Asingkan bekas cawan di kantin sekolah
Kecoh semalam apabila Free Malaysia Today melaporkan insiden sebuah sekolah di Hulu Langat, Selangor mengasingkan bekas minuman pelajar mengikut kategori “Islam” dan “Bukan Islam“.
Selepas tularnya berita tersebut, ramai ibu bapa dan netizen “naik angin” dan mendakwa sekolah itu sengaja ingin memecah belahkan kaum di Malaysia dan mempromosi “kebencian” atau “perkauman”.
Netizen yang naik angin ada sebab untuk berkata begitu.
Pihak berkuasa sekolah enggan mengulas lanjut tentang perbuatan di kantin sekolah terbabit. Tapi, ada seorang pekerja kakitangan kantin (nama dirahsiakan) mengatakan perbuatan mengasingkan cawan dan bekas air ini telah bermula sejak tahun lepas!
Pihak Kementerian ketika dihubungi menafikan perbuatan tersebut sebagai satu dasar pembelajaran.
Guru besar sekolah kata ia demi ‘kesihatan’ murid-murid
Selepas tindakan sekolah itu dikecam, Ketua Biro Pendidikan Pemuda MIC – Ganesan Seerangam telah mengatur temu janji untuk melawat sekolah terbabit.
Pada mulanya, guru besar sekolah itu enggan berjumpa dengan Ganesan. Tapi, beliau akhirnya bersetuju untuk menjumpai Ketua Biro terbabit, namun beliau tak dibenarkan ke kawasan kantin.
Menurut Ganesan, guru besar itu mempertahankan tindakannya mengasingkan bekas itu demi menjaga ‘kesihatan’ murid-murid.
“Guru besar itu kata ada beberapa murid membawa makanan tak halal ke sekolah. Sebab itu dia didorong untuk menyediakan cawan asing bagi murid Muslim dan bukan Muslim”.
Tapi, sekolah itu hanya ada 214 pelajar Melayu, 164 pelajar India dan 5 pelajar berbangsa Cina!
Rata-rata ibu bapa mengecam keras isu ini di Facebook dan Twitter.
Islam bukan sedemikian rupa
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan perbuatan itu sebagai “mendukacita” dan tak menggambarkan ajaran Islam yang sebenar.
Hal seupama ini tak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi di Malaysia yang ada pelbagai kaum ini, kan?
Islam tak mengajar kekerasan, malah lebih mengagungkan sifat bertoleransi.
Sebagai ibu bapa, apa yang boleh kita lakukan?
Janganlah ajar anak-anak anda erti kebencian terhadap kaum lain. Tiada kaum yang sempurna dan kita semua sama saja.
Keharmonian negara adalah asas penting dalam memelihara generasi yang sihat. Anda sebagai ibu bapa boleh melakukan beberapa perkara ini untuk mengelak muncul unsur kebencian dalam diri anak anda:
- Jelaskan tentang pelbagai kaum pada anak-anak
Mereka harus faham bukan satu kaum saja ada di Malaysia ini. Jangan anggap ia satu perkara tak penting.
Kalau anda nak tunjukkan pada anak-anak yang pelbagai kaum ada di Malaysia, anda boleh mula ajar dengan cara mudah – melalui patung permainannya.
Dari patung permainan mereka nanti, mereka dapat melihat kepelbagaian kaum.
- Ajar kepentingan setiap kaum
Tanpa sokongan satu sama lain, nescaya kita takkan hidup dengan harmoni. Ajarlah anak-anak anda betapa penting setiap kaum dalam mencorak keharmonian yang pernah kita capai dulu.
- Anda perlu bergaul dengan ramai orang juga
Mana tak tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi? Ha… jadi, anda pun kena beri contoh yang baik jika anda mahu anak-anak mempelajari sesuatu.
Marilah sama-sama kita menyemarakkan rasa cinta akan keharmonian dan nilai menghormati satu sama lain, pada keluarga dan anak-anak.
Negara yang harmoni kunci kejayaan generasi.
Sumber rujukan: Free Malaysia Today, Malaysia Kini, The Malaysian Insight dan Berita Daily
Kredit gambar: Free Malaysia Today
Baca juga:
Adakah Anak Anda Seorang Pembuli? Apa Yang Harus Anda Buat?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!