Penyusuan badan adalah yang terbaik bagi si manja yang membesar. Tetapi, apabila si ibu tidak lagi mampu untuk memberi penyusuan badan atas dasar kerja atau keupayaan fizikal, si kecil perlulah diberi penyusuan botol. Jadi, apakah perlu anda lakukan jika bayi enggan penyusuan botol?
Ibu mana yang tidak mahu memberikan anak mereka susu badan? Mungkin tiada, atau hanya segelintir sahaja yang tidak mahu memulakan penyusuan badan. Tetapi, ikatan yang sangat rapat di antara anak dan ibu itu bermula dari penyusuan badan.
Tetapi, apabila umur anak semakin meningkat, para ibu juga mungkin tidak lagi larat untuk memberi susu badan dalam kuantiti yang semakin menaik. Atau mungkin, si anak sudah tumbuh gigi dan penyusuan secara badan menyebabkan anda sakit atau tidak selesa. Jadi, terpaksalah berikan penyusuan botol juga, kan?
Alamak, tapi anak saya tak nak penyusuan botol! Dia tetap hendakkan penyusuan badan. Bagaimana ya?
Baca kini: Ibu-Ibu Dah Tiba Masa Untuk Berhenti Menyusu Badan? Ini Cara Cerai Susu Badan, Selamat Mencuba!
Bayi menyusu badan enggan menyusu botol, bagaimana hendak menggalakkan?
Sumber gambar: MomInformed
#1. Perlahan-lahan biasakan si manja dengan penyusuan botol
Bayi anda juga perlu membiasakan diri dengan perkara baru. Bayangkan anda berada di tempat si manja. Sepanjang hidup anda, anda sudah dibiasakan dengan sesuatu perkara dan tiba-tiba sahaja, anda perlu menukar kepada perkara baru? Siapa je yang suka, kan? Jadi, perlahan-lahan kenalkan bayi anda kepada penyusuan botol. Jika dia tidak mahu pada kali pertama, anda boleh cuba lagi pada hari esok.
#2. Carilah puting dengan saiz dan bentuk yang bersesuaian
Sumber gambar: The Mirror
Salah satu sebab si manja enggan penyusuan botol mungkin berpunca dari puting botol tersebut. Mungkin puting terlalu besar atau terlalu kecil, atau puting tersebut juga berkemungkinan mempunyai bentuk yang menyebabkan ketidakselesaan kepada bayi ketika bayi sedang menyusu. Oleh itu, para ibu perlulah try-and-error jika hendak anak menerima penyusuan botol.
#3. Memastikan suhu susu botol adalah suam
Susu badan mempunyai suhu suam-suam kuku atau lukewarm. Jadi, jika anda hendak memperkenalkan penyusuan botol kepada bayi anda, pastikan suhu susu di dalam botol tersebut adalah suam-suam kuku; bukan terlalu panas, atau terlalu sejuk.
#4. Memberi tugas penyusuan botol kepada orang lain
Sumber gambar: Verywell Family
Bayi anda mungkin enggan menyusu botol jika anda yang menyua kerana mereka tahu bahawa ibu mereka masih boleh menyusu badan, jadi mengapa pula tak nak bagi? Oleh itu, memberi tugasan penyusuan kepada orang lain seperti bapa (yang sudah tentu tidak ada susu badan!) mungkin dapat membuat anak sedikit sebanyak menerima penyusuan botol. Bila dah terpaksalah.
#5. Pastikan anda dan bayi berada dalam persekitaran yang tenang
Untuk memudahkan bayi menerima penyusuan botol, pastikan si manja berada di dalam keadaan yang tenang. Anda juga perlu berada di dalam keadaan tenang supaya tidak mudah tertekan jika bayi masih enggan menerima susu botol. Ibu dan anak perlulah berada di persekitaran yang senyap dan tidak mempunyai daya tarikan seperti lagu, televisyen atau bunyi-bunyi bising. Kanak-kanak yang tenang adalah yang paling senang untuk dipujuk.
Bila Anda Patut Mula Kenalkan Penyusuan Badan
Seperti yang telah dikongsi pada awal penulisan ini, ikatan ibu dan anak itu lebih mudah terjalin ketika sesi penyusuan badan.
Tetapi, kami faham bahawa para ibu di luar sana bukan sengaja tidak mahu memberi susu badan, baik dari awal mahupun ketika hendak memutuskan bayi dari penyusuan badan. Banyak faktor dapat kita rungkaikan yang menyebabkan para ibu mungkin hendak memutuskan anak dari penyusuan badan.
Mungkin si ibu sudah mula kekurangan susu badan, atau si manja sudah mula tumbuh gigi yang menyebabkan si ibu sakit pada bahagian puting ketika memberi susu badan. Kami juga tahu dan faham bahawa ibu-ibu yang bekerja juga tidak mempunyai banyak masa dan tenaga untuk teruskan penyusuan badan, terutamanya jika perlu pam susu.
Ya, penyusuan adalah satu perkara yang sangat memenatkan secara fizikal! Mengapa?
Ini kerana Basal Metabolic Rate (BMR) anda meningkat ketika penyusuan badan. Proses pembuatan susu di dalam badan anda juga memakan kalori yang tinggi iaitu dalam lingkungan 300-500 kalori, dan kadar penukaran makanan yang anda ambil kepada susu badan diproses dengan lebih 80% kepantasan.
Oleh sebab itu, anda lebih cenderung untuk rasa penat ketika menyusu badan.
Baca kini: 10 Cara Bijak Untuk Buat Anak Anda Cepat Cerai Susu Badan
Jadi, bilakah waktu yang sesuai untuk mulakan penyusuan botol?
Jawapannya ialah: tiada masa yang spesifik!
Anda boleh memperkenalkan penyusuan botol kepada anak anda seawal 2 minggu jika anda mahu. Tetapi, pastikan saiz puting dan botol yang anda gunakan pada si manja bersesuaian dengan umur mereka.
Sebenarnya, lagi awal lagi bagus! Jika anda mula kenalkan susu botol terlalu lewat, risau mereka akan berkeras tidak mahu penyusuan botol. Anda juga yang pening nanti!
Tip-tip yang boleh diamalkan bagi pemberian susu badan melalui penyusuan botol
-
Susu badan yang disimpan dalam peti sejuk atau ruang sejuk beku mungkin rasa bersabun. Ini kerana enzim lipase yang berlebihan. Oleh itu, ibu perlulah memanaskan susu terlebih dahulu sebelum menyimpan dalam peti sejuk boleh menyahaktifkan enzim tersebut.
-
Biarkan anak bermain dengan botol sambil menyua puting ke bibir anak tanpa agenda penyusuan.
-
Suamkan puting botol atau celupkan hujung puting ke dalam semangkuk susu badan supaya si manja dapat merasa sesuatu kebiasaan baginya.
-
Tawarkan botol ketika si manja lapar sedikit, dan bukan ketika dia sangat-sangat lapar. Ini untuk memastikan bayi masih tenang, tetapi cukup lapar untuk mereka menerima apa sahaja yang ditawarkan.
-
Jika si manja menerima penyusuan botol tetapi tidak habiskan, tidak mengapa! Ini langkah pertama bagi penerimaan si manja kepada penyusuan botol.
Selamat mencuba, ibu-ibu!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Healthline Parenthood, Parents, Pump Station
Baca juga: Alamak, Dah Nak Mula Bekerja Tapi Anak Tak Mahu Susu Botol?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!