Selain mengamalkan amalan pantang bersalin terdapat juga amalan pantang yang sering dilupakan atau jarang dilakukan oleh ibu-ibu di masa kini iaitu amalan penutup pantang.
Lazimnya, tempoh berpantang dalam Islam adalah sekitar 40 hari dan maksimun 60 hari atau setelah keringnya darah nifas. Dalam Islam tiada cara berpantang yang khusus sebaliknya ianya hanya larangan beribadat ketika tidak suci atau semasa bernifas. Setelah keringnya darah nifas, ibu hendaklah mandi wajib dan boleh mula solat dan berpuasa seperti biasa.
Apa Itu Penutup Pantang?
Menurut perkongsian Nur Syatirah Shuib atau dikenali sebagai Kak Bidan Sempoi Sabah, penutup pantang adalah pelepas pantang atau menamatkan rawatan berpantang dengan ritual dan teknik rawatan mengikut bidan atau perawat masing-masing.
Penutup pantang adalah proses penting selepas tempoh lebih 40 hari berpantang. Kebiasaanya amalan berpantang dapat membantu ibu mengembalikan semula kesegaran dan memulihkan kesihatan tubuh ibu.
Antara amalan pantang bersalin yang dilakukan adalah seperti urutan berpantang, mandi herba, bertungku, bertangas, berbengkung, param, pilis dan memakan dan minum makanan yang tertentu yang sihat dan baik untuk ibu dan bayi.
Ianya adalah amalan orang Melayu dahulu untuk sesi terakhir rawatan berpantang. Ritual atau bahan pelepas tertentu digunakan bagi mengelakkan angin daripada memasuki badan (angin jahat) dan juga bertujuan mengelakkan gangguan jin daripada memasuki badan ( bad energy).
Secara mudahnya, ibu hanya boleh keluar rumah setelah tamat tempoh berpantang iaitu sekitar 44 hari, apabila badan ibu sudah kuat. Jadi ibu susah untuk terkena anasir negatif (bad energy) contohnya seperti mereka yang ada gangguan sihir atau saka keturunan.’Rawatan penutupan pantang bidan -bidan dahulu ada pelbagai jenis sebenarnya. Maka, nasihat saya, anda carilah bidan yang betul-betul mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya’ menurut Nur Syatirah Shuib, Kak Bidan Sempoi Sabah.
Pentingnya Penutup Pantang
Selain mengamalkan pantang bersalin 40 hari, penutup pantang juga sebenarnya sangat penting dan bermanfaat kepada ibu-ibu kerana ia dapat membantu dan mengelakkan masalah seperti berikut :
1-Sangat penting bagi mengelakkan angin cepat masuk ke dalam badan ibu.
2- Merawat bad energy selama tempoh berpantang. Gangguan ini boleh masuk ke dalam badan melalui dua cara iaitu stress disebabkan masalah kesihatan ibu dan bayi ataupun tumpangan sihir.
3- Ianya juga menandakan tamatnya tempoh berpantang.
Selain itu, semasa rawatan penutup pantang bidan akan memeriksa keadaan rahim sama ada betul-betul kecut atau belum dan bagi memastikan rahim berada pada posisi yang betul selepas darah nifas berhenti. Rahim yang tidak benar-benar kecut boleh dilihat pada perut yang masih buncit dan kelihatan seperti mengandung 3 bulan.
Bidan akan melakukan rawatan bertangas dan urutan rahim. Tangas bertujuan mengeluarkan habis sisa baki darah nifas agar selepas mandi wajib, darah nifas tidak lagi keluar semula. Manakala urutan berpantang pula dilakukan berfokus kepada 3 perkara iaitu :
1. Proses bagi mengeluarkan angin daripada perut & usus.
2. Proses untuk membantu pengecutan rahim.
3. Proses bagi menaikkan rahim iaitu sengkak peranakan.
Kaedah Penutup Pantang
Biasanya, rawatan penutup pantang ini dilakukan pada hari yang ganjil iaitu pada hari ke 39, 41 atau 43 hari berpantang. Bidan akan memeriksa badan ibu untuk memastikan badan ibu benar-benar sihat dan pulih sebelum memulakan rawatan penutup pantang. Sekiranya badan ibu masih sakit dan rahim tidak mengecut dengan elok, sesi berpantang haruslah dilanjutkan sehingga 100 hari.
Bagi bidan dahulu, mereka melakukan 3 kaedah semasa rawatan penutup pantang.
1. Benang Mentah
Untuk benang mentah, 1 tali atau benang panjang dicantumkan pada hujungkan dan dibawa masuk bermula kepala hinggalah ke kaki ibu dengan niat membuang semua anasir buruk ( bad energy) daripada si ibu.
2. Kain Batik Lepas
Kain batik yang belum dijahit ini biasanya dihadiahkan pada bidan selepas tempoh rawatan. Kain batik lepas ini akan dilalukan di atas kepala ibu, seterusnya ke badan dan kaki.
3. Mandian Herba Pelepas Pantang
Bidan akan memandikan ibu dengan air herba atau bunga-bungaan bermula dari kepala sehingga ke kaki. Ia bertujuan menaikkan seri wajah ibu. Setelah semua anasir negatif (bad energy) ini keluar daripada badan si ibu, maka seri wajah ibu akan kelihatan.
Manakala rawatan penutup pantang masa kini lebih fokus kepada mencantikkan semula seluruh tubuh badan ibu memandangkan ibu masa kini sangat mementingkan kecantikkan tubuh dan wajah. Ibu yang betul-betul sihat wajah mereka akan kelihatan merah berseri-seri, mempunyai tubuh yang langsing dan bertenaga. Rawatan penutup pantang moden lebih menfokuskan kepada rawatan seperti di bawah ini :
Rawatan Vagina
Dilakukan dengan bertangas basah atau kering, scrub, masker, urutan peranakan dan organ sulit wanita, serta merawat vagina menggunakan herba yang mampu mengetatkan dan mengencangkan kembali otot vagina. Hasilnya, organ sulit ibu akan putih kemerahan dan panas berbanding ibu yang tidak melakukan rawatan pelepas pantang ini. Manakala dengan teknik urutan yang betul, yang mana berfokus kepada titik merawat masalah batin dapat mengelakkan masalah mati putik.
Rawatan Payudara
Ia bertujuan melancarkan pengeluaran dan memperbanyakkan susu ibu. Namun, rawatan ini juga perlu dijalankan semula selepas tamat tempoh penyusuan bayi untuk mengembalikan semula keanjalan otot payudara.
Rawatan Punggung
Ia dilakukan bertujuan untuk merawat kembali tulang punggung yang terbuka akibat daripada proses bersalin. Selain itu, scrub & masker juga digunakan untuk menjadikan otot punggung kembali tegang, putih dan bersih.
Kesan Pada Ibu Jika Tidak Melakukannya
Sekiranya amalan penutup pantang ini tidak dilakukan tubuh ibu mungkin akan mudah rasa penat, ibu akan stress dan anasir negatif (bad energy) juga mungkin mudah memasuki tubuh ibu. Tubuh badan yang lemah juga akan mengundang pelbagai masalah dan akhirnya kan menyebabkan badan mereka mudah menerima anasir negatif.
Semasa tubuh badan sihat, ibu mungkin tidak merasakan apa-apa perubahan pada diri mereka. Namun ketika badan lemah inilah jin daripada saka ataupun sihir yang lama-lama mudah aktif kembali. Antara cara mudah menentukan gangguan di dalam rumah ialah bayi menangis ( meraung) pada tengah malam dengan matanya melihat ke atas.
Seperti yang kita maklum, otot lantai pelvis boleh menjadi lemah kerana pertambahan usia dan tahap hormon estrogen yang rendah. Namun, proses melahirkan anak secara normal juga boleh menyebabkan otot vagina menjadi lemah.
Apabila organ ini lemah, ibu-ibu mungkin akan menghadapi masalah mati putik selepas tamatnya tempoh berpantang. Ramai ibu yang mengadu mereka ada masalah kurang keinginan bersama selepas bersalin kerana mereka tidak menjalankan rawatan khas untuk merawat organ intim wanita terutamanya.
Oleh kerana kita sukar untuk menentukan sama ada ibu benar-benar pulih dari segi mental dan fizikal, jadi amalan pantang bersalin dan pelepas pantang kurang dipercayai. Hal ini boleh menyebabkan ibu mendapat masalah lain seperti meroyan atau meninggal dunia kerana mengabaikan penjagaan diri dan rawatan ketika berpantang.
Selain itu, bagi ibu yang gagal berpantang dengan betul, perut mereka akan buncit, ototnya mengendur dan mukanya pucat. Manakala organ intim ibu akan kelihatan kusam dan sejuk jika tidak melakukan rawatan yang sewajarnya.
Walaubagaimanapun, setelah melalui proses mengandung dan bersalin, setiap ibu haruslah merawat dan memulihkan semula kesihatan tubuh mereka dengan amalan berpantang yang bersesuaian disamping mengamalkan pemakanan yang sihat dan berkhasiat serta mencari waktu untuk melakukan senaman ringan untuk kesegaran tubuh.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Perawatan Postnatal Di Rumah Penting Ya Para Ibu Sekalian! Ini Antara Sebabnya
Baca juga: “Tak Reti Duduk Saja” Agak Mustahil Untuk Berpantang Penuh Bagi Wanita Yang Bekerjaya -Vivy Yusof
Baca juga: Senarai Lengkap Buah-Buahan Ibu Berpantang Boleh Makan & Perlu Elak Sebaik Mungkin