Gempar di serata media sosial baru-baru ini tentang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun yang telah mengumumkan bahawa buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk melarang isu perkahwinan bawah umur.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Doktor kongsi realiti di sebaliknya akibat perkahwinan bawah umur
- Kahwin bawah umur mengancam nyawa anak perempuan kita, sepatutnya dilindungi
- Bahayanya berkahwin di bawah umur bagi kanak-kanak dan remaja
Perkara ini telah mendatangkan pelbagai komen dan pandangan berbeza daripada masyarakat. Ada yang bersetuju dan ada juga kurang bersetuju disebabkan oleh alasan tertentu.
Doktor kongsi realiti di sebaliknya akibat perkahwinan bawah umur
Di laman Facebook beberapa hari lepas, seorang pengguna yang dikenali dengan nama Daya Nandan telah berkongsi tentang sebuah kes bersalin yang melibatkan seorang gadis berusia hanya 11 tahun!
Menurut perkongsiannya itu, waktu menunjukkan beberapa jam selepas tengah malam ketika pesakit kanak-kanak terbabit tiba. Penulis sudah tidak terkejut dengan apa yang dia saksikan, namun dia berasa kecewa dengan apa yang telah berlaku.
Ketika itulah, kanak-kanak berusia 11 tahun itu dibawa masuk ke hospital dan menjerit kesakitan kerana hendak melahirkan seorang cahaya mata, dan hanya ditemani oleh ibunya yang kelihatan seperti berusia 20-an!
Semasa ini, tiada kelibat si suami kelihatan di perkarangan hospital tersebut.
Penulis telah menyatakan rasa risaunya terhadap kanak-kanak tersebut kerana pembedahan yang dilakukan merupakan sebuah pembedahan yang rumit. Terlalu banyak risiko yang bakal dihadapi oleh para doktor serta kanak-kanak itu sendiri.
“Dalam sekelip mata, semuanya berubah ke arah yang tidak dijangka. Kanak-kanak tersebut digesakan ke dalam bilik pembedahan.” Kongsi penulis tersebut.
Namun, kanak-kanak 11 tahun tersebut tidak berjaya diselamatkan dan kandungannya juga tidak terkecuali. Ia meninggal dunia tidak lama selepas kelahirannya. “Dunia telah kehilangan dua orang kanak-kanak pada malam itu.”
Menurut penulis, ini bukanlah kali pertama perkara ini terjadi. Ia juga pernah terjadi ketika si penulis menjadi seorang doktor pelatih di Indonesia. Doktor tersebut juga bersetuju bahawa perkahwinan di bawah umur sepatutnya dibanteras.
Perkahwinan bawah umur tidak dihalang di negeri Terengganu
Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu telah berkata bahawa negeri tersebut tidak akan menghalang para remaja di bawah umur untuk berkahwin. Kenyataan beliau telah menaikkan amarah serta gelak tawa dari netizen kerana “terlalu mengarut”, kata mereka.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah, “cinta bagaikan ombak, dan tidak mudah untuk hentikannya jika ia datang.” Namun begitu, kadar perceraian dalam kalangan mereka yang berkahwin pada bawah umur adalah sangat tinggi.
Nor Hamzah juga berkata bahawa sekiranya para remaja masih tidak mampu untuk mendirikan rumah tangga, maka mereka seharusnya berpuasa.
Beliau juga menyatakan bahawa bukan setiap perkahwinan bawah umur kekal lama. Malah, sejumlah 1290 perceraian telah dicatatkan pada tahun lepas sahaja! Menurutnya lagi, 685 kes perceraian disebabkan oleh ketidakwujudan tanggungjawab serta kurangnya ilmu tentang perkahwinan dalam Islam.
Terdapat juga faktor lain yang memainkan peranan dalam perceraian perkahwinan bawah umur, termasuklah:
- Masalah komunikasi
- Kewujudan orang ketiga
- Kes-kes sosial
- Masalah kewangan
- Dasar seksual
- Budaya dan kerjaya
Sementara itu, kerajaan negeri Terengganu akan berusaha untuk mendidik pasangan-pasangan remaja melalui program keagamaan. Terdapat dua program yang bakal diperkenalkan, yang termasuk 2 fasa iaitu fasa pra-perkahwinan dan fasa selepas kahwin.
“Melalui program-program ini, semua bakal pengantin baik lelaki mahupun perempuan akan didedahkan kepada kehidupan selepas berkahwin,” kata Nor Hamzah. Usaha ini diharapkan dapat merendahkan kadar perceraian antara pasangan remaja.
Walaupun dengan justifikasi beliau, ramai netizen yang masih tidak bersetuju dengan kenyatannya dan berpendapat bahawa remaja dan kanak-kanak perlu dilindungi sepanjang masa.
Kahwin bawah usia banyak mendatangkan kesan negatif
Tidak kiralah jika mereka seorang kanak-kanak atau sudah seorang remaja yang matang, namun perkahwinan di bawah umur adalah sesuautu yang tidak patut digalakkan dan sebaiknya dibanteras terus.
Terlalu banyak risiko yang boleh dihadapi oleh mangsa-mangsa perkahwinan di bawah umur. Bagi mereka yang tidak mengalaminya, konsep kahwin di bawah umur mungkin tidaklah seteruk yang dijangka namun bagi mangsa, ia boleh menghancurkan hidup mereka dan mengancam nyawa mereka.
Bagi kanak-kanak dan remaja perempuan, mereka tidak sepatutnya dikahwinkan di bawah umur dan berada di wad bersalin pada usia muda. Sebaliknya, mereka perlu belajar dan berusaha untuk membina masa depan mereka.
Sebagai orang dewasa yang berfikiran waras, kita perlu melindungi anak-anak perempuan kita dan bukannya “memperdagangkan” mereka dan kemudian memperjudikan keselamatan mereka.
Pelajar bukan pengantin!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kerajaan Masih Tiada Cadangan Untuk Haramkan Perkahwinan Bawah Umur, Undang Kritikan Dari Rakyat
Baca juga: Tujuan Perkahwinan Dengan Dua Gadis Bawah Umur Kerana Cinta?
Baca juga: 11 Tahun Bergelar Ibu Tunggal, Wanita Ini Dedah Kehidupannya Selepas Kahwin Baharu