Anda mungkin bersedia dari aspek kewangan dan masa untuk menimang ahli keluarga baru, tetapi adakah anda masih khuatir tiada persediaan dari segi emosi? Ini cara mengatasi kerisauan tersebut.
Setelah menempuhi alam berumah tangga, sudah tentulah anda para suami isteri akan mendambakan kehadiran cahaya mata untuk menyerikan lagi alam rumah tangga anda. Namun, haruslah diingatkan bahawa banyak perkara yang perlu anda titikberatkan sebelum hadirnya cahaya mata dalam keluarga.
Jangan disebabkan anda iri hati dengan rakan-rakan yang mempunyai cahaya mata, anda terus membuat keputusan mendadak untuk mendapatkan cahaya mata tanpa membuat sebarang persediaan! Fikir sebelum bertindak.
Jangan disebabkan keegoan anda, nasib hidup anak anda diperjudikan!
Terdapat banyak persediaan yang perlu anda suami isteri lakukan sebelum anda bergelar ibu bapa.
Apa yang anda senyumkan itu? Bukan persediaan dari segi batin sahaja ya, malah bakal ibu bapa sepatutnya wajib bersedia dari segi emosi juga!
Penting untuk anda fahami betapa pentingnya bakal ibu bapa untuk bersedia secara emosi sebelum anda mengambil keputusan untuk mempunyai cahaya mata.
Mengapa pentingnya persediaan emosi?
Foto: iStock
Pentingnya bakal ibu bapa bersedia secara emosi sebelum anda membuat keputusan menimang cahaya mata adalah kerana:
- Membantu anda menyesuaikan diri dengan proses penimangan cahaya mata
Apabila anda sudah membuat persediaan rapi dari segi emosi, anda seperti dapat melihat masa depan.
Masa depan? Ya, kerana apabila anda betul-betul bersedia, segala yang telah dirancang akan terjadi seperti apa yang telah anda rancangkan.
Sama kesnya seperti ini. Cara anda menyesuaikan diri menunjukkan betapa bersedianya anda dalam menimang cahaya mata.
Sebelum kita mengambil peperiksaan, sudah tentu kita harus membuat ulangkaji dan latihan, bukan? Apabila semuanya sudah dilakukan persediaan yang rapi, segalanya akan menjadi mudah.
- Memudahkan urusan apabila bayi lahir kelak
Pentingnya bakal ibu bapa membuat persediaan yang teliti dari segi emosi adalah apabila segala urusan menjadi lancar sepanjang proses kehamilan sehinggalah apabila bayi telah lahir kelak.
Hal ini demikian kerana, anda telah membuat persediaan yang rapi, dan jika ada sesuatu yang tidak seperti dalam perancangan, anda semestinya tidak akan berasa ralat disebabkan oleh persediaan yang cukup rapi daripada anda dan pasangan.
Penting untuk anda dan pasangan bersedia dari segi emosi supaya anda berdua tahu akan tanggungjawab masing-masing supaya anda tidak saling menyalahkan apabila sesuatu konflik berlaku.
Sebagai contoh, bayi anda telah lahir dan dia tidak henti-henti menangis pada waktu 3 pagi. Anda dan pasangan kedua-duanya dalam kepenatan dek kesibukan bekerja dan juga disebabkan oleh tanggungjawab sebagai ibu bapa. Tidak mustahil anda akan menjadi terlampau emosi seterusnya menyalahkan pasangan anda.
Hal sebegini dapat dielakkan sekiranya anda dan pasangan cukup bersedia secara emosi sebelum menimang cahaya mata.
Ini caranya
Foto: iStock
Disebabkan persediaan secara emosi sangat penting sebelum anda dan pasangan memilih untuk menimang cahaya mata, terdapat beberapa tips dan cara yang akan saya kongsikan di bawah:
- Menyemai sifat saling memahami bersama pasangan
Sebelum mengambil keputusan untuk menimang cahaya mata, anda dan pasangan haruslah saling memahami antara satu sama lain. Hal ini bukan sahaja penting untuk keharmonian rumah tangga, malah ia juga penting untuk menunjukkan bahawa anda sudah pun bersedia dalam segi emosi untuk menimang cahaya mata.
Mengapa? Jika anda sendiri masih tidak mempunyai sifat saling memahami serta bertolak ansur bersama pasangan, bagaimana agaknya nanti apabila anda sudah mempunyai cahaya mata?
Jadi, sebelum anda betul-betul membuat keputusan dan betul-betul yakin untuk menimang cahaya mata, kenali dan selami pasangan anda sedalam-dalamnya dahulu, ya?
- Tidak menaruh harapan terlalu tinggi
Penting untuk anda dan pasangan tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi. Sebaliknya, gunalah prinsip go with the flow.
Ketidaksediaan dari segi emosi akan menyebabkan anda terlalu cepat menaruh harapan dan apabila sesuatu itu tidak terjadi, misalnya kehadiran cahaya mata; ia akan membuatkan anda dan pasangan terus berputus asa.
Jadi, jangan meletakkan harapan setinggi gunung, ya? Usaha dan seterusnya tawakal kepada Dia.
- Tidak mengambil mudah akan tanggungjawab sebagai sepasang ibu bapa
Untuk bergelar seorang ibu bapa, ia bukanlah sesuatu yang boleh kita pandang enteng. Menjadi ibu bapa bukanlah sekadar hanya pada gelaran malah, banyak tanggungjawab yang perlu anda galas setelah anda bergelar ibu bapa.
Jangan sewenang-wenangnya memandang tugas seorang ibu bapa ini sebagai sesuatu yang mudah kerana kelak, ia akan memakan diri anda sendiri.
Tanggungjawab seorang ibu bapa bukan hanya menyusukan bayi serta mengagah bayi tetapi anda juga harus menguruskan lampin bayi serta mencuci jeluak anak anda, malah anda juga perlu sentiasa mengeluarkan wang bagi membeli lampin dan juga pakaian bayi yang cepat membesar.
Bersediakah anda?
Anda semestinya sudah bersedia dari segi emosi apabila anda mengerti bahawa besar tugasnya apabila bergelar seorang ibu bapa.
Anda dan pasangan boleh mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar yang bertauliah bagi menyediakan diri anda secara emosi. Bahkan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada sahabat handai yang sudah mempunyai cahaya mata atau pun daripada sepupu sepapat atau saudara mara anda sendiri.
Lain orang, lain cara dan melalui kaedah ini, anda boleh mempelajari pelbagai tips dan petua yang pelbagai. Anda juga akan lebih bersedia dari segi emosi melalui cara ini.
Jika tiada persediaan apa akan berlaku?
Foto: iStock
Apabila kita bercakap mengenai kesan, terdapat dua jenis kesan yang dapat kita ketahui iaitu kesan positif dan kesan negatif. Namun, mari kita focus tentang kesan negatif yang bakal terjadi jika ibu bapa tidak bersedia secara emosi sebelum menimang cahaya mata.
- Risiko meroyan dan tekanan
Apabila anda tidak mempunyai kesediaan yang cukup dari segi emosi, kaum ibu terutamanya akan menghadapi risiko meroyan dan tidak mustahil juga untuk si ayah menghadapi tekanan.
Ini bukan hanya memberi kesan kepada diri anda dan pasangan seperti selalu dibelenggu tekanan dan keletihan, malah anak anda yang baru dilahirkan juga akan merasai kesannya.
- Memberi kesan kepada hubungan anda bersama pasangan
Hubungan anda dan pasangan akan menjadi keruh dan tidak seindah dahulu. Gurau senda akan bertukar menjadi keluh kesah dan amarah. Perkara yang remeh akan sentiasa diungkit dan dipersalah.
Itu adalah antara akibat anda tidak membuat persediaan yang rapi dari segi emosi.
Jadi, jangan lupa untuk nilai tahap kesediaan emosi anda sebelum anda mengambil keputusan untuk mempunyai cahaya mata, ya? Janganlah apabila sudah terhantuk, baru mahu tengadah.
Sumber: The New York Times
Baca juga: Ragam Menarik & Unik Ibu-Ibu Baru, No.3 Pasti Semua Pernah Alami
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!