Senang hati ibu apabila melihat si manja berselera makan, lagi-lagi jika badan si manja agak kecil untuk usianya. Sekiranya anak anda kurang selera makan, para ibu boleh mencuba resepi sweet potato untuk bayi ini bagi menaikkan selera dan berat si manja.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Resepi sweet potato untuk bayi bagi menaikkan selera dan berat badan anak
- Kebaikan memperkenalkan si manja kepada ubi keledek
- Ubi keledek patut ditambah dalam menu makanan si manja, jadikan ia pilihan terbaik anda
Resepi ubi keledek yang bakal kami kongsikan sangat mudah untuk disediakan. Ibu-ibu bekerjaya yang sibuk pun boleh siapkan makanan anak dalam masa yang singkat sahaja tanpa perlu berpanas dan letih-letih di dapur.
Resepi sweet potato untuk bayi yang mampu menaikkan selera si manja
Kini, terlalu banyak resepi yang kreatif tetapi mudah yang boleh disediakan oleh ibu dan ayah bagi menaikkan selera makan anak, seraya menaikkan berat anak juga agar mereka membesar dengan sihat dan cergas.
Ibu ayah bolehlah take note resepi yang bakal kami kongsikan ini supaya boleh siapkan hidangan untuk si manja nanti! Kami akan berkongsi beberapa resepi ubi keledek bagi setiap tahap umur anak anda.
Yang penting, no salt no sugar!
#1) Puri ubi keledek dan epal (6 bulan >)
Bahan diperlukan:
-
- 1 biji epal bersaiz sederhana
- 1 biji ubi keledek bersaiz kecil
- Air secukupnya
Cara penyediaan:
- Pastikan perkakas hidangan yang si manja gunakan telah dinyahkuman dengan merendam dalam air panas.
- Cuci bersih epal dan ubi keledek di bawah air kemudian kupaskan kulit kedua-duanya. Selepas mengupas, potong dadu epal dan ubi keledek dan kukuskan supaya lebih lembut agar senang untuk dilumatkan kemudian.
- Setelah siap dikukus, epal dan ubi keledek akan bertukar warna seakan-akan lut sinar. Kisarkan bersama sedikit air hingga menjadi cecair puri yang tidak terlalu pekat, atau terlalu cair.
#2) Sup lobak bersama ubi keledek (9 bulan >)
Bahan diperlukan:
-
- 2 lobak bersaiz kecil
- 1 keledek bersaiz kecil
- 1 sudu teh mentega / minyak zaitun
- Air seperti yang diperlukan
Cara penyediaan:
- Cuci bersih lobak dan keledek dan kemudian potong dadu.
- Panaskan mentega dalam periuk dan masukkan lobak serta keledek yang telah dipotong sebentar tadi
- Masukkan air secukupnya hingga sayuran yang dimasukkan berubah menjadi lembut.
- Alihkan dari dapur, sejukkan, kemudian kisarkan.
- Masukkan air secukupnya, dan rebuskan sehingga sedikit mendidih.
#3) Jejari keledek (12 bulan >)
Bahan diperlukan:
-
- Ubi keledek
- Serbuk roti
Cara penyediaan:
- Cuci bersih keledek yang anda hendak gunakan dan kemudian kupaskan dalam kuantiti yang diingini. Kukuskan sehingga masak dan lembut.
- Setelah siap dikukus, lenyekkan keledek tapi tidak perlu terlalu hancur hingga lumat. Cukup sekadar untuk mudah dibentuk.
- Bentukkan keledek dalam bentuk jejari. Jika keledek terlalu lembut, boleh tambahkan tepung supaya lebih keras.
- Salutkan jejari keledek yang telah dibentuk dengan serbuk roti dan gorengkan. Toskan minyak sebelum dihidang.
Kebaikan memperkenalkan si manja dengan ubi keledek manis
Resepi-resepi ubi keledek di atas memang mudah untuk disediakan, tetapi lebih baik untuk para ibu ayah tahu tentang kebaikan ubi keledek agar lebih bersemangat untuk sediakan sayuran ini kepada si manja.
- Sumber vitamin A dan karoten. Ubi keledek mempunyai kandungan karoten yang tinggi yang boleh menjadi bantuan untuk tubuh si bayi memproduksikan vitamin A. Dengan vitamin A, si manja anda boleh meningkatkan fungsi badan dengan efisien, dan meningatkan kesihatan mata.
- Mengelakkan sembelit. Sekiranya si manja anda mempunyai masalah untuk membuang air besar, ubi keledek bagus untuk membendung permasalahan tersebut disebabkan ia dipenuhi dengan fiber dan serat yang boleh membantu si manja untuk membuang air besar dengan lebih mudah.
- Menguatkan ketahanan badan si manja. Kandungan vitamin C yang tinggi dalam ubi keledek boleh membantu membina ketahan badan si manja. Ciri antioksidan dalam vitamin C dapat membantu menguatkan sistem imunisasi bayi anda dari terkena jangkitan dan penyakit.
- Kaya dengan mineral. Selain dari karoten, vitamin C dan fiber, ubi keledek juga kaya dengan mineral yang dapat membantu mewujudkan metabolisme yang sihat bagi diri si kecil. Ia juga boleh meningkatkan pembinaan tulang serta gigi bayi dan juga menguatkan kesihatan jantung anak.
- Tinggi karbohidrat. Jika anak anda bertubuh lebih kecil dari usianya dan beratnya juga agak ringan, karbohidrat yang terdapat dalam ubi keledek boleh membantu untuk menaikkan berat mereka namun jangan risau, kerana ubi keledek ini rendah lemak dan kolestrol!
Ubi keledek patut ditambah dalam menu makanan si manja, jadikan ia sebagai pilihan
Dengan pelbagai kebaikan vitamin dan zat yang terdapat dalam keledek, termasuklah cara penyediaannya yang mudah jika hendak dihidangkan kepada anak, ubi keledek memang sepatutnya ada dalam jadual pemakanan si manja anda!
Ia juga boleh menaikkan selera si manja kerana rasanya yang tidak begitu kuat, dan manis-manis. Tidak dinafikan lagi bahawa ubi keledek boleh menjadi salah satu makanan popular yang para ibu ayah boleh sediakan untuk anak.
Semoga perkongsian kali ini bermanfaat, dan selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Memiliki Rasa Berlemak & Manis, Ubi Keledek Kaya Vitamin Amat Bagus Untuk Ibu Hamil
Baca juga: Bila Waktu Sesuai Untuk Beri Bayi Makan Keju? Ini 3 Resepi Berasaskan Keju Yang Sangat Enak!
Baca juga: Resepi Makanan Bayi 1 Tahun Mudah, Lazat & Berkhasiat – Jom Cuba Ibu!