Tantrum anak boleh jadi sangat memeningkan, apabila kanak-kanak mula meregangkan badan, menangis sambil menjerit, menendang, memukul dan pelbagai lagi perlakuan yang mengecewakan ibu ayah. Apakah cara terbaik mengatasi anak tantrum?
Ibu ayah, tantrum merupakan perkara normal dalam perkembangan kanak-kanak. Namun tidak dinafikan tantrum adalah salah satu daripada bahagian keibubapaan yang sukar dan mencabar kesabaran.
5 Cara Terbaik Mengatasi Anak Tantrum
Kredit: HuffPost
Dalam mana-mana perhubungan yang sihat, pastinya kita perlu meluahkan perasaan dan mengambil tahu pendapat orang lain supaya dapat mencapai kata sepakat. Namun, hal ini mungkin lebih mudah difahami orang dewasa berbanding kanak-kanak.
Kanak-kanak belum dapat mengawal emosi dan masih mempelajari kemahiran lisan mereka. Jadi cara terbaik mereka untuk berinteraksi sekiranya tidak bersetuju dengan orang dewasa adalah melalui tantrum!
Berikut merupakan cara mengatasi anak tantrum, berdasarkan pakar keluarga:
#1 Jangan Ambil Hati
sumber: well clinic
Perkara yang paling penting adalah anda perlu ingat yang anak tidak ada niat memalukan atau menyusahkan anda.
Walaupun dia mungkin kelihatan berbuat begitu, sebenarnya mereka hanya mahu berkomunikasi.
Tantrum merupakan satu-satunya cara untuk mereka meluahkan perasaan kecewa dan kemarahan. Ini perkara normal dan akan berlalu, jadi buat sementara waktu, anda harus beringat supaya tidak terlalu emosi apabila berhadapan dengan tantrum anak.
#2 Jangan Menghakimi Anak, Sebaliknya Laporkan Perlakuannya Semula
Ramai ibu bapa bingung dengan serangan emosi kanak-kanak dan tidak tahu bagaimana bertindak dengan cara yang baik. Selepas melakukan beberapa penyelidikan ke atas pendekatan keibubapaan, ini cara yang dikenalpasti dapat dilakukan bagi membantu meredakan tantrum.
Perhatikan kelakuan mereka, laporkan kembali apa yang anda lihat, akui perasaan mereka, dan tetapkan sempadan (jika perlu).
Contohnya, “Nampaknya adik tak mahu berhenti bermain ya, tapi adik perlu tukar lampin. Jika adik mahu pukul ibu, ibu tidak boleh benarkan. Tetapi ibu faham yang adik kecewa.”
Cara ini akan membuatkan anda lebih tenang dan tidak marah kepada anak.
#3 Lakukan Secara Perlahan-Lahan
Ini salah satu bahagian yang paling sukar untuk ibu bapa. Namun jika anda inginkan ia berlalu dengan cepat, situasi mungkin akan menjadi lebih teruk!
Terdapat analogi yang mengatakan emosi tantrum adalah seperti terowong, tiada jalan keluar rahsia, jalan pintas, atau cara cepat untuk melakukannya; kita hanya perlu melaluinya. Sebaik sahaja semuanya selesai, anda akan mendapati anak lebih tenang.
Anda mungkin ingin tantrum berlalu untuk keselesaan anda, namun anda sepatutnya memikirkan apa yang terbaik bagi emosi si anak.
#4 Gunakan ‘Time In’, Bukannya ‘Time Out’
Kanak-kanak perlu dibimbing melalui emosi yang sukar dan bukannya meninggalkan anak untuk berjuang sendiri.
Mereka memerlukan sokongan, dan mereka perlu tahu yang mereka tidak perlu takut dengan perasaan sebegini.
Apabila kanak-kanak kehilangan rasa tenang, bawa dia ke ruang yang tenang (bilik mereka, di luar restoran, kereta), dan kemudian biarkan anak melepaskan emosinya. Beritahu yang anda faham perasaannya, ini mengajar anak-anak bahawa perasaan adalah penting, dan anda tidak takut akan tindak balas emosi mereka.
Mereka akan belajar bahawa emosi yang besar bukanlah sesuatu yang memalukan dan kasih sayang akan tetap ada apabila mereka memerlukannya.
#5 Jangan Hukum Perasaannya
sumber: angelsense.com
Kanak-kanak masih belajar bagaimana menangani emosi yang sukar, jadi perkara terakhir yang kita mahu lakukan adalah berkomunikasi bahawa perasaan itu tidak dapat diterima atau salah untuk dialami.
Matlamatnya adalah untuk membina kanak-kanak yang berdaya tahan yang dapat menangani tekanan dan kekecewaan kehidupan tanpa menutup atau melarikan diri.
Belajar untuk menerima emosi yang sukar adalah langkah pertama untuk belajar bagaimana untuk mengatasinya.
Semoga bermanfaat.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Terrible Twos @ Kerenah Anak 2 Tahun, Kenapa Mereka Kuat Mengamuk Di Usia Ini?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!