Preeklampsia Pada Ibu Hamil: Ketahui Penyebab, Tanda & Cara Mengatasi

Preeklampsia adalah tekanan darah tinggi dan adanya protein dalam urin yang biasanya terjadi pada minggu ke-20 kehamilan atau lebih awal

Ketika seorang wanita hamil, adalah normal sekiranya anda mula merasai ada banyak perubahan yang terjadi pada diri termasuklah gangguan kesihatan seperti  preeklampsia pada ibu hamil atau tekanan darah tinggi.

Tekanan darah tinggi semasa hamil, juga dikenali sebagai hipertensi kehamilan adalah keadaan perubatan serius yang boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin.

Apa Itu Preeklampsia Pada Ibu Hamil

Preeklampsia pada ibu hamil adalah keadaan serius yang berlaku semasa kehamilan, biasanya selepas minggu ke-20, yang dicirikan oleh tekanan darah tinggi yang ketara (tekanan darah sistolik melebihi 140 mmHg atau tekanan darah diastolik melebihi 90 mmHg) dan kehadiran protein dalam air kencing.

Keadaan ini juga dikenali sebagai “toksikosis kehamilan” atau “hipertensi kehamilan”. Masalah darah tinggi ketika hamil ini boleh terjadi pada pelbagai peringkat kehamilan, termasuk sebelum hamil (pregnant hypertension), semasa hamil (pregnancy hypertension), atau selepas bersalin (postpartum hypertension).

Selain menyebabkan tekanan darah tinggi, ia boleh menyebabkan organ seperti buah pinggang dan hati, tidak berfungsi dengan normal.

Mengalami tekanan darah tinggi boleh menyebabkan jantung anda tertekan dan menyebabkan masalah semasa hamil.

Preeklampsia adalah masalah kesihatan yang serius bagi wanita di seluruh dunia. Antara 10 hingga 15 peratus kematian ibu di seluruh dunia disebabkan oleh preeklampsia dan komplikasi yang berkaitan, seperti eklampsia.

Di Amerika Syarikat, ia menjejaskan antara 5 hingga 8 peratus kehamilan, dan dalam kebanyakan kes membawa kepada kelahiran pramatang. Kelahiran pramatang ialah kelahiran yang berlaku sebelum 37 minggu kehamilan.

Kebanyakan wanita dengan preeklampsia mempunyai bayi yang sihat. Tetapi jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang teruk untuk anda dan bayi anda.

Tanda-Tanda Preeklampsia Ibu Hamil

Tanda darah tinggi ketika hamil bagi kes ringan:

  • tekanan darah tinggi (tekanan darah yang melebihi 140/90 mmHg adalah tanda khas praeklampsia)
  • protein dalam air kencing

Tanda-tanda darah tinggi ketika hamil kes teruk:

  • Bengkak (edema): Biasanya berlaku di muka, tangan, kaki, atau pergelangan kaki.
  • Gangguan penglihatan: Seperti penglihatan kabur, kilatan cahaya atau sensasi bintik-bintik di hadapan mata.
  • Sakit perut atas: Rasa terbakar yang berada di bawah tulang rusuk.
  • sakit kepala
  • tidak tahan cahaya terang
  • keletihan
  • mual / muntah
  • kencing dalam kuantiti yang sedikit
  • rasa sakit pada sebelah kanan bahagian atas abdomen
  • sesak nafas
  • lebih senang untuk mendapat lebam.

Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami penglihatan yang kabur, sakit kepala yang teruk, sakit perut, dan / atau jika kencing anda jarang sekali.

Jika darah tinggi ketika hamil adalah teruk, anda mungkin dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian lebih dekat atau perlu melahirkan bayi secepat mungkin.

Doktor mungkin mempertimbangkan pemberian ubat tekanan darah tinggi atau untuk membantu paru-paru janin berkembang sebelum bersalin.

Penyebab Praeklampsia

Praeklampsia masih menjadi masalah kesihatan yang kompleks dan tidak difahami punca yang sepenuhnya. Walau bagaimanapun, beberapa faktor risiko telah dikenal pasti, termasuklah:

  • Keradangan saluran darah: Perubahan pada dinding saluran darah pada wanita hamil boleh menyebabkan aliran darah berkurangan ke plasenta dan membawa kepada tekanan darah tinggi.
  • Masalah dengan sistem imun: Perubahan dalam tindak balas imun badan terhadap kehamilan boleh menyebabkan keradangan dan kerosakan pada saluran darah.
  • Faktor genetik: Jika terdapat sejarah keluarga preeklampsia, risiko untuk mengalami keadaan ini mungkin lebih tinggi.
  • Hamil usia muda atau lebih tua: Risiko preeklampsia meningkat pada wanita yang hamil pada usia muda (di bawah 20 tahun) atau berusia (lebih 35 tahun).
  • Sejarah praeklampsia: Jika seorang wanita mengalami praeklampsia dalam kehamilan sebelumnya, terdapat risiko yang lebih tinggi untuk mengalami keadaan itu semula dalam kehamilan akan datang.

Apakah Faktor Risiko Kepada Berlakunya Keadaan Ini?

Berikut adalah beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan kemungkinan ibu hamil mengalami preeklampsia:

  • Ibu yang hamil buat pertama kali
  • Ibu yang mempunyai sejarah hipertensi kehamilan atau praeklampsia
  • Wanita yang mempunyai adik-beradik dan ibu dengan sejarah praeklampsia
  • Kehamilan kembar
  • Wanita berumur di bawah 20 tahun dan 40 tahun ke atas
  • Wanita dengan penyakit tekanan darah tinggi atau penyakit buah pinggang sebelum mengandung
  • Wanita gemuk dengan BMI 30 dan ke atas

Bagaimana untuk tahu jika saya mengalami praeklampsia?

Pada setiap pemeriksaan pranatal, doktor akan memeriksa tekanan darah, paras air kencing, dan melakukan ujian darah jika mereka mengesyaki anda mungkin mengalami praeklampsia.

Doktor juga boleh melakukan ujian lain untuk memeriksa fungsi ginjal dan pembekuan darah.

Imbasan ultrasound akan dilakukan untuk memeriksa pertumbuhan bayi anda dan imbasan Doppler pula untuk mengukur kecekapan aliran darah ke plasenta.

Cara Mengatasi

Doktor yang memberi rawatan akan menentukan cara terbaik untuk merawat praeklampsia. Rawatan secara amnya bergantung pada betapa teruknya preeklampsia, usia kehamilan dan kesihatan ibu mengandung.

Rawatan darah tinggi ketika hamil bertujuan mengawal tekanan darah dan mencegah komplikasi yang boleh membahayakan ibu dan janin dalam kandungan.

Berikut adalah beberapa aspek utama merawat preeklampsia semasa kehamilan:

  • Pemantauan berkala: Pemeriksaan perubatan yang kerap adalah penting untuk memantau tekanan darah, fungsi buah pinggang dan kesihatan janin. Kebiasaannya, lawatan pranatal akan menjadi lebih kerap bagi memastikan keadaan ibu dan janin dipantau dengan rapi.
  • Pemantauan tekanan darah: Tekanan darah tinggi adalah simptom utama preeklampsia. Rawatan biasanya bermula dengan mengawal tekanan darah untuk mengelakkan komplikasi lanjut. Doktor mungkin menetapkan ubat antihipertensi yang selamat digunakan semasa kehamilan.
  • Suplemen kalsium: Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan suplemen kalsium dos rendah semasa mengandung boleh membantu mengurangkan risiko preeklampsia pada wanita yang kurang pengambilan kalsium.
  • Pemantauan janin: Pemeriksaan rutin janin melalui ultrasound dan pemantauan jantung janin mungkin diperlukan untuk memastikan kesihatan dan pertumbuhan janin yang betul.
  • Rawatan untuk praeklampsia teruk: Dalam kes preeklampsia yang teruk, apabila risiko komplikasi sangat tinggi, doktor mungkin mengesyorkan bersalin awal untuk menyelamatkan ibu dan bayi. Walau bagaimanapun, keputusan ini mesti dinilai berdasarkan faedah dan risiko untuk ibu dan bayi.

Rawatan preeklampsia bergantung kepada keterukan keadaan dan usia kehamilan. Biasanya, ubat digunakan untuk mengawal tekanan darah tinggi dan mencegah komplikasi yang lebih serius.

Berikut adalah beberapa jenis ubat darah tinggi ketika hamil yang boleh dipertimbangkan doktor:

  • Aspirin: Pengambilan ubat darah tinggi setiap hari telah ditunjukkan untuk mengurangkan risiko anda mendapat preeklampsia sebanyak kira-kira 15%. Jika anda mempunyai faktor risiko untuk preeklampsia, doktor mungkin mengesyorkan memulakan aspirin pada awal kehamilan (menjelang kehamilan 12 minggu).
  • Ubat Antihipertensi: Digunakan untuk mengurangkan tekanan darah tinggi. Beberapa jenis ubat yang selamat semasa kehamilan termasuk methyldopa, labetalol, dan nifedipine.
  • Magnesium Sulfate: Digunakan untuk mencegah sawan (eklampsia) pada wanita yang mengalami preeclampsia yang teruk. Ini adalah rawatan istimewa yang biasanya diberikan di hospital.
  • Kortikosteroid: Dalam sesetengah kes, doktor mungkin menetapkan kortikosteroid untuk mempercepatkan kematangan paru-paru janin jika penghantaran awal diperlukan.

Makanan Untuk Ibu Hamil Preeklampsia

Bagi ibu hamil yang mengalami preeklampsia, pemakanan yang sihat dan seimbang sangat penting. Berikut adalah beberapa jenis makanan yang boleh membantu:

  • Sayuran hijau: Bayam, brokoli, dan sayuran hijau lain kaya dengan magnesium dan kalsium yang baik untuk tekanan darah.
  • Buah-buahan segar: Buah-buahan seperti oren, pisang, dan beri membantu mengawal tekanan darah kerana kandungan serat dan vitamin C.
  • Makanan kaya dengan protein: Ikan, ayam tanpa kulit, kacang, dan telur memberi protein yang penting untuk kesihatan ibu dan bayi.
  • Bijirin penuh: Oat, beras perang, dan quinoa membantu menstabilkan gula dalam darah dan memberikan tenaga berpanjangan.
  • Kacang dan kekacang: Kacang badam dan kacang buncis tinggi dengan nutrien yang baik untuk jantung dan tekanan darah.
  • Sumber lemak sihat: Minyak zaitun, avokado, dan ikan berlemak seperti salmon membantu menjaga kesihatan jantung.
  • Air yang mencukupi: Pastikan pengambilan air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi dan menstabilkan tekanan darah.
  • Kurangkan makanan yang tinggi garam, gula dan lemak tepu untuk mengawal gejala preeklampsia dengan lebih baik.

Selain itu, pastikan anda mengikuti langkah penjagaan bagi mengurangkan risiko terkena preeklampsia ketika hamil. Antaranya:

  • Lawatan Pranatal Berkala: Adalah penting untuk mengadakan lawatan pranatal secara berkala kepada doktor atau bidan untuk memantau tekanan darah dan kesihatan ibu dan janin. Penyeliaan perubatan yang betul adalah penting untuk mengesan masalah tekanan darah lebih awal.
  • Dapatkan Rehat yang Cukup: Pastikan mendapat rehat yang cukup dan tidur dengan selesa. Rehat yang baik boleh membantu menurunkan tekanan darah dan mengurangkan stres.
  • Rujuk Doktor Anda Mengenai Ubat: Jika tekanan darah tinggi anda tidak dikawal dengan langkah gaya hidup, doktor anda mungkin menetapkan ubat antihipertensi yang selamat digunakan semasa kehamilan. Adalah penting untuk sentiasa bercakap dengan doktor sebelum mengambil sebarang ubat semasa kehamilan.
  • Elakkan Ubat Herba atau Suplemen Tanpa Rundingan: Sesetengah ubat atau suplemen herba boleh berinteraksi dengan ubat lain atau mempunyai kesan negatif terhadap kehamilan. Sentiasa berunding dengan doktor anda sebelum mengambil ubat herba atau suplemen semasa mengandung.

Ubat darah tinggi ketika hamil

Adakah praeclampsia hilang selepas bersalin?

Praeclampsia biasanya hilang dalam beberapa hari hingga minggu selepas bersalin.

Kadangkala, tekanan darah anda boleh kekal tinggi selama beberapa minggu selepas bersalin, memerlukan rawatan dengan ubat.

Doktor akan memantau kesihatan ibu selepas kelahiran bagi menguruskan tekanan darah anda. Orang yang mengalami preeklampsia – terutamanya mereka yang mengalami keadaan ini pada awal kehamilan – berisiko lebih tinggi untuk tekanan darah tinggi (hipertensi) dan penyakit jantung di kemudian hari.

Mengetahui maklumat ini, individu tersebut boleh bekerjasama dengan doktor bagi mengambil langkah mengurangkan risiko darah tinggi ketika hamil.

Bilakah Saya Perlu Berjumpa Dengan Doktor?

Mengalami tekanan darah tinggi ketika hamil boleh meragut nyawa ibu mengandung. Jika anda sedang dirawat untuk keadaan ini, pastikan berjumpa doktor mengikut tarikh temu janji yang telah ditetapkan.

Segera berjumpa doktor jika anda mengandung dan mengalami beberapa perkara berikut:

  • Gejala-gejala seperti kejang atau sawan.
  • Sesak nafas.
  • Sakit yang tajam di perut anda (khususnya sebelah kanan).
  • Penglihatan kabur.
  • Sakit kepala yang teruk yang tidak akan hilang.
  • Tompok hitam dalam penglihatan anda yang tidak hilang.

Buat masa ini, belum ada lagi cara yang pasti untuk mencegah keadaan ini, tetapi ia boleh dikawal dengan pemakanan yang sihat dan senaman.

Antara beberapa tips bagi mencegah praeklampsia adalah:

  • Menurunkan berat badan jika anda mempunyai berat badan berlebihan/obesiti (sebelum kenaikan berat badan berkaitan kehamilan).
  • Mengawal tekanan darah dan gula darah (jika anda mempunyai tekanan darah tinggi atau kencing manis sebelum hamil).
  • Kurangkan garam dalam makanan anda.
  • Minum 6-8 gelas air sehari.
  • Jangan makan terlalu banyak makanan goreng dan makanan ringan.
  • Dapatkan rehat yang cukup.
  • Amalan senaman ringan yang kerap.
  • Tinggikan kaki beberapa kali sehari.
  • Elakkan minum alkohol.
  • Elakkan minuman yang mengandungi kafein.
  • Doktor mungkin akan mencadangkan ubat dan vitamin tambahan.

Semoga artikel ini bermanfaat.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga: PCOS Atau Sindrom Polisistik Ovari: Apa Itu PCOS, Tanda & Risiko Pada Kesihatan Wanita

Baca juga: Kencing Manis Semasa Mengandung (GDM): Punca, Tanda & Risiko Pada Ibu Serta Bayi

Baca juga: Plasenta Previa Atau Uri Di Bawah: Punca, Tanda Placenta Previa Dan Komplikasi

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!