Hampir setiap hari penulis akan memandang sayu di kawasan surau yang terletak berdekatan dengan rumah, di mana keadannya sedikit lenggang yang terdengar hanyalah alunan azan yang berkemundang menandakan waktu
solat. Lalu terfikir adakah Solat Sunat Aidilfitri bakal berlaku di rumah sahaja?
Ia disebabkan penularan covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pihak kerajaan bagi mengekang wabak berjangkit itu dari terus menjangkiti lebih ramai orang.
Apatah lagi pabila mendengar lagu raya di corong-corong radio pasti hati sedikit bergetar kerana tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga di kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Walaupun kita bersedih, namun amanat dan saranan kerajaan jangan pernah kita abaikan kerana kita masih boleh melaksanakan kewajipan Solat Sunat Aidilftiri dan beraya dari rumah sahaja.
Walaubagaimanapun, tentu anda tertanya kan bagaimanakah perlaksanaan dan panduan untuk mengerjakan Ibadah Solat Sunat Aidilfitri di rumah.
Bagi membantu urusan ibadah anda nanti, Ustaz Khairul Anuar Basri berkongsi langkah dan cara mengerjakan solat hari raya beserta khutbah Aidilfitri oleh Dr Basri Husin.
Panduan Solat Sunat Aidilfitri di rumah
Sumber: Kosmo
“Tahun ini memang cemas, bukan sebab corona virus sahaja tapi ayah juga perlu jadi imam untuk solat tarawih dan witir di rumah bersama isteri dan anak-anak.
“Kemudian datang pula hari raya, cemas lagi sekali. Manakan tidak, masjid dan surah masih ditutup. Jadi sekali lagi, ayah kena jadi imam solat Aidilfitri di rumah masing-masing,” katanya.
Apapun, ayah-ayah jangan takut untuk jadi imam ya, sebab Ustaz sudah berkongsi panduan berikut:
1) Pertamanya adalah LAFAZ NIAT
“Sahaja aku Solat Sunat Aidilfitri, menjadi imam kerana Allah Ta’ala”.
2) Selepas membaca doa iftitah, takbir’ Allahu Akbar sebanyak 7 kali. Kemudian selang selikan bersama bacaan Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar secara perlahan-lahan.
3) Setelah cukup 7 kali takbir, mula membaca surah Al-Fatihah kemudian disusuli dengan apa sahaja surah-surah pendek yang terdapat dalam Al- Quran.
4) Kemudian, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua seperti biasa.
5) Bangun sahaja dari sujud kemudian menuju ke rakaat kedua dengan takbir Allahuakbar.
6) Selepas itu, terus bertakbir lagi Allahu Akbar sebanyak 5 kali yang diselang selikan bersama bacaan Subahanallah, Alhamdulillah dan AllahuAkbar secara perlahan.
7) Cukup sahaja 5 kali takbir, terus mulakan membaca Surah Al-Fatihah, kemudian diikuti dengan apa saja surah pendek mengikut pilihan masing-masing.
8) Selepas itu, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud kali kedua dan duduk tahiyyat akhir.
9) Baca tahiyyat sehingga habis dan beri salam.
Dengan semua langkah ini, maka selesailah Solat Sunat Aidilfitri anda pada tahun ini.
Kemudian, ayah-ayah boleh membaca khutbah. Jangan risau dan berpeluh pula ya sebab khuatbah ini sama macam khutbah jumaat yang biasa orang lelaki lakukan di masjid dan surau.
Berikut ini panduan bacaan khutbah sempenah hari raya.
Bacaan khutbah Aidilfitri di rumah 2021
Khutbah Aidilfitri sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya.
Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak 9 kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.
Berikut dikongsikan tatacara lengkap dan hukum khutbah Hari Raya yang boleh dijadikan panduan bagi keluarga yang mendiri Solat Sunat Hari Raya di rumah tahun ini.
Panduan Asas Khutbah Aidilfitri
Secara asasnya, syarat khutbah hari raya adalah sebagaimana khutbah Jumaat iaitu:
- Khatib hendaklah berdiri jika mampu.
- Di antara 2 khutbah diselangi dengan duduk. Bagi mereka yang tidak mampu berdiri iaitu yang membaca dalam keadaan duduk, hendaklah diam seketika selepas habis khutbah pertama.
- Berbeza dengan solat Jumaat, khutbah Hari Raya dibaca selepas solat Hari Raya.
- Khatib hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar.
- Rukun khutbah dibaca dalam bahasa arab.
- Berturut-turut di antara khutbah pertama dan kedua (maksudnya tidak ada jarak waktu yang terlalu panjang di antara 2 khutbah.
Teks khutbah Aidilfitri lengkap
(TAJUK: COVID-19 MENCABAR KEUPAYAAN KITA YANG SEBENAR)
Khutbah Pertama
WAHAI AHLI KELUARGAKU YANG DIRAHMATI ALLAH,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keampunan Allah.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, setelah sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan, hari ini 1 Syawal kita meraikan hari raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan, memuji dan mengagungkan kebesaran Allah S.W.T.
IBU AYAH, ABANG, KAKAK DAN ADIK-ADIK SEKALIAN (*boleh diubah mengikut kesesuaian)
Tahun ini merupakan tahun kedua kita merayakan Idul Fitri dalam suasana kita masih diuji dengan wabak COVID-19 yang melanda negara.
Dengan kes yang masih lagi tinggi dan suasana Perintah Kawalan Pergerakan, ia amat merisaukan dan mencabar kita dari segi keupayaan ekonomi, pendidikan, kesihatan, kekeluargaan dan sebagainya.
Wabak Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini merupakan suatu ujian besar bagi kita semua. Ini kerana, virus COVID-19 ini adalah suatu pandemik yang menakutkan.
Jutaan kematian yang dilaporkan sejak wabak ini melanda menunjukkan bahawa wabak ini tidak mengira bangsa, kulit, rupa mahupun status ekonomi.
Sesungguhnya ujian yang datang ini tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk menguji hambanya agar kita menghadapi dengan tenang dan sabar.
Dalam Surah al-Taghabun, ayat 11, Allah berfirman:
Maksudnya:
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
AHLI KELUARGAKU YANG DIKASIHI,
COVID-19 ini sebenarnya mencabar kita dari segi keupayaan mematuhi arahan pihak berkuasa dalam mendepani wabak ini.
Kepatuhan kita dalam menjaga penjarakan sosial dan menerima program vaksinasi merupakan antara ikhtiar kita dalam usaha menangani wabak ini.
Sesungguhnya Islam amat menitik beratkan kesihatan dan menolak kemudaratan dengan meletakkan beberapa prinsip asas mendepani penyakit.
Apabila seseorang ditimpa penyakit, Islam memberi penekanan kepada kepentingan merawat selain reda dengan takdir ALLAH SWT serta tuntutan merawat penyakit yang tidak boleh diabaikan.
Oleh itu hendaklah kita mematuhi setiap arahan dan langkah yang disarankan oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan wabak ini dapat dibendung sepenuhnya.
Apabila kita bersatu padu tanpa mengira pangkat dan usia, sudah pasti kejayaan akan menjadi milik kita bersama.
IBU AYAH, ABANG, KAKAK DAN ADIK-ADIK SEKALIAN (*boleh diubah mengikut kesesuaian)
Sebagai umat Islam, perlunya kita bermuhasabah dengan mengambil pengajaran dan hikmah daripada musibah COVID-19 ini.
Apa yang berlaku dalam setiap kehidupan kita bukanlah sesuatu yang sia-sia. Sebaliknya ia penuh dengan hikmah yang perlu dihayati bersama.
Adalah sesuatu yang amat merugikan jika seorang Muslim hanya beranggapan bahawa virus COVID-19 ini adalah jangkitan penyakit semata-mata. Ia sebenarnya memperlihatkan kepada manusia bahawa hanya Allah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan sesuatu, mencipta, mematikan dan melenyapkan segala benda.
Sebagai hamba pula, kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada wabak ini serta usaha yang berterusan dengan memohon doa kepadaNya.
Kesabaran dan kepatuhan inilah merupakan cabaran kita yang sebenarnya.
AHLI KELUARGAKU YANG DISAYANGI,
Kita masih belum menang melawan wabak COVID-19, oleh itu hendaklah sama-sama kita terus membantu barisan hadapan negara dalam memerangi wabak ini.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Serumpun bak serai, sesusun bak sirih.
This image has an empty alt attribute; its file name is image-1.png
Selepas habis khutbah pertama* khatib hendaklah duduk sebentar. Bagi khatib yang membaca khutbah dalam keadaan duduk hendaklah diam buat seketika.
Khutbah Kedua
AHLI KELUARGAKU SEKALIAN,
“Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketakwaan kita kehadrat Allah S.W.T, mudah-mudahan kita beroleh rahmat daripadaNYA.
Marilah sama-sama kita menadah tangan dan berdoa;
“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim”,
“Engkau ampunilah dosa-dosa kami”,
“Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami, negara kami serta seluruh umat Islam di dunia”.
“Ya Allah! Selamatkan kami semua dari Corona Virus. Ya Allah! Selamatkan kami semua di dunia dan akhirat.”
“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
“Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu yang berat ini,
“Kami bermohon kepada-Mu Ya Allah “Lindungilah kami “Selamatkanlah kami “Sejahterakanlah hidup kami.”
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
*Selesailah khutbah hari raya yang penuh bermakna ini.
Teks khutbah ini disediakan oleh Dr Basri Husin.
Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi di Facebook BASRI HUSIN.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber : Dr Basri Husin, Khairul Anuar Basri
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: SOP Raya PKP 2021, Ini Yang Anda Perlu Tahu
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!