Anak mana yang tidak rindu ayah dan ibu mereka terutama bila tinggal berjauhan.
Pasti kita akan rindukan belaian, sentuhan dan senyuman mesra dari ibu tercinta. Merekalah yang membesar dan menjaga kita sejak kecil, jadi sebagai anak tentunya kita akan rindu saat itu.
Namun bagaimana jika kita langsung tidak pernah bersua apatah lagi menggenggam tangan ibu tercinta sejak dari kecil lagi?
Inilah yang berlaku kepada seorang pemuda bernama Mohamad Putera Zainuddin ini apabila kisahnya tular di laman Facebook.
Menurut laporan Harian Metro, menitis air matanya setelah mendapat tahu bahawa dirinya dijumpai di perhentian bas pada suatu ketika dahulu. Meskipun sedih diperlakukan sedemikian, namun dia percaya mungkin ada sebab mengapa ibu dan bapanya berbuat seperti itu.
Kisah Mohamad Putera Zainuddin, 21 tahun tular di Facebook setelah dia berkongsi ceritanya dengan memuat naik keratan akhabar bahawa dia pernah ditinggalkan di perhentian bas di Kampung Megat, Jalan Meran berdekatan Tasik Paya Bungor Kuantan sekitar 23 September 1996 semasa dia berusia 10 hari.
Rindu ayah dan ibu
Lantas sebab itu Mohamad Putera tergerak hati untuk mencari ibu dan bapa kandungnya sebelum ke Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah Kuantan di mana dia telah diambil oleh keluarga angkat sejak berumur sembilan bulan.
Malah ibu bapa angkatnya memang berterus terang dari awal sejak dia berada di tadika lagi.
Walau bagaimanapun Mohamad Putera menerima kenyataan itu dengan baik, dan dia juga merupakan anak tunggal dalam keluarga angkatnya dan dibesarkan di Muar Johor.
Meskipun kisah itu telah bertahun lamanya, namun Mohamad Putera tetap ingin tahu sama ada ibu bapanya masih hidup atau sebaliknya.
Pergi ke rumah pelindung kanak-kanak untuk mencari ibu bapa kandung
Disebabkan ingin mengenali dan mencari ibu bapa kandungnya, lantas Mohamad Putera pergi semula ke Rumah Kanak-Kanak tersebut untuk membuka fail peribadi miliknya bagi mendapatkan petunjuk dan lokasi tempat tinggal ibu bapanya.
Walau bagaimanapun, kakitangan rumah kanak-kanak itu sekadar menyerahkan fail sebelum meminta dirinya untuk membaca sendiri segala laporan dan maklumat diri.
Dia kini merupakan penuntut Diploma Pembantu Perubatan di Kolej di Seremban Negeri Sembilan.
Sedih dan luluh perasan bila baca keratan akhbar
Setelah membuka artikel di dalam keratan akhbar yang disimpan dalam buku rekod berkenaan, hatinya sedih dan luluh selepas habis membacanya.
Pada sangkaannya, mungkin dia dapat mencari ibu bapa kandungnya dengan mudah sebaik menerima rekod tersebut, namun sangkaannya jauh meleset kerana dia dijumpai di perhentian bas oleh seorang bidan kampung yang juga jururawat masyarakat ketika berusia 10 hari.
Namun walau apa yang terjadi, Mohamad Putera tidak pernah menyalahkan ibu bapanya, tapi akan terus berusaha mencari keluarga kandungnya itu.
Mohamad Putera menambah, beliau rasa terharu kerana ibu bapa kandungnya meninggalkannya dalam keadaan yang baik, lengkap dengan selimut, sarung tangan dan sarung kaki serta baju yang sangat comel.
Menurutnya, dia pasti ibu bapa kandungnya itu sangat menantikan kelahirannya dan mesti ada sebab mengapa ia terjadi.
Jika tidak dapat mencari ibu bapa kandungnya, sekurang-kurangnya dia ingin bertemu dan bersua muka dengan bidan kampung yang menemuinya itu kerana jika wanita berkenaan tidak menjumpainya, dia sendiri tidak tahu masih hidup atau sebaliknya.
Doa untuk kedua ibu bapa
Sememangnya kedudukan ibu bapa adalah sangat tinggi dalam Islam dan Allah SWT juga memerintahkan anak-anak agar sentiasa mentaati ibu bapa selagi tidak bertentangan dengan syarak.
Malah adalah dosa besar sekiranya anak menderhaka kepada ibu bapanya.
Ini antara doa yang terdapat dalam Al-Quran untuk ibu bapa:
#1. Surah Al-Isra’ ayat 24
رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksudnya, “…Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.’” (Surah al-Isra’, Ayat 24)
#2. Surah Ibrahim ayat 41
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya, “Tuhan kami, berilah ampun aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim, Ayat 41)
#3. Surah Nuh ayat 28
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا
Maksudnya, “Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan.” (Surah Nuh, Ayat 28)
#4. Surah An-Naml ayat 19
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya, “Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.” (Surah an-Naml, Ayat 19)
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: World Of Buzz
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
https://my.theasianparent.comhargai-ibu-bapa-anda
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!