Ibu-ibu mempunyai bayi dan anak kecil yang masih menyusu badan, pasti pernah melalui pengalaman letih dan rasa mengantuk ketika sedang menyusukan mereka. Sambil menahan mata daripada terlelap, sudah beberapa kali menguap sambil tangan memegang bayi.
Situasi ini biasa dialami oleh ibu-ibu yang menyusu badan apabila berdepan dengan rasa letih dan mengantuk sewaktu melaksanakan tanggungjawab tersebut. Jadi, apakah penyebab dan cara mengatasi sewaktu berdepan keadaan ini?
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Penyebab rasa mengantuk sewaktu menyusu bayi
- Cara elakkan mengantuk sewaktu menyusu bayi
Penyebab rasa mengantuk sewaktu menyusu bayi
Berdasarkan artikel pada laman Mom Advice Line diterangkan tentang penyebab kepada rasa letih dan mengantuk ini sewaktu sedang menyusukan bayi. Situasi tersebut dialami oleh ibu-ibu yang lain, ditambah lagi dengan rasa letih kerana tidak cukup tidur atau berjaga malam kerana anak menangis.
Salah satu penyebab kepada situasi ini disebabkan oleh hormon. Ketika ibu sedang menyusukan bayi, badan anda melepaskan prolaktin iaitu suatu hormon yang bertanggungjawab dalam penghasilan susu badan.
Bagaimanapun, prolaktin ini juga boleh menyebabkan seseorang ibu tersebut mengantuk dan hormon ini juga sedia maklum membuatkan ibu-ibu berasa dalam keadaan tenang seterusnya, merehatkan badan.
Sewaktu hormon prolaktin dilepaskan, di situ juga adanya kehadiran hormon oksitosin yang mana ia mengurangkan tekanan dirasai sekali gus membantu ibu untuk berehat. Dengan kehadiran kedua-dua hormon ini, jadi suatu yang normal apabila ibu berasa mengantuk tatkala menyusu bayi ditambah pula dengan letih menjalankan tugas sebagai ibu.
Cara elakkan mengantuk sewaktu menyusu bayi
Memetik laman web kumparanMOM, terdapat pelbagai cara yang ibu boleh lakukan bagi mengelakkan rasa mengantuk ketika menyusu bayi anda.
1- Minum air secukupnya
Pastikan ibu minum air secukupnya dalam sehari bagi mengelakkan kekurangan air di dalam badan. Selain itu kurangkan pengambilan minuman mengandungi kafein.
2- Jaga pemakanan
Pastikan makan makanan yang seimbang diperlukan oleh tubuh badan kerana ia dapat membantu melawan keletihan sewaktu menyusu. Ibu yang menyusu bayi memerlukan kira-kira 400 higga 500 kalori lebih banyak daripada orang lain iaitu sekitar 2,300 hingga 2,500 kalori secara keseluruhan.
3- Kekal aktif
Melakukan aktiviti yang membuatkan ibu kekal aktif dan menyegarkan tubuh badan, misalnya senaman atau berjalan. Ia membolehkan ibu untuk banyak bergerak selain meningkatkan tenaga anda.
4- Tidur siang hari
Ambil sedikit masa kira-kira 10 hingga 20 minit untuk melelapkan mata tidur seketika dan ini membantu menyegarkan badan. Bagaimanapun, berhati-hati dan jangan pula tidur sewaktu sedang menyusu bayi.
5- Pengambilan suplemen
Ibu boleh mengambil suplemen namun adalah lebih baik bertanyakan dahulu kepada doktor berkenaan suplemen yang sesuai untuk anda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Puting Melecet & Luka Kerana Menyusu Badan? Ini Punca & Cara Merawat Dengan Mudah!
Baca juga: Benarkah Susu Badan Akan Kering & Tak Berkhasiat Jika Ibu Menyusu Minum Alkohol?