Ketika berada di fasa awal perkahwinan, kebanyakan pasangan suami isteri akan mengatakan tiada rahsia dalam hubungan. Namun hakikatnya dalam tidak sedar dengan pasanganlah kita cenderung untuk berahsia dan memendam rasa.
Ada yang kata tak nak kongsi masalah sebab tidak mahu pasangan risau atau susah hati. Ada juga jadi berahsia disebabkan pasangan tidak menjadi pendengar yang baik. Bagi mereka hanya menambahkan tekanan. Lebih baik tidak payah kongsi cerita apa-apa.
Suka rahsia dengan pasangan boleh menjejaskan hubungan
Seorang wanita, Farhana Fizal telah berkongsikan pandangannya mengenai suami ataupun isteri yang suka berahsia.
Sikap suka berahsia dengan pasangan ini boleh membentuk hubungan tanpa komunikasi yang baik. Masing-masing memendam, menyimpan dan kemudian akhirnya langsung tiada komunikasi.
Dua-dua amik langkah berdiam. “Silent treatment” katanya. Yang mana sebenarnya ia jadi “silent killer” kepada hubungan itu. Perlahan-lahan tanpa sedar.
Komunikasi ini ibarat jantung kepada sesebuah perhubungan. Bila tiada jantung, kita akan mati. Begitu jugalah dengan hubungan. Tanpa komunikasi, ia juga akan mati.
Sering atau acapkali akan ada soalan. “Kalau saya je yang nak berbincang, pasangan tak nak macam mana?” Baiklah. Saya juga pernah lalui situasi macam ni.
#1. Mulakan dengan minta maaf untuk melembutkan hati
Kita tahu masa bila pasangan kita okay ataupun tidak. Takkan sepanjang masa kita bertengkar kan? Jadi, masa tengah berbaik tu, ambil tangannya dan pegang. Mulakan dengan minta maaf. Mesti, mesti mulakan dengan maaf.
#2. Ajak berbincang dengan baik
Kemudian, ajak dia pandang mata kita, mulakan pula dengan tanya apa yang dia tidak selesa dengan kita. Bukan beritahu apa yang kita tidak selesa.
“Sayang, boleh tak share dengan saya, selama ni, apa yang awak tak happy dengan saya. Saya nak baiki.” Pastu dia cakap la kan. Kalau dia cakap takde apa, takpe. Jangan paksa dulu. Baru nak mula kan.
Tanya dia pula, “Boleh tak saya nak kongsi, apa yang kita sama-sama boleh baiki?” Baru cakap secara baik, apa isu atau konflik yang kita nampak.
#3. Elakkan ayat yang berjela-jela hingga menimbulkan kemarahan
Sekali lagi, ucapan maaf mesti sentiasa diselang selikan sepanjang sesi perbincangan hati ke hati ni. Mesti! Kerana ungkapan maaf umpama magik yang sangat membantu melembutkan hati.
Mulakan sikit dulu. Elakkan berjela-jela sampai trigger kemarahan pula. Andaikata dah rasa bunga-bunga ammarah tu, cepat-cepat buat deep breathing. Buat sampai dapat rasa tenang dan rasional, baru mula semula.
#4. Peluk pasangan
Akhiri perbincangan dengan pelukan. Minimum pelukan 2 minit. Untuk kita saling bertukar cas positif dan negatif dalam diri kita dan dia. Dan kembali memulakan hubungan dengan nafas baru yang bahagia.
Cakap senanglah. Kau tak tau laki atau isteri aku macam mana. Huhu. Kawan-kawan pun tak tau macam mana agresifnya saya dan suami sebelum-sebelum ini bila bertegang. Kami dah laluinya, dan Allah sayang kami. Allah izinkan kami menjadi seperti hari ini.
Nak baiki rumahtangga ni, wajib kita berusaha sehabisnya. Kerana rumahtanggalah asbab kita ke syurga atau neraka. Yakinlah seyakinnya dengan cinta dan kasih sayang Allah pada kita.
Berjuanglah kita sehabisnya. Demi diri sendiri dan dia (suami/isteri) juga seluruh keturunan kita, dengan lajunya menuju cahaya yang membawa kita kepada jambatan sidratun muntaha dan seterusnya kekal abadi di syurga bersama.
Sikap suka rahsia dengan pasangan boleh mendorong seseorang untuk curang
Menurut pakar dalam hubungan psikoterapi, Esther Perel dalam rancangan Youtube ”Rethinking Infedility,” ada tiga perkara utama yang mendorong seseorang individu untuk berlaku curang.
1. Kerahsiaan
Bersikap ‘transparent’ dengan pasangan masing-masing sangat penting untuk menjadikan sesuatu hubungan itu lebih dipercayai dan mudah dijangka. Bila sepanjang dalam hubungan kita kerap rahsia pelbagai perkara, akan timbul suatu waktu tanpa kita sedari, diri sendiri atau pasangan boleh berubah hati.
Sebagai contoh kalau kita ada kawan-kawan berlainan jantina, jangan berahsia dengan pasangan. Sebaiknya pasangan kita tau dan kenal dengan siapa kita berkawan.
Begitu juga dengan sebarang hubungan komunikasi berbentuk message atau conversation dengan orang lain.
Aktiviti-aktiviti rahsia begini walaupun pada awalnya tiada apa-apa, akhirnya ia cenderung untuk berakhir dengan kecurangan. (Jadi bukan sebab bini pakai baju kelawar dan bukan juga sebab suami asyik pakai kain pelekat)
2. Keintiman/keinginan dalam hubungan fizikal
Dalam perkahwinan, manusia bukan setakat inginkan hubungan fizikal semata-mata tetapi manusia juga inginkan penglibatan emosi dan penghayatan yang sebenar apabila bersama.
Dalam hal ini, pasangan yang melakukan hubungan intim tanpa melibatkan emosi yang mendalam cenderung untuk berlaku curang. Bila seseorang individu tak dapat merasai emosi yang mendalam (pada diri dia sendiri) ketika bersama pasangan, dia cenderung untuk mencari pihak ketiga bagi memenuhi keperluan emosi tersebut.
Perlu diingatkan kecurangan tidak semestinya berlaku apabila terjalin hubungan fizikal sahaja. Malah menonton laman web terlarang juga adalah salah satu tindakan curang dalam hubungan.
3. Persefahaman emosi
Menurut penjelasan Esther Perel, pasangan sebenarnya perlu sentiasa berbincang dan memahami keperluan emosi satu sama lain. Keperluan emosi ini perlu dipenuhi kerana fitrah manusia tidak suka berada dalam situasi hidup yang mendatar dan bosan.
Tahu tak setiap manusia mempunyai ‘bahasa cinta’ (love language) tersendiri dan kebiasaannya love language antara pasangan adalah berbeza mengikut personaliti masing-masing?
Secara ringkasnya apabila kita tidak memahami dan memenuhi love language pasangan, hubungan tersebut akan timbul konflik dan pergaduhan.
Malah kekosongan emosi tersebut boleh mengakibatkan individu tersebut berlaku curang.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 11 Pantang Larang Ketika Bergaduh Suami Isteri, Jangan Naik Tangan & Biarkan Lebih Tiga Hari!
Baca juga: Tips Menyimpan Duit Suami Isteri Tanpa Stres, Pilih 3 Cara Mudah Ini Dapat Simpan Banyak!
Baca juga: Suami Isteri Perlu Sediakan 1 Fail Keluarga Yang LENGKAP, Penting Bila Berlakunya Kematian!