Bila tiba masa untuk ibu kembali berkerja selepas cuti bersalin, tentu berat hati nak meninggalkan si kecil bukan? Bukan itu saja, runsing apabila memikirkan si manja yang tidak mahu minum susu menggunakan botol. Malah perlu tahu juga cara menyusu bayi dengan betul menggunakan botol susu!
Ada bayi mudah saja penerimaannya, ada bayi yang menolak bulat-bulat penggunaan botol. Jadi tak keruanlah si ibu nak melatihnya.
Jangan risau ya ibu-ibu semua setiap masalah ada penyelesaiannya. Jika anda masih ada masa beberapa minggu sebelum memulakan tugas ke pejabat, anda boleh lakukan tips berikut.
Cara menyusu bayi dengan betul menggunakan botol susu

Praktikkan cara ini dalam dua minggu sebelum anda mula bekerja, namun jika terlewat pun tidak mengapa. Cuba latih bayi anda sekerap yang mungkin sehinggala tiba waktunya.
Perlu diingat jangan putus asa ya ibu-ibu! Nak melatih bayi menyusu menggunakan botol ini mungkin satu proses yang sukar bagi sesetengah ibu, ia memerlukan kesabaran yang tinggi.
Namun percayalah lambat laun bayi anda akan terima dengan seadanya!
#1. Mulakan dari awal
Untuk yang masih di peringkat awal, ibu bapa jangan berlengah lagi ya. Memang beri susu badan ‘direct’ adalah sebaiknya, namun untuk proses melatih anak membiasakan minum dari botol bila anda berkerja nanti, langkah ini sangat penting.
Pam sedikit susu badan anda dan berikan kepada bayi sekurang-kurangnya sekali sehari. Anda boleh pilih untuk memberinya pada waktu siang atau malam.
Ini supaya bayi dapat merasa perbezaannya, dalam masa yang sama tahu ia adalah susu yang sama dan terbiasa akan perubahan ‘medium’ tersebut.
Nanti apabila anda mula berkerja dan memberi susu badan melalui botol tidaklah mereka terkejut.
#2. Cara menyusu bayi dengan betul adalah beri puting dengan saluran yang kecil

Sentiasa mulakan dengan puting botol susu bersaluran kecil atau saiz ‘S’ dahulu. Ini kerana aliran daripada susu ibu kepada mulut bayi adalah sangat halus. Hanya pada waktu ‘let down’ susu menjadi deras namun untuk seketika sahaja.
Jadi penting untuk aliran susu bayi itu serupa dengan aliran susu daripada badan ibu, aliran yang terlalu deras membuat bayi mudah tersedak, dan melepaskan puting serta merta. Susah pula nak masukkan semula dalam mulutnya nanti.
#3. Sentiasa pastikan posisi penyusuan yang selesa
Ini amat penting supaya bayi tidak berasa asing menyusu dengan botol berbanding dengan menyusu badan. Letakkan bayi dalam posisi yang anda biasa menyusu badan. Atau pastikan kepala bayi lebih tinggi dari kaki, ini dapat mengelakkan bayi tersedak.
Jangan sesekali beri bayi minum susu botol di dalam buaian! Merbahaya tau ibu-ibu, lagi pula sambil menghenjut. Penting untuk anda tahu cara menyusu bayi dengan betul!
#4. Cara menyusu bayi dengan betul dengan beri susu sebelum bayi lapar

Ini amat penting untuk mengelakkan bayi kecewa dan seterusnya menolak susu botol bulat-bulat. Jangan tunggu sehingga bayi menangis.
Sentiasa beri susu botol kepada bayi ketika anda nampak ‘hint’ daripada bayi. Seperti menoleh kepalanya ke tepi, tercari-cari atau cuba menghisap apa-apa yang dekat dengan mulutnya.
#5. Pasangan perlu memberi susu kepada bayi
Jika boleh si ibu perlu elakkan dari memberi susu botol kepada bayi. Ini kerana bayi boleh tahu bila ibunya berada berdekatan, mereka boleh bau tau! Jadi seeloknya ketika pasangan beri susu kepada bayi anda perlu duduk berjauhan.
Jangan duduk di bilik yang sama!
Anda boleh cuba tips ini selagi ada masa, jangan berputus asa jika sudah tiba waktu anda kembali ke pejabat si kecil masih tidak mahu minum susu menggunakan botol. Proses ini memang memakan masa.
Mungkin apabila anda sudah mula berkerja, bayi anda tahu mereka tidak punyai pilihan dan lambat laun terbiasa juga menggunakan botol.
Jadi jangan terlalu resah di pejabat ya! Risau pula hilang fokus nanti.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Kesilapan Ibu Bapa Ketika Basuh Botol Anak & Ini Sebab Pentingnya Steril Botol
Baca juga: 6 langkah untuk bantu bayi pegang botol susu sendiri
Baca juga: Bahaya Guna Botol Susu Bayi Lebih 3 Bulan, Kandungan BPA Menjejaskan Otak Si Manja
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!