Bayi 12 Bulan Maut Ditumbuk Pembantu Rumah Kerana Tak Berhenti Menangis!

Pembantu rumah ini sanggup bertindak kejam dengan menumbuk leher si kecil tersebut kerana tak berhenti menangis. Sampainya hati dia!

Ini merupakan berita yang sangat mengejutkan! Apa perasaan anda apabila mendengar kes penderaan bayi berusia setahun yang telah didera oleh pembantu rumah hingga mati? Pasti sangat marah, kan? 

Kami juga begitu. Sebab itu, kes seperti ini harus dielak dan ditangani dengan lebih awal. Dikhabarkan, pembantu rumah terbabit menumbuk bayi itu dan mencengkam keras lehernya supaya dia berhenti menangis.

Penderaan bayi oleh pembantu rumah 

Menurut Channel News Asia, pembantu tersebut Maryani Usman Utar baru saja hendak masuk tidur bersama bayi Richelle Teo Yan Jia yang tidur bersamanya. Tapi, bayi tersebut tidak berhenti menangis lalu, dia menepuk belakang tubuhnya supaya tidur. 

Namun pada jam 2 pagi, bayi itu terbangun lalu menangis lagi. Maryani memberinya susu, tapi bayi tersebut enggan dan muntah di atas pakaiannya. Pembantu rumah itu cuba meletakkan bayi kembali namun tetap tak berjaya malah tangisannya semakin kuat. 

Di saat itu, Maryani berasa marah dan sangat mengantuk lalu dia menumbuk leher bayi tersebut di sebelah kiri. Richelle menangis lebih kuat. 

Pembantu rumah itu akhirnya hilang kawalan, lalu dia mencengkam belakang leher bayi selama kira-kira setengah jam. Dia juga menumbuk di bahagian kanan leher bayi itu sehingga berhenti menangis dan menutup matanya. 

Selepas itu, dia meletakkan kembali bayi tersebut atas katil dan membasuh pakaiannya yang kotor tanpa memeriksa keadaan bayi malang itu. 

Penderaan bayi, si kecil itu terus tak sedarkan diri  

Pada keesokannya, Maryani meninggalkan rumah pada jam 7.50 pagi untuk berjumpa keluarganya yang datang melawat dari Indonesia. 

Pada jam 9 pagi, bapa Richelle, Teo Kok Eng pergi ke bilik tersebut untuk memberi makanan kepadanya. 

Namun dia terkejut apabila mendapati wajah anak perempuannya itu lebam begitu juga lengan dan kaki kirinya. Malah tubuh si kecil itu juga terasa sejuk.

Kemudian dia meletakkan dua jarinya di bawah hidung bayi tersebut dan mendapati tidak bernafas. Dengan perasaan sedih, Teo membawa bayinya ke hospital dan disahkan mati pada jam 10 pagi. 

Manakala Maryani di tangkap pada jam 1 petang berhampiran Taman Merlion.

Kes penderaan bayi, pembantu rumah dipenjara 7 tahun 

Pada Khamis 22 November 2018, pembantu rumah tersebut dihukum penjara selama tujuh tahun dan menurut Institut Kesihatan Mental, dia mengalami kemurungan.

Sebelum insiden itu terjadi, dia telah dua kali meminta dipindahkan dari agensi pembantu rumah kerana tertekan dan tidak berpuas hati dengan beban kerja berlebihan. 

Walau bagaimanapun, dia akui tidak pernah dilayan buruk dan sentiasa diberi makanan yang cukup oleh majikannya itu. 

Timbalan Pendakwa Raya Kelly Ho menegaskan walaupun mengalami kemurungan teruk, ia bukanlah lesen untuk membunuh orang lain. 

Dia juga mengatakan serangan tersebut bersifat jahat dan tidak sepatutnya berlaku kepada seorang bayi yang masih kecil. 

Bagaimana nak pastikan keselamatan anak dengan pembantu rumah? 

Sekarang memang ramai pembantu rumah yang ‘berlakon baik’ di depan majikan dan nampak sopan saja tapi bila di belakang kemain lagi lagaknya.

Tapi bukan semua pengasuh atau pembantu rumah begini. Ada juga pembantu rumah yang benar ikhlas bekerja dan menjaga amanah yang diberikan. 

Namun bagi memastikan keselamatan anak dengan pembantu rumah, ini antara cara yang patut anda lakukan: 

  • Pasang kamera CCTV supaya anda tahu apa yang berlaku di rumah. Tapi, pembantu rumah juga perlu tahu kewujudan kamera CCTV itu supaya tidak melanggar hak privasi. 
  • Pulang ke rumah secara mengejut supaya anda boleh lihat apa yang dilakukan pembantu semasa ketiadaan anda
  • Perhatikan perubahan tingkah laku anak apabila pembantu rumah berada di sekitar.  
  • Cari tanda penderaan fizikal seperti lebam, luka dan calar. 
  • Perhatikan sama ada anak anda kelihatan kotor sepanjang masa seperti lampin tidak bertukar, tangan kotor atau pakainnya. Jika ya, itu maksudnya pembantu rumah itu mengabaikan keperluan anak kecil anda. 
  • Tetapkan peraturan dalam rumah seperti tidak boleh berhibur dengan rakan-rakan di rumah ketika bersendirian dengan bayi tanpa persetujuan anda. 
  • Jangan bebankan pembantu rumah dengan kerja yang terlalu banyak kerana ia boleh membuatnya stres lalu lepaskan perasaan marah pada bayi. 
  • Menggalakkan kejujuran kepada pembantu rumah contohnya jika bayi terjatuh minta dia berterus terang.
  • Cari pembantu rumah yang ada pengalaman menjaga bayi dan kanak-kanak. 
  •  Berikan maklum balas yang membina sekiranya anda tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku tanpa memarahi pembantu rumah tersebut. 
  • Jangan sesekali menyalahkan pembantu rumah secara fizikal atau lisan. 

Justeru, diharap kes sebegini menjadikan kita lebih berhati-hati terhadap hak keselamatan anak-anak terutama bila mereka dibawah jagaan pembantu rumah atau pengasuh. 

Semoga kisah ini dijadikan teladan bersama dan diharap keluarga Teo tidak terus bersedih dengan pemergian anak tersayang. 

 

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber : Penulis asal Jaya. Artikel ini mendapat keizinan daripada theAsianparent Singapore untuk diterjemahkan. 

Baca juga:

5 petanda anda dapat atau ada pengasuh yang tidak baik