Rumah sewa macam pusat pelupusan sampah bahkan, kandang lembu mungkin lagi kemas dan bersih. Itu yang dapat digambarkan menerusi perkongsian sebuah video di TikTok memperlihatkan sebuah rumah yang kotor dipenuhi sampah-sarap.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Rumah sewa kotor disewa suami isteri baru berkahwin
- Ada makanan berulat, lipas sana sini
Berdasarkan video dikongsikan pemilik akaun kamarina85, semua sudut rumahnya dari ruang tamu hingga ke bilik tidur serta bahagian dapur sangat kotor serta tidak dibersihkan dan dikemaskan. Seluruh lantai juga dipenuhi sampah-sarap, tidak nampak seperti sebuah kediaman.
Pada singki juga terdapat bekas makanan bungkus yang tidak dibuang selain periuk tidak dibasuh.
Rumah sewa kotor disewa suami isteri baru berkahwin
Menurut laporan Mstar, tuan rumah tersebut ialah Kamarina Komeng, 37, menyewakan rumahnya di perumahan flat di Pasir Gudang, Johor kepada pasangan suami isteri.
Wanita itu memberitahu, pasangan tersebut baru berkahwin serta menyewa rumahnya sejak pertengahan tahun lalu. Pada asalnya, mereka menyewa bilik di tempat lain yang bercampur penghuni lelaki di dalam rumah tersebut sebelum meminta sewa rumahnya.
Laporan itu menyebut, Kamarina dipetik berkata, isteri penyewa tidak bekerja ketika itu dan dia kasihan dengan mereka serta memberi peluang menyewa rumahnya.
Sewa yang dikenakan sebanyak RM500 untuk tiga bilik tidur namun, Kamarina berdepan pelbagai dugaan untuk mendapatkan bayaran tersebut daripada pasangan itu.
“Mereka selalu lambat bayar atau ada saja tunggakan. Jadi saya datang buat spot check. Saya tergerak hati untuk datang pada Januari lalu.
“Tapi kedua-duanya tiada di rumah. Saya masuk guna kunci pendua dan sebaik melangkah masuk, saya hanya mampu mengucap sebab keadaan dalam rumah sangat teruk,” katanya dalam laporan itu.
Ada makanan berulat, lipas sana sini
Dalam laporan itu, Kamarina menceritakan, terdapat makanan yang berulat bukan setakat di rumah tamu dan dapur malah, di dalam bilik tidur selain lipas kelihatan di sana sini.
“Di tandas pula ada seluar dalam lelaki dibiarkan di atas lantai. Tak dapat nak bayangkan macam mana suami isteri ini boleh duduk dalam rumah sekotor itu,” katanya dalam laporan tersebut.
Wanita itu yang bekerja sebagai guru kemudian menghubungi pasangan tersebut serta berpura-pura tidak tahu dengan keadaan rumah yang kotor.
“Saya tanya jika masih tak boleh bayar sewa, saya minta mereka keluar rumah secara baik.
“Mereka bersetuju untuk keluar dari rumah dan beberapa hari kemudian rumah ditinggalkan dalam keadaan yang telah dikemaskan, cuma kotor sikit-sikit tidak seteruk hari tu,” katanya.
Ujarnya lagi, dia tidak serik untuk menyewakan rumahnya lagi cuma wanita itu terkejut kerana pasangan suami isteri itu lemah lembut peribadi mereka.
“Suaminya handsome, isteri cantik dan mereka sentiasa berpakaian kemas. Mungkin sikap pengotor mereka tak dapat dijangka,” katanya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Rumah Kemas & Berkilat Di Pagi Raya, Ini 7 Rahsia Kemas Rumah Dengan Mudah
Baca juga: 6 Tips Kemas Rumah Dengan Anak Dari Marie Kondo Untuk Ibu Bapa Yang Selalu Penat
Baca juga: Jom Bongkar 5 Rahsia Bagaimana Cara Kemas Rumah Agar Selalu Nampak Teratur Saja!