Ada yang mungkin menganggap beberapa perkara berkaitan anak yang dirasakan biasa tetapi sebenarnya pada pandangan pakar ia perlu diperbetulkan. Ia termasuklah masalah persepsi visual.
Tahukah anda, kemampuan persepsi visual dan kemampuan diskriminasi visual anak sangat penting untuk menyokong perkembangan aktiviti, serta kelancaran pembelajaran anak.
Jika pada pandangan mata kasar kita hanya nampak ia mungkin hanya berkaitan pancaindera penglihatan saja, tetapi sebenarnya ia berkaitan dengan cara otak anak memproses apa yang dilihat.
Persepsi visual bukan hanya mata, tapi ia berkaitan keupayaan otak
Penting untuk ibu bapa tahu kategori persepsi visual berkaitan manusia supaya mudah untuk kita memantau perkembangan anak.
#1. Diskriminasi visual
Kemampuan mengenali dan membandingkan sifat sesuatu benda untuk menyamakan atau membezakan dengan benda lain. Contohnya membezakan huruf P dan R atau memasang puzzle.
#2. Visual figure ground
Kemampuan mencari objek di atas sesuatu yang penuh atau atas warna yang sama. Contohnya cuba mencari pensel warna berwarna biru di atas permukaan berwarna biru yang sama.
Mengenali baju bercorak bunga dalam almari pakaian yang penuh.
#3. Ingatan visual
Kemampuan mengingat sesuatu yang pernah dilihat dan membayangkan apa yang pernah dijelaskan oleh guru ketika ujian. Kemampuan membezakan turutan simbol atau huruf. Ini sangat berkait rapat dengan menyalin kembali tulisan yang dituliskan di papan putih tanpa keliru.
#4. Visual closure
Kemampuan mengenali objek, huruf atau gambar apabila hanya melihat separuh daripadanya. Atau melihat huruf berkenaan dalam keadaan tidak lengkap.
#5. Kesedaran visual special
Kemampuan memahami tempat dan hubungan suatu objek dengan objek yang lain menggunakan jarak pada huruf dan sebagainya. Memahami peta dan grafik serta memahami ruang peribadi seseorang.
#6. Koordinasi motor visual
Kemampuan menghubungkan maklumat yang dilihat dengan mata dan gerakan yang dilakukan tubuh. Contohnya keupayaan menyambut bola.
5 tanda persepsi visual anak prasekolah kurang baik, ganggu kemahiran menulis
Menurut pakar terapi cara kerja, Mahfuzah Zainol, antara tanda persepsi visual anak kurang baik termasuklah:
- Tiada jarak atau spacing di antara perkataan.
- Ketidakseimbangan menulis huruf – tinggi rendah dan saiz kecil dan besar yang tidak sekata.
- Tidak boleh menulis di atas garisan – sering tersasar daripada garisan
- Menulis huruf secara terbalik
- Sering tertinggal huruf yang disalin. Contohnya, kereta menjadi kerta dan sebagainya.
Katanya, tulisan terbalik, tiada jarak dan huruf tinggi rendah adalah fenomena biasa untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun. Namun, harus diperbetulkan oleh ibu bapa dan guru.
Jika masih menulis terbalik sehingga umur 8,9 tahun dan seterusnya, mungkin guru boleh buat senarai semak Instrumen Senarai Semak Disleksia (ISD) atau Instrumen Pengesanan Murid Bermasalah Dalam Pembelajaran (IPMBDP).
Selepas itu boleh rujuk kepada doktor Pakar Perubatan Keluarga yang terdapat di klinik-klinik kesihatan berhampiran untuk tujuan diagnosis dan intervensi.
Aktiviti bermain tingkatkan kemahiran menulis
Masalah perlu dikenal pasti sebelum mencuba untuk membantu kanak-kanak yang mengalami kesukaran menulis. Jika kanak-kanak itu mempunyai masalah kemahiran motor halus atau pembentukan huruf, masalahnya mungkin berkaitan fizikal.
Sekiranya kanak-kanak itu tidak boleh mengingat bagaimana untuk menulis salah satu huruf daripada senarai abjad atau mengambil masa untuk mengambil keputusan apa yang patut ditulis, maka mungkin ada isu kognitif.
Kebanyakan masalah menulis adalah faktor fizikal. Latihan motor halus membantu, tetapi penggunaan motor kasar sama pentingnya. Menulis melibatkan postur badan dan penggunaan tangan, lengan, kepala, dan mata dengan betul.
Antara aktiviti bermain yang dapat meningkatkan kemahiran menulis adalah :
#1. Aktiviti di taman permainan
Bermain buaian, gelongsor dan palang bergayut membolehkan kanak-kanak memanjat, menggantung dan melompat. Aktiviti-aktiviti ini membantu kanak-kanak dalam merangsang semua deria rasa.
#2. Aktiviti permainan luar
Bermain ‘kereta sorong manusia’, merangkak melalui terowong, badminton dan permainan bola keranjang dapat membantu menghubungkan laluan motor-neural yang diperlukan untuk menulis
#3. Permainan tradisional & lagu-lagu bertepuk
Melibatkan kanak-kanak dalam permainan yang memerlukan koordinasi mata-tangan seperti ‘batu seremban’, ‘kalau anda gembira’, pick-up sticks, guli dan teng teng.
#4. Masa memasak, membentuk playdough
Memasak dengan anak anda. Biarkan mereka menguli doh, menggulung dan memotong dengan pemotong permainan atau bermain dengan set memasak Selain itu, aktiviti mengukir atau membentuk play dough atau tanah liat juga adalah antara aktiviti yang membantu motor skill kanak-kanak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Umur 2 TahunTapi Masih Cakap Sepatah-Sepatah? 3 Ciri Late Talkers Yang Boleh Dikenalpasti
Baca juga: Betul Ke Anak Lahir Hujung Tahun Selalunya Lambat ‘Pick Up’? Ini Penjelasannya