Adakah anda bertanyakan diri anda soalan yang sama dan nak bantu merangsang deria anak anda semasa anak anda masih bayi? Kami ada jawapannya. Stimulasi deria bayi banyak manfaatnya jika dilakukan lebih awal.
Ibu bapa adalah antara insan yang mempunyai peranan dalam membantu anak mencapai potensi mereka. Pada saat anak anda lahir, anak anda sudah mula menggunakan deria mereka untuk mengenal pasti persekitaran mereka dan bagaimana cara mereka berinteraksi dengan dunia.
Apa yang anda tahu tentang stimulasi deria bayi?
Bayi sebenarnya sudah mula menggunakan deria rasa mereka sewaktu berada dalam kandungan lagi. Menarik, bukan?
Sebelum bayi lahir lagi, bayi sudah mula menggunakan deria sewaktu dalam kandungan. Bayi sudah boleh mendengar degupan jantung si ibu dan juga suara ibu sewaktu di utero. Alahai, seronok je baca kan ibu-ibu? Malah, bayi juga boleh merasakan deria sentuhan apabila berada di dalam rahim. Sebab itulah, ibu-ibu digalakkan untuk bercakap dengan bayi yang berada dalam kandungan.
Terdapat 5 jenis deria seperti deria bau, rasa, sentuhan, pendengaran dan juga penglihatan. Untuk deria penglihatan, deria ini mengambil masa yang lama untuk matang. Sebab itulah, anda melihat penglihatan bayi pada mulanya tidak begitu jelas dan akan lama kelamaan mereka akan boleh melihat dengan lebih baik apabila mereka boleh membesar.
Bagaimana si manja dapat belajar untuk stimulasi deria bayi sendiri?
Fungsi deria membantu bayi untuk memperoleh maklumat, memberi tindak balas kepada persekitaran mereka dan mendapatkan kasih sayang dan berhubung dengan penjaga mereka.
Perkembangan deria adalah sangat penting untuk bayi agar mereka dapat belajar bagaimana mereka boleh berinteraksi.
Bayi belajar dengan bereksperimen dengan persekitaran mereka. Malah, bayi perlu menyentuh, memegang supaya mereka dapat merangsang deria bayi mereka dengan lebih baik. Kalau anda halang anak anda untuk memegang sesuatu, susah nanti anak anda nak belajar.
Bagaimana ibu boleh bantu stimulasi deria bayi?
Terdapat banyak cara untuk bagaimana anda dapat membantu menstimulasikan deria bayi anda dengan membuat pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk merangsang kreativiti bayi dan memantapkan lagi perkembangan kognitif mereka. Apa yang anda boleh lakukan adalah:
#1 Bercerita dengan anak atau berkomunikasi
Umum kita sudah mengetahui bahawa bayi boleh mendengar suara ibu sewaktu berada dalam kandungan. Sebab itulah, antara aktiviti yang anda boleh buat untuk rangsang deria pendengaran mereka adalah dengan bercerita dan bercakap dengan anak anda. Anda nak baca buku cerita atau nak menyanyi kepada anak anda pun boleh.
Apakah kepentingan komunikasi ini kepada anak? Anak anda akan mendapat manfaat dari segi perkembangan bahasa dan mengeratkan lagi hubungan anak dan ibu. Selain itu, anda juga boleh membiasakan anak anda dengan mendengar apa yang berlaku di sekitarnya. Bila ada bunyi kereta, tunjuk di mana datang bunyi tersebut.
#2 Aktiviti memantapkan penglihatan anak
Untuk bayi yang masih kecil, penglihatan mereka masih kabur sedikit tetapi pada usia mereka menjangkau 4 bulan dan ke atas, penglihatan mereka akan menjadi lebih baik! Anda boleh membuat beberapa perkara ini untuk membantu anak anda. Salah satu cara adalah dengan bermain cak cak dengan anak anda! Nampak macam sesuatu yang biasa tetapi besar tau manfaatnya. Ini kerana permainan cak cak ini menuntut anak anda untuk fokus kepada anda dan melatih pergerakan matanya.
Selain itu, anda juga boleh hias bilik anda anak dengan warna-warna dan objek-objek yang terang. Alih kedudukan katil supaya anak anda boleh membiasakan diri dengan melihat objek berbeza. Nak lagi best, anda boleh bawak anak anda pergi berjalan-jalan. Pergi zoo ke pergi taman ke. Mana-mana sahaja. Kalau anak anda ralit tengok pemandangan atau lampu biarkan sahaja anak anda fokus.
#3 Sentuhan kasih sayang untuk deria sentuhan
Deria sentuhan adalah antara deria yang paling cepat berkembang kerana ia bermula sewaktu bayi berada dalam kandungan lagi. Berikan sentuhan sebanyak mungkin kepada anak anda untuk menguatkan lagi kasih sayangnya kepada anda di samping merangsang perkembangan deria sentuhan anda juga boleh mengurut belakang anak anda mengusapnya dan memeluk rapat anak anda.
Apabila anak anda dah besar sedikit anda boleh memberikan anak anda mainan yang selamat untuk anak anda gigit. Jangan risau ibu bapa kalau anak anda asyik nak gigit barang sahaja kerana ia sebenarnya melatih mereka untuk merasai permukaan dan tekstur yang berbeza.
#4 Perkenalkan bau
Bayi sudah mempunyai deria bau sejak mereka kecil lagi yang mana mereka mampu membezakan susu badan dan susu formula hanya melalui bau sahaja. Bayi juga berasa sangat selesa apabila berada disamping ibu kerana mereka sudah mengetahui bau ibu.
Sebab itulah, ibu-ibu tidak digalakkan untuk memakai minyak wangi yang terlalu kuat baunya atau pun berbeza daripada kebiasaan. Malah, penggunaan serbuk pencuci yang mempunyai bau yang kuat akan mengelirukan anak anda. Justeru, adalah lebih baik jika anda tidak menukar atau mengambil sebarang wangian jika anda masih menyusukan anak anda. Anda juga boleh memperkenalkan kepada anak anda jenis-jenis bau yang berbeza yang mana ia dapat membantu merangsang perkembangan bahasa anak anda.
#5 Rangsang deria rasa dengan makanan!
Percayakah anda bahawa anak anda boleh merasai apa yang anda makan melalui susu badan anda? Menarik kan? Sebab itulah, bila anda makan macam-macam, anak anda boleh rasa tau. Kalau pelik-pelik tu, habis anak anda tolak untuk minum susu badan. Oleh itu, anda bolehlah makan pelbagai makanan semasa anda menyusu badan. Sebagai cubaan, untuk bagi anak anda rasa. Bila anak anda dah besar sedikit, bolehlah anda memperkenalkan makanan pepejal untuk anak anda.
Semoga artikel tentang stimulasi deria bayi ini dapat membantu anda dan bayi.
Sumber: Myhealth
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Sentiasa Rangsang Deria Anak Untuk Perkembangan Mereka, Ini 10 Aktiviti Sensori Untuk Kanak-Kanak