Saban tahun kos sara hidup semakin meningkat. Bagi mereka yang berkeluarga dan memiliki anak ramai, pengurusan kewangan amat penting agar dapat menampung segala bayaran persekolahan, keperluan harian dan lain-lain. Justeru apa kata anda semak beberapa tips menyimpan duit suami isteri ini!
Bagi orang yang tidak pernah menabung, pada awalnya memang agak terasa berat dan sukar untuk simpan duit. Hal ini kerana setiap wang kertas yang ada di dalam beg pasti akan digunakan bagi tujuan tertentu.
3 tips menyimpan duit suami isteri mengikut kemampuan
#1. Cara simpan duit dengan ekstrim
Seorang penasihat kewangan, Hafizul Hakim telah berkongsikan tips menyimpan duit suami isteri dengan cara yang ekstrim untuk dapatkan angka yang diinginkan.
Tips simpan duit cara ekstrim! Okay ini caranya:
- Sediakan pen, kalendar dan balang kosong.
- Main O-som (gunting, batu dan kertas) dengan pasangan. Pilih sama ada nak nombor genap atau ganjil.
- Katakan suami pilih nombor ganjil maka isteri dapat nombor genap lah.
Pada 1hb setiap bulan, suami masukkan RM1 dalam balang dan tanda ‘tick’ pada kalendar bertarikh 1hb. Esok harinya pada 2hb, isteri pula masuk RM2 ke dalam balang dan tick-kan pada 2hb pada kalendar.
3hb suami masukkan RM3, 4hb isteri masukkan RM4, 5hb masukkan suami RM5 dan seterusnya. Begitu, mudah je kan.
Senang cerita, masukkan duit dalam balang kosong dengan jumlah yang sama macam tarikh hari tersebut.
Dan setiap hujung bulan. Ini hasilnya!
1+2+3+4+5+6+7+8+9+10+11+12+13+14+15+16+17+18+19+20+21+22+23+24+25+26+27+28+29+30 = RM465.00
Best kan! Seronok menyimpan macam ni!
#2. Simpan duit ikut warna
Manakala seorang wanita, Chienta Mul’aien berkongsikan pengalamannya menyimpan duit bagi membantu suami dan diri sendiri.
Kami tiada KWSP, jadi pecah tabunglah jawapannya. Rancang nak beli emas macam sebelum-sebelum ini, tapi ada keperluan lain yang perlu didahulukan. Alhamdulillah.
Hasil penat lelah saya berniaga siang dan malam. Pukul 3,4 pagi orang tidur, saya masih berniaga. Penat memang penat, tapi itu sahaja cara untuk bantu suami, diri sendiri dan keluarga.
Nak keluar bekerja tak boleh, tidak pandai belajar.
Cara saya menyimpan pula setiap kali belanja ada baki duit RM20/RM5 terus saya simpan ,tidak kisah baki duit dapat berapa keping, saya takkan usik kecuali terdesak.
Lagi satu, simpan dalam tabung yang tidak boleh buka tutup.
Selalunya orang cakap, ‘alah awak niaga boleh la simpan macam ni..’ Tapi sebenarnya saya menyimpan semua ini dari sebelum saya ada pendapatan sendiri.
Saya biasa hidup susah sebelum berkahwin, saya ibu tunggal selama 6 tahun, peritnya nak sara hidup sendiri masa tu. Mula-mula kahwin saya belajar menyimpan duit RM5 sahaja sebab masa tu saya tidak niaga macam sekarang. Hanya dapat duit belanja dan nafkah dari suami.
Setahun saya dapat dalam RM1K, dengan duit tu saya dapat buat belanja balik kampung dan beli baju raya.
Alhamdulilah sekarang suami pun dah berjangkit menyimpan duit RM20 & RM5. Yang untung bini dia. Harap dapat bagi semangat pada suri rumah semua
#3. Tips menyimpan duit untuk dapat RM3,000 setahun
Manakala jika anda ingin mengetahui cara simpan duit dengan angka lebih besar, boleh cuba perkongsian jadual simpan duit oleh Kate Ginting ini.
RM1 – Setiap hari masuk dalam tabung. Total setahun genapkan RM 400.
RM5 – Simpan setiap minggu 2 keping. Total genapkan setahun RM 500.
RM10 – Simpan setiap minggu 2 keping. Total setahun genapkan RM 1000.
RM20 – Simpan setiap bulan 2 keping. Total setahun genapkan RM 500.
RM50 – Simpan ikut bulan genap (Feb, April, Jun, Ogos, Oktober, Disember). Total setahun RM 300.
RM100 – Simpan ikut bulan ganjil (Januari, Mac, Mei, Julai, September, November). Total setahun RM 600.
TOTAL keseluruhan setahun RM3,300. Banyak kan?
Cara untuk suami isteri mula menyimpan duit bagi kegunaan masa hadapan
#1. Menukar gaya hidup
Mungkin di awal perkahwinan, anda dan pasangan masih terbawa-bawa gaya hidup seperti orang bujang yang mahu kelihatan bergaya, memiliki kenderaan dan rumah yang besar.
Selepas berkahwin, kena sedar bahawa komitmen anda kini sudah berubah dan fokus pada pasangan dan anak-anak. Justeru ubahlah gaya hidup anda dengan pasangan mengikut kemampuan agar tidak dibebani masalah kewangan.
#2. Tetapkan matlamat menyimpan duit
Anda dan pasangan hendaklah meletakkan target jumlah simpanan agar lebih bersemangat. Sebagai contoh, ingin kumpul sebanyak RM10,000 setahun. Jadi duduk berbincang dan buat perancangan bagi mncapai matlamat ini.
#3. Kurangkan berhutang dan cuba berjimat
Elakkan sikap suka berhutang dengan orang sekeliling. Jangan gunakan kad kredit kerana ia boleh meningkatkan keinginan anda untuk berbelanja lebih. Jika ingin beli keperluan baru, sebaiknya kumpul duit dan bayar secara tunai kerana ia lebih jimat berbanding bayar secara ansuran.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh berjimat dengan menjual semula barangan yang sudah anda tidak gunakan lagi. Selain boleh menjimatkan ruang di rumah, bayaran yang diterima boleh dimasukkan ke dalam tabung simpanan anda.
#4. Pilih untuk makan di rumah atau bawa bekal
Sebagai isteri, jangan jadikan alasan tidak pandai masak atau tiada masa memasak untuk suami dan anak-anak. Air tangan seorang ibu penambat hati seluruh ahli keluarga. Sebenarnya anda dapat menjimatkan banyak duit jika tidak makan di luar.
Bukan itu sahaja, bawa bekal ke tempat kerja turut membolehkan anda menyimpan duit poket untuk kegunaan lain. Ingatlah bahawa makan hanya untuk kenyang sahaja, tidak perlu mewah dan sempurna.
Money can’t buy happiness adalah satu frasa yang sangat popular. Tapi sejauh manakah benarnya frasa ini?
Memang betul kebahagiaan tidak dapat dibeli dengan duit, tapi segala-galanya memerlukan duit. Jika anda dan pasangan belum ada simpanan, ia masih belum terlambat. Lakukannya sekarang!
Cuba tips simpan duit gaji yang kami kongsikan di atas. Mulakan dengan jumlah yang kecil pun tiada masalah. Asalkan ada simpanan untuk digunakan bila tiba hari yang ditimpa kecemasan tanpa diduga. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Gaji Pasangan Cukup-Cukup Makan, Kena Rajin Menyimpan, Tips Elak Bergaduh Sebab Duit!
Baca juga: Bersedia Untuk Ajar Anak Menyimpan Wang Sendiri? Ini Tips Menabung Yang Boleh Anda Praktik Bersama
Baca juga: Cara Buka Akaun Tabung Haji Untuk Anak Secara Online, Mudah Boleh Daftar Haji Sekali!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!