Pejam celik, tidak lama lagi kita bakal berjumpa dengan Hari Raya Aidilfitri. Terasa sekejap sahaja bulan Ramadan berlalu, semoga tahun depan dapat bersua semula. Bila raya menjelma perkara yang merunsingkan selain baju raya baru, kuih raya, dan perabot baru, sudah tentulah amalan pemberian duit raya.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Pemberian duit raya dalam setiap perayaan
- Tips susun bajet duit raya
- Memberi biar sedikit tetapi ikhlas
Kalau masih ingat, berapa agak-agak duit raya yang dulu anda selalu dapat? Rasa-rasa tahun 2022 ini masih releven atau tidak nilai duit raya yang kita dapat ketika zaman 80-an atau 70-an dengan sekarang?
Pemberian duit raya dalam setiap perayaan
Pemberian duit raya adalah tradisi turun-temurun yang dilakukan oleh sesetengah kaum dalam masyarakat seperti kaum Melayu, dan Cina. Ini adalah salah satu cara untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama umat Islam selain membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
Ini tidak kiralah sama ada si pemberi menganggap pemberiannya adalah sedekah, duit raya ataupun bantuan kebajikan ia bergantung kepada niat masing-masing.
Tips susun bajet duit raya
Memberi tidaklah sampai berkira. Tetapi memberi tidak juga sampai menyusahkan diri sendiri nanti. Oleh itu rancang bajet hari raya kita dengan lebih bijak dan berhemah. Antara tips yang boleh dilakukan adalah seperti:
1. Tetapkan jumlah keseluruhan bajet duit raya yang mampu diberi
Ambillah peribahasa “ukur baju di badan sendiri” yang bermaksud membuat suatu perkara mengikut kemampuan diri sendiri sebagai fokus utama anda dalam memberi duit raya nanti.
Sekiranya bajet kita pada tahun itu tidak banyak, maka berilah sesuai kemampuan yang boleh. Tidak usah memaksa diri dengan meletakkan bajet yang di luar kemampuan kerana sudah jelas ia akan menganggu kewangan diri untuk bulan-bulan berikutnya. Ditambah gaji pula yang hanya masuk setiap hujung bulan.
2. Senaraikan kategori orang yang menjadi target untuk bagi duit raya
Jika anda mempunyai keluarga yang besar iaitu ada sanak saudara yang ramai, pastikan anda menyenaraikan setiap kategori orang yang menjadi target anda untuk bagi duit raya.
Contohnya kategori A (keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik-beradik, sanak saudara), kategori B (kanak-kanak dari saudara mara jauh), dan kategori C (rombongan kanak-kanak dari kawasan kejiranan sendiri).
Jika bajet anda lebih besar, boleh juga ditambah mana-mana kategori yang sesuai seperti beri kepada datuk nenek (jika masih ada), atau sebagainya.
Untuk kategori A, jumlah duit raya biasanya paling besar sekitar RM 20 untuk sanak-saudara, RM 50 untuk adik beradik, dan RM 100 untuk. ibu bapa (bergantung pada kemampuan). Kalau jumlah itu terlalu tinggi bagi anda, dicadangkan untuk anda kurangkan sahaja duit raya bagi sanak saudara.
Kategori B iaitu kanak-kanak dari saudara mara jauh boleh beri sekitar RM 5 hingga RM 10. Manakala untuk kategori C cukuplah sekadar RM 1 hingga RM 5 sahaja.
3. Segera tukar duit raya
Jangan tukar duit raya last minit, nanti kelam-kabut bila pagi raya. Tukar siap-siap duit raya anda dengan nilai yang lebih kecil untuk memudahkan proses pemberian duit raya nanti.
Hal ini kerana, sesetengah bank akan menetepakan tarikh yang tertentu untuk pertukaran duit raya di setiap cawangan mereka. Lebih baik sebelum datang, dapatkan dahulu kepastian dengan menghubungi cawangan-cawangan yang berdekatan dari kediaman anda.
4. Asinglah jumlah wang mengikut kategori sampul raya
Bila terlalu banyak orang kita hendak bagi duit raya, mesti selalu terlupa. Mana tidaknya, duit sudah dimasukkan ke dalam sampul raya siap-siap. Mulalah keliru sampul mana yang isinya sama nilai dengan apa yang kita hendak beri.
Cadangan untuk anda, asingkan jumlah wang mengikut warna atau corak sampul raya tersebut. Lepas ini, pasti tidak timbul lagi isu tersalah atau tertukar duit raya.
Memberi biar sedikit tetapi ikhlas
Konsep duit raya sebenarnya adalah ihsan pemberi, sama ada hendak beri banyak atau sikit, ia semuanya terpulang kepada si pemberi. Di tambah dengan kos sara hidup sekarang makin melonjak tinggi, kita perlu berfikir dengan lebih jauh, rasional, dan terbuka.
Ibu bapa yang membawa anak-anak beraya sekali juga perlu sentiasa ingatkan mereka tentang erti bersyukur dengan setiap pemberian dari orang. Didik anak-anak agar tidak terlalu menjadi mata duitan.
Masih diberikan peluang untuik menyambut hari raya adalah nikmat yang perlu kita syukuri dan nikmati bersama keluarga. Isu-isu remeh yang boleh mematahkan tali persaudaraan haruslah dielakkan dan sebarkan kasih sayang bersama selamanya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Terguna Duit Raya Anak, Ibu Ayah Kena Ganti Balik, Duit Anak Tak Boleh Guna Sewenangnya
Baca juga: 4 Cara Bijak Untuk Menguruskan Duit Raya Anak Anda
Baca juga: 5 jenis sampul duit raya unik dan menarik!