijau gelap seperti brokoli dan kailan (zat besi, Vitamin B kompleks, beta-karotina)
- Buah-buahan dan sayuran berwarna-warni seperti jambu, betik, kiwi, limau, tomato dan lobak merah (vitamin C, beta-karotina)
- Ikan dan telur (protein)
- Minyak biji rami (flaxseed oil) dan buah adpokat (omega-3, serat, protein, vitamin B)
- Ikan salmon (omega-3, protein, vitamin B)
- Roti dan bijirin daripada bijian penuh (asid folik, zat besi, folat)
Hampir kesemua ibu-ibu yang ditemubual tidak menyarankan makanan tertentu. Puan Rozita Sahrani, 46 dari Simpang Empat, Perak menyarankan pilihan makanan yang telahpun tersenarai seperti daging, sayuran hijau, buah-buahan, makanan laut dan produk kacang soya tanpa menekankan soal nutrien manakala Puan Julia Hussin, 57 dari Klang, Selangor hanya menekankan pengambilan kurma sebagai sumber tenaga tambahan.
Makanan yang perlu dielakkan
Kredit: Freepik
Majoriti makanan yang perlu dielakkan tidak jauh berbeza. Hanya cara pengambilan yang menentukan sama ada ianya memberi manfaat atau membawa mudarat. Antaranya:
- Hasil tenusu tanpa pasteur termasuk keju biru dan susu tanpa pasteur – keracunan makanan dan keguguran.
- Makanan mentah atau tidak masak sepenuhnya termasuk telur, daging dan ikan – keracunan makanan.
- Ikan bersaiz besar seperti ikan marlin dan yu – menjejaskan tumbesaran otak dan sistem saraf bayi akibat kandungan merkuri yang tinggi.
- Minuman beralkohol – menjejaskan perkembangan janin dengan menyekat oksigen dan nutrien.
- Minuman berkafein – pengambilan kafein melebihi 200mg dikaitkan dengan keguguran serta anemia kerana mengganggu penyerapan zat besi.
- Hati – kecacatan akibat kandungan Vitamin A yang tinggi.
Makanan lain yang dipercayai memudaratkan termasuk yang bersifat tajam seperti nenas, berbisa seperti air tebu dan panas seperti tapai.
Kredit: keluarga.my
Namun, menurut Puan Rozita Sahrani, beliau memakan kesemua makanan tersebut tanpa mengalami sebarang kesan negatif. Beliau berpendapat berkemungkinan kuantiti memainkan peranan dalam memberi kesan negatif, jika ada.
Manakala pengalaman seorang sahabat yang memakan ikan sembilang yang dilarang kerana berbisa mengakibatkan rasa berbisa ketika melahirkan. Baginya, semua itu bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan terhadap pesanan-pesanan yang diturunkan.
Begitu juga dengan Puan Sabarina Mohd. Shah, 39 dari Bangi, Selangor. Beliau tidak berpantang makan, malahan dinasihatkan oleh ibu mertua untuk makan sekadarnya dan tidak berlebihan. Bagi Puan Zaharah Ali, 62 dari Tumpat, Kelantan; Puan Kasmah Yusof, 60 dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan; dan Puan Julia Hussin, tiada istilah pantang dalam pengambilan makanan ketika hamil.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kenapa ibu mengandung selalu mengidam 10 makanan ini? Berikut kata pakar…
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!